Let's share yur kind words here... (" _ ")

Tuesday, December 14, 2010

KMK Perlis 2010 Terbaik!

Coret-coret KMK
Oleh : Nawal Abd Kadir

Rumah dah siap, pahat masih berbunyi. Pernah dengar tak kata-kata ni? Slalunya orang rujuk terma ini untuk sesuatu program bila dah selesai orang masih memperkatakan tentangnya. Samada perkara itu baik atau buruk sahaja yang menjadikan kayu ukur sesuatu program itu mendapat tempat di hati orang atau tidak. KMK juga tidak terlepas daripada perkara-perkara sebegini. Namun, apa yang baiknya ialah setakat ini hanya respon yang positif sahaja yang kedengaran dan masing-masing masih terikat hatinya dengan KMK Perlis yang berlangsung dengan penuh kesederhanaan.

Biarlah saya pula bercerita tentang KMK menurut kaca pandangan seorang 'Pengarah Wanita'. Setiap yang diperkatakan hanyalah pandangan peribadi dan juga berdasarkan sembang2 dengan sahabat2 semua..

Tiada yang The Bomb....

Apa yang saya maksudkan disini, pada peringkat awal perancangan KMK berjalan dengan kekurangan tenaga samada untuk mencari sumbangan, menyebarkan maklumat seluasnya kepada masyarakat Perlis dan kerja-kerja lain.

Seterusnya...

Pengarah, Timbalan Pengarah, Komandan Kem : merasakan diri tidak layak dan tidak mampu pada mulanya.
Masing-masing bergelut untuk memberitahu diri sendiri yang sebenarnya 'kita semua' mampu. Namun, saya melihat ini sebagai suatu faktor kekuatan KMK kali ini kerana apabila seseorang itu merasakan dirinya tidak cukup bagus, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik. Alhamdulillah kerana perjalanan KMK Perlis kali ini berlalu bagai air sungai yg mengalir (pinjam ayat CGBS)


Gandingan Adik-Kakak

Sungguh luar biasa keadaan KMK Perlis kali ini kerana jurang umur antara fasilitator mahupun urusetia lelaki dan perempuan adalah berbeza. Saya selalu berpesan pada diri bahawa angka tidak memberi apa-apa makna kerana sesuatu itu terjadi menurut tafsiran kita. Namun, keselesaan bekerja, berkomunikasi, bekerjasama dan sebagainya membuatkan saya berfikir bahawa kemungkinan faktor 'angka' yg hampir 6 tahun berbeza itu melahirkan situasi yang mudah untuk ditangani.

Alhamdulillah, adik-adik ini dikurniakan bakat, kerajinan, ketabahan, kesetiaan, mendengar kata yang tinggi dan kakak-kakak boleh memberi arahan dgn baik, bekerja dengan mereka, menerima pendapat mereka dan berkongsi pengalaman bersama mereka. Situasi ini kemungkinan sukar diperolehi di kem-kem lain dan menyebabkan masing-masing sangat menghargainya. Kami bekerja bagai suatu keluarga. Masing-masing saling lengkap melengkapi untuk menutup kekurangan yang ada.

Tema dan Fokus

Tema KMK kali ini ialah 'Remaja Dinamik Kehidupan Fantastik' manakala KMK Perlis telah bersetuju untuk memberikan penekanan kepada Penghayatan Solat. Alhamdulillah keputusan ini telah memberikan impak yang baik kepada program yang dijalankan dan peserta banyak menerima input yang berguna. Apabila kita memberikan penekanan atau fokus kepada sesuatu perkara, perkara tersebut akan dapat kita ukur dengan mudah. KMK kali ini peserta didedahkan dengan segala maklumat berkaitan Solat. Rukun, jenis, bacaan, Qiyamullail, Sirah, Doa,Wudhuk,Tayamum dan sebagainya.  Mudah-mudahan peserta dapat menghayati dan mengaplikasikanya dalam kehidupan seharian.

Yang Tua dan Muda

Buat kali pertamanya KMK dijalankan di peringkat negeri menyebabkan semua perkara yang dilakukan bermula daripada kosong. Pelbagai perkara dipelajari dan pelbagai kesilapan juga dilakukan. Namun, apa yang mahu ditekankan di sini ialah kesudian makcik-makcik dan pakcik-pakcik datang menziarahi kami di Kem dan membantu daripada aspek teknikal, masak, membeli barang dan memberikan nasihat. Alhamdulillah. Kem ini kini menjadi aktiviti Haluan Negeri yang dapat menggabungkan tenaga veteran dan muda. Yang dapat menganyam ukhuwwah yang lebih erat serta dapat menjalinkan hikmah orang tua dengan semangat orang muda.

Oh, sungguh terharu melihat makcik-pakcik yang prihatin dan sudi menghulurkan bantuan. Kami semua anak-anak sangat menghargainya. Kita semua ternyata dapat bekerjasama dan saling memberi dalam rangka mendidik adik-adik peserta yang dahagakan perhatian dan input berguna daripada kita.



Sederhana tetapi bermakna!

Inilah perasaan yang ada dalam hati saya terhadap KMK kali ini. Segalanya berlangsung penuh sederhana, dengan dewanya yang tua, dormnya yang tidak sempurna, tandasnya yang biasa-biasa, peralatan yang tidak gah mana, namun KMK terus berjalan penuh makna dengan kehadiran Kom Kem yang pandai memanipulasikan suasana, kakak-abang fasi yang bersemangat waja, program dan aktiviti yang menyentuh jiwa serta kerjasama erat daripada adik-adik peserta. Semuanya kelihatan OK dan gembira hasil daripada sokongan peserta sekalian. Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Andai disorot kembali, memang tiada yang istimewa yang mampu disajikan buat semua pada awalnya namun kalianlah yang mencorakkan KMK kali ini sehingga menjadi suatu program yang melekat dalam jiwa semua yang menghadiri dan menjadi sebahagian daripada keluarganya. Terima Kasih semua.

Tunggukan entri tentang Keluarga KMK yang sangat dirindui saat ini.

Friday, October 22, 2010

Kutip Mutiara daripada Karangan Pelajar...

Nukilan Pelajar untuk Guru
Oleh : Cg.Nawal

Kata Ahmad Nursi Hamid,

   "   Tersirat pada pengertian,
    Kasih sayang sentiasa di hati,
       
        Tersurat pada tulisan,
     Perjuangan mesti diteruskan,

      Terlukis pada harapan,
    Bahawa kejayaan pasti ada "

Kata Umair,

Pucuk Pauh Dilema Batu
Anak Sembilang di tapak tangan
Walau jauh beribu batu
Hilang di mata, di hati jangan...


Banyak lagi akan dikongsikan nanti....

Pelajarku


Para pelajar.
Oleh : Cg. Nawal.

Insya Allah hari ini sudah masuk minggu ke-14 saya mengajar di Ma'ahad Attarbiyyah al-Islamiyyah (MATRI). Kalau kat Universiti dah kira dekat nak habis satu semester la ni. Agak lama juga tapi tak terasa lama tu sebab Matri cuti lama masa raya hari tu. Pelbagai pengalaman dapat dikutip semasa berhadapan dengan para pelajar di sini. Kerenahnya pelbagai sama seperti yang saya lalui semasa praktikal dahulu cuma agak mencabar kerana bilangan di dalam kelasnya ramai. Bayangkan ada 40 pelajar lelaki dalam suatu kelas dan masing-masing petah bercakap? Suara kita pun tenggelam dibuatnya.

Apa yang saya lakukan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyediakan aktiviti-aktiviti yang mencabar minda mereka, memerlukan kerjasama dalam kumpulan serta mengurangkan peluang bercakap yang bukan-bukan di dalam kelas saya. Adakah saya berjaya mengatasi masalah itu? Saya berani menyatakan saya berjaya mengurangkan hanya 50% masalah itu. Namun, saya sudah cukup bersyukur kerana masih ada antara para pelajar saya yang berminat untuk pelajar dan setia memberikan tumpuan. Alhamdulillah.

Para pelajar yang rajin,baik,bersungguh-sungguh serta menghargai aktiviti yang saya lakukan di dalam kelas mereka menyebabkan saya sentiasa bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik untuk mereka sedaya mampu saya. Pelbagai cabaran dan dugaan yang menimpa mematangkan saya dalam menghadapi kerenah pelajar. Saya belajar bagaimana untuk tidak mengambil hati dengan kata-kata atau gurauan melampau pelajar terhadap saya, saya belajar untuk bersabar pada kadar yang maksimum dengan kerenah mereka yang benar-benar menguji kesabaran saya, saya belajar untuk tidak berdiam diri dengan menerima sahaja kritikan pelajar yang pada fikiran saya salah dan perlu diperbetulkan, dan saya belajar untuk tidak bersikap pilih kasih terhadap para pelajar saya.

Tiada istilah mudah dalam karier seorang guru kerana guru ibarat jurutera manusia. Manusia bukan benda mahupun haiwan. Manusia punya akal dan seribu kerenah yang berbeza antara satu sama lain. Justeru kesabaran dan kesungguhan yang ada dalam diri seorang gurulah yang memungkinkan mereka terus mengorak langkah berkongsi ilmu dan pengalaman yang dimiliki dengan para pelajar. Saya masih bertatih di atas sebatang jalan yang sudah ditempuhi oleh ramai pendidik-pendidik lain dan masih banyak yang perlu saya pelajari. Maka, persinggahan saya di bumi Matri untuk bersama adik-adik pelajar adalah suatu medan yang sedikit sebanyak dapat mengasah diri saya untuk menjadi seorang Pendidik yang Rabbani...insya Allah..

Mudah-mudahan masa depan saya dalam bidang perguruan ini akan terus cemerlang bersama para pelajar saya dan saya mengharapkan Allah mempermudahkan jalan saya selama 5 tahun yang bakal menjelang untuk berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran .Seterusnya mengabulkan impian saya untuk menyambung master dan terus berbakti di bumi wakafan tercinta insya Allah...

Pelajar saya tetap akan saya simpan dalam hati walau di mana saya berada insya Allah..
Pelajar, andai kamu tahu semangat yang ada dalam diri seorang guru.....

Harap anda yang membaca sudi mendoakan saya. Terima Kasih.

Sunday, October 10, 2010

Terima Kasih Ummi dan Abah...

Hari ini 10.10.10.

Aku semakin besar dan dewasa.

24 tahun aku menjengah dunia yang fana.

Angka tarikh yang 'menarik' hari ini membuatkan aku terpanggil untuk mencoret sesuatu.

24 tahun yang lalu aku dilahirkan daripada rahim seorang ibu yang kupanggil Ummi. Ummi melahirkanku dengan penuh kesusahan dan keperitan. Maka, tidak wajarlah andai hari ini kubiarkan berlalu tanpa aku mengingati pengorbanan Ummi itu.

Sepanjang 24 tahun ini, Ummi dan Abah telah membesarkanku dengan kasih sayang juga kesenangan. Mereka tidak pernah mengabaikan keperluanku juga didikan semenjak aku masih kecil. Kesabaran mereka meladeni karenahku, melayani kehendaku dan menurut kemahuanku tidak wajar aku lupakan setiap saat dan ketika. Dalam kemeriahan SMS yang menyinggah di inboxku juga pesanan di tingkap fbku,..tidak wajar aku melupakan jasa orang tuaku.

Dalam 24 tahun ini, aku banyak berdosa dan berbuat salah pada Ummi dan Abahku,..namun tidak sedikit aku disisihkan daripada hidup mereka. Aku tetap dibekalkan dengan kemudahan dan tarbiyyah yang secukupnya.
Aku sentiasa dimaafkan dengan setiap keterlanjuranku, namun tidak kuketahu hati mereka bagaimana. Jauh di sudut hati aku mengharapkan kemaafan daripada mereka dengan rendah hatinya kerana tanpa redha mereka, siapalah aku di sisi Allah s.w.t. Dengan hati yang sentiasa mahu memaafkan aku dan terus mendidikku, sangat tidak wajar andai hari ini berlalu tanpa aku bersyukur pada Yang Esa kerana mengurniakan mereka sebagai Ummi dan Abahku.

Andai mahu dibilang peluang dan ruang yang diberikan oleh Ummi dan Abah dalam membesarkan aku, tidak cukup tanah mahu dibilang. Dalam ruang itulah aku mencuba memperbaiki kelemahan diri yang setinggi langit. Pada usia ini aku masih diperingat, dinasihat, dididik untuk memastikan aku dapat mengharungi dunia penuh kezaliman ini dengan benteng yang kuat. Berbekalkan nasihat dan asuhan itu, maka tidak cukup bersyukurlah aku andai hari ini kubiarkan berlalu tanpa ku laungkan rasa Terima Kasih itu dalam hatiku.

Lalu, saat 10.10.10 aku terjemahkan rasa hati itu pada laman ini dengan harapan rasa itu sampai kepada insan yang sangat aku kasihi..

Terima Kasih Ummi dan Abah..Hanya itu yang termampu kuucap dengan segala yang telah kalian lakukan...

Barakallah..

Monday, August 30, 2010

Bila Ramadhan Berbicara...

Bila Ramadhan berbicara..

Oleh : Muaz_Kadir

Aku menjengah ke langit dunia. Aku melihat anak-anak kecil sedang bergembira,remajanya ramai yang sedang menikmati musim belajar di sekolah, ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan tidak kurang ada insan-insan yang sedang beribadah, tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mataku tertarik untuk melihat suatu situasi di dalam kelas di sebuah kawasan sekolah yang dipagari pohon-pohon getah yang merimbun. Seorang guru sedang berbicara dengan pelajarnya tentang aku. Terasa bahagia menjamah hati. Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar kata-kata seorang pelajar, “ Saya tidak tahu apa erti Ramadhan pada saya,cikgu. Saya tidak merasa apa-apa pun”. Rakan sekelasnya menunjukkan reaksi wajah kehairanan dan pelik,namun si gadis itu membalas,“ Kenapa? Salahkah?”. Guru itu menggelengkan kepalanya dan mula menerangkan kebaikanku kepada semua anak muridnya di dalam kelas itu.

Dalam pada itu aku terasa sayu. Aku sangat pasti setelah ribuan tahun Rasulullah wafat, aku semakin dilupakan.Setelah zaman para sahabat, tabien dan salafussoleh berlalu, aku semakin tidak dihargai manusia. Zaman kini sangat berbeza dengan zaman di mana Rasulullah dan para sahabat gembira dengan kehadiranku. Aku masih ingat ketika aku hadir, mereka melaung-laungkan kalimah Ahlan Ya Ramadhan. Para sahabat bersama Rasulullah berlumba-lumba melakukan kebaikan di dalamku. Mereka percaya akan kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku. Malaikat telah meluaskan sayap seluas-luasnya padaku. Allah telah membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka di dalamku.

Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah diwajibkan berpuasa di dalamku bermula daripada cahaya terbesar yang terbit di negara Jepun sehingga cahaya matahari itu terbenam di arah kiblat umat Islam dan kamu harus corakkan ibadahmu dengan keimanan dan ketaqwaan agar diterima oleh Allah s.w.t. Puasa di dalamku hukumnya wajib. Tidakkah kamu rasakan itu suatu suruhan yang besar untukmu wahai penghuni muka bumi? Justeru mengapa terdapat dalam kalangan kamu yang tidak mengendahkan suruhan agung itu?. Allah telah mengurniakan aku keistimewaan untuk kamu rebutkan. Rahmat Allah melimpah ruah padaku dan aku adalah bulan di mana alunan al-Quran akan mengetuk setiap gegendang telinga para pembaca dan pendengarnya.

Teringat aku pada Saidina Ali yang tidak jemu berdoa setiap tanggal 1 Ramadhan dengan doa yang berbunyi, “ Ya Allah, masukkanlah bulan yang mulia ini kepada kami dengan aman daripada gangguan penyakit, longgar daripada pelbagai kesibukan dan berikanlah kepada kami kerelaan dan kepuasan untuk tidak banyak tidur di dalamnya…”. Sejuk hatiku saat doa itu berkumandang. Kini, saat dunia semakin canggih dan moden, semakin pudar doa-doa itu dipendengaranku. Mengapa? Aku tidak merasakan punca fenomena ini datang dariku. Aku adalah hamba Allah yang dijadikan sebagai tempat untuk kamu semua beroleh nikmat, rahmat dan puncak kasih Allah kepada kalian.

Tahukah kalian di awalku adalah rahmat, dipertengahanku adalah maghfirat dan dipenghujungku adalah dijauhkan daripada azab neraka? Sesudah mengetahuinya, apakah tindakan kalian hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga yang kemudianya kalian habiskan dengan bergembira ketika berbuka tanpa sedikit pun amal ibadat di dalamnya? Mengapa kalian mensia-siakan aku, manusia? Bagaimana biasa kalian tidak merasai keistimewaanku dan aku adalah peluang untuk kalian memperbaiki diri,manusia?. Aku sangat tidak faham kerenahmu wahai manusia zaman moden ini.

Wahai makhluk Allah yang telah dikurniakan akal, sedarlah bahawa di dalamku doa kamu akan dimakbulkan oleh Allah.Di dalamku juga terdapat suatu malam di mana padanya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Mengapa kamu semua tidak berlumba-lumba mendapatkanya? Aku pasti kalian tahu bahawa setiap amalan sunat yang dilakukan adalah bersamaan pahalanya dengan amalan fardu manakala jika kamu melakukan amalan fardhu, pahalanya melonjak sehingga 70 kali ganda. Hebat tawaran Allah kepada manusia. Tetapi kamu adalah benar-benar golongan yang tidak tahu bersyukur andai kamu tidak mempedulikan bonus yang Allah berikan ini.

Zaman berlalu, aku semakin merasa sedih dan sayu saat aku menyedari bahawa manusia semakin melupakan kebaikan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadaku. Bagaimana bisa manusia tidak menghargai aku? Aku merintih saban malam agar manusia bangun dan beribadah, membaca al-Quran, menuturkan zikrullah, Qiyamullail dan berniat mencari malam Lailatul Qadar,namun hanya sebahagian sahaja daripada umat manusia yang melawan hawa nafsu menyahut rintihanku, bersusah payah bangun daripada pembaringan yang enak menuju ke tikar sembahnyang lantas sujud menyembah Tuhan yang Maha Satu.

Pada tahun 1431 hijrah ini, aku menjelma lagi dalam hidup umat Islam seantero dunia. Keadaan semakin menyedihkan dan memilukan. Aku mengharapkan agar manusia memanfaatkan aku agar mendapat perlindungan daripada Allah. Namun, hasrat hati memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai. Begitulah perumpamaan hasratku yang menggunung tinggi dengan sikap manusia yang tidak pernah mahu mengutip segala kebaikan yang ada padaku. Ya Allah, walau apa pun sikap dan perilaku manusia di muka bumimu dalam menyambutku sebagai makhlukmu bernama Ramadhan, aku sesekali tidak akan berputus asa dalam menjalankan amanahmu saban tahu, setiap kali Syaaban berlalu sehinggalah Syawal mengucapkan salam. Aku juga berharap suatu hari nanti manusia akan disedarkan dengan syafaat yang ada padaku dan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

*** kedua-dua tulisan (bisikku pada Ramadhan dan Bila Ramadhan Berbicara) ini dibimbing oleh empunya blog ini.wallahualam

Bisikku Pada Ramadhan

Bisikku pada Ramadhan

Oleh : Uzair_manap

“ Dengan ini diumumkan bahawa seluruh umat Islam akan mula berpuasa pada esok hari…” kedengaran pengumuman berpuasa berkumandang daripada televisyen di ruang tamu. Aku termangu sendirian. Ramadhan tiba lagi dan aku masih begini.Tidak pernah cuba menilik diri dan melihat masa lalu untuk dijadikan pengajaran dan tidak pernah menyusun strategi untuk melakukan perubahan pada diri. Manusia apakah aku ini?. Hambakah aku andai perintah Tuhan seringkali aku abaikan. Tidak ada rasa malukah aku pada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu? Terasa sesuatu menyentap di hati. Terasa berat dan menyakitkan. Aku perlu berubah.

Terngiang-ngiang suara seorang sahabat, “ Ramadhan ibarat musim bunga di hati umat Islam kerana Allah telah datangkan kepada seluruh alam ini suatu bulan yang penuh dengan barakah dimana kita diwajibkan berpuasa dan ketika kita berbuka puasa pintu-pintu syurga telah dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup bersama dengan syaitan yang telah dibelengu. Barangsiapa yang tidak berhasil beroleh kebaikan Ramadhan, sungguh tiada peluang untukknya mendapatkan nikmat itu buat selama-lamanya.” Masha Allah. Aku harus berubah. Gementar rasa hati mengingatkan kata-kata itu. Aku tidak mahu sesat selamanya. Oleh sebab itu aku harus mencari jalan pulang. Terasa malu dengan Tuhan, diri terasa hina dan tercela namun bukankah pintu taubat sentiasa terbuka? Aku harus cepat bertindak dan aku membuat suatu keputusan penting dalam hidupku di ambang Ramadhan ini. Ya.Aku harus berubah menjadi manusia yang lebih baik.

Aku berwudhuk dan tunduk menyerah diri kepada Rabbul Jalil saat Ramadhan menjelmakan diri. Seusai merintih dan memohon ampun kepada Yang Maha Mengampunkan,hati terasa sedikit ringan namun fikiran tidak lepas daripada memikirkan jalan yang bagaimana harus kutempuhi sepanjang bulan yang mulia ini. Aku membuat perancangan dalam mindaku dan pada masa yang sama aku harus teguh melawan hawa nafsu yang telah dididik oleh syaitan selama 11 bulan yang lalu. Kekuatan fizikal tidak akan mencukupi tanpa kerjasama daripada minda dan hati. Ketiga-tiga fakulti insan itu harus bergabungjalin untuk memastikan seorang ‘aku’ tidak tersungkur dipintu taubat. Hatiku berbisik pada Ramadhan. “ Ya Ramadhan, sungguh engkau aku abaikan sekian tahun namun kini aku hargai kedatanganmu dan aku percaya kelebihan yang ada padamu. Janganlah kau tidak pedulikan aku wahai Ramadhan. Aku insan kerdil yang mahu meniti hari-harimu dengan kebaikan”.

Wahai Shahrus Siyam, ku tahu kau bulan yang mengajar umat manusia untuk mengendalikan diri dan hati daripada hal-hal yang dilarang. Aku akan cuba kuatkan seluruh sistem badanku untuk mengawal pancainderaku, hatiku, tingkah dan perlakuanku agar tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan kita. Aku memperkemaskan dudukku daripada bersimpuh ke kedudukan bersila.Aku menekur sendirian di dalam gelap malam mencuba sedaya upaya berkomunikasi dengan Ramadhan.

Wahai Shahrul Qur’an, bulan yang dimuliakan Allah kerana kau telah terpilih untuk diturunkan al-Quran di dalammu. Aku berazam untuk menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak yang mungkin sehingga mencapai 30 juzuk. Tidak juga aku lupa untuk bertatih menghafaz ayat suci al-Quran itu supaya ayat-ayat indah itu sentiasa bergema dalam jiwaku.Kau adalah Shahrut Tilawah iaitu bulan membaca, menekuni dan mentadabbur al-Quran. Justeru aku akan sentiasa mendampingi al-Quran bersama-sama perjalananku meniti hari-harimu. Ya Sharul ‘Ala, bulan penuh kenikmatan, izinkanlah aku untuk menikmati kehadiranmu dengan sebenar-benar tunduk dan patuh kepada Allah swt.

Ya Shahrul Mubarak iaitu bulan yang penuh keberkatan. Berilah peluang kepadaku untuk merasai nikmat berkat itu. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rezeki dan melancarkan perjalananku menelusuri engkau. Aku menanam tekad untuk melakukan amal kebajikan dan melakukan kebaikan tanpa mengira pangkat dan darjat kerana aku diberitahu bahawa padamu terdapat suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah iaitu setiap amal kebajikan akan dinilai dengan berlipat ganda. Subhanallah. Betapa lapangnya dada dapat berbicara denganmu wahai Shahrus Sabri iaitu bulan kesabaran. Aku kini benar-benar merasai bahawa sabar adalah kunci utama bagi setiap manusia yang ingin berubah. Aku akan cuba mendidik hatiku agar sentiasa membawa sabar dalam diri.

Kini, aku berada di pertengahan musim bunga yang paling nikmat pernah aku lalui. Bulan ini adalah bulan rahmat yang penuh dengan kasih sayang. Kasih sayang daripada Allah yang paling mahal harganya yang dapat memacu perasaan kasih mengasihi sesama manusia. Limpahan kasih sayang Allah sebenarnya menjadi punca kekuatan yang kuperoleh untuk melakukan amal soleh didalammu wahai Shahrur Rahmah. Aku menitimu wahai Shahrul Muwasah dengan mendidik hati agar tidak kedekut kepada mereka yang memerlukan kerana kau adalah bulan untuk melatih sifat dermawan dalam diri. Kutingkatkan hubungan sosialku sesama kaum muslimin di kampung dan masjid, kuhabiskan masa bersama anak-anak yatim piatu dan fakir miskin. Bergaul dengan golongan ini menyedarkan aku untuk lebih bersyukur dengan kurnia Allah s.w.t kepadaku.

Wahai Shahrul Jud, bulan untuk bermurah tangan dan memberi bantuan kepada fakir miskin. Di dalam engkau aku mempelajari bahawa tangan yang menghulur adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Hatta sedikit yang dihulurkan namun tetap memberi makna yang mendalam pada diri ini. Sungguh. Kau adalah Shahrun Najah iaitu bulan keselamatan daripada azab neraka. Manakan tidak, setelah melakukan kebaikan, membaca al-Quran, berdamping dengan orang-orang soleh, bersedeqah dan sebagainya, tentulah manusia impikan pengakhiran yang baik iaitu dijauhkan daripada azab api neraka. Aku terasa kerdil mahu meminta lebih daripada Allah kerana aku baru sahaja kembali ke jalan Nur ini. Di sebalik rasa rendah itu aku percaya bahawa Allah menerima taubat hambaNya dan sentiasa mendengar rintihan dan permintaan hambaNya. Sesungguhnya pintu langit masih terbuka.

Terima Kasih wahai Ramadhan kerana dengan kehadiranmu pada tahun ini menjadi titik tolak kepada perubahan insan kerdil bernama ‘aku’ ini. Aku kini lebih daripada percaya bahawa selama sinaran mentari dan bulan berkongsi cahaya menemani alam dunia dan sebelum cahaya syurga malap dan terpadam, sebelum hidup ini bertemu dengan pengakhiranya, dan sementara pintu taubat masih terbuka luas, kita harus bertaubat dan kembali kepada Allah sebelum terlambat,iaitu sebelum semua pintu taubat ditutup. Aku tambah mengerti bahawa haluan ke syurga itu penuh dengan penderitaan seperti seorang insan melalui laluan yang dipenuhi dengan onak dan duri, susur jalanya bengkang-bengkok, disaluti sejuta pederitaan.kesedihan, dan kesakitan. Sebaliknya, jalan ke neraka itu penuh dengan nikmat dan kebahagiaan umpama seorang manusia melalui suatu jalan yang di atasnya terdapat hamparan permaidani merah yang empuk dan disertakan dengan segala kesenangan dan kemewahan duniawi.

Sungguh. Aku tidak sabar untuk berkongsi dengan mereka yang kukasihi bahawa Ramadhan ibarat sebuah kilang pemprosesan. Sebuah binaan kilang untuk mendidik dan memproses manusia-manusia di dalamnya agar keluar daripada bulan ini disaluti dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Justeru marilah sama-sama anda yang membaca bisikanku pada Ramadhan ini agar menjadikan bulan kesabaran dan bulan pelbagai nikmat ini sebagai medan untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan. Aku berada di penghujung Ramadhan dan hati terasa sedih kerana musim bunga ini bakal berlalu. Aku memohon agar umurku dipanjangkan oleh Allah agar aku sempat bertemu denganmu lagi dan kau akan melihat aku yang lebih baik melangkah memasukimu. Insya Allah. “ Aku akan benar-benar merinduimu wahai bulan yang istimewa.” Bisikku perlahan pada Ramadhan.

Musim Bunga Umat Islam

Subhanallah. (gambar diambil dr laman mahasiswa ukm,tq)
Ramadhan.

Ya. Ramadhan adalah suatu bulan yang sering dilambangkan seperti musim bunga bagi umat Islam. Mengapa? Kerana di dalamnya terdapat pelbagai keistimewaan yang perlu direbut oleh setiap insan. Rahmat,maghfirah,kasih-sayang Allah melimpah ruah di dalam bulan ini. Maka, rugilah bagi mereka yang mensia-siakan bulan Ramadhan ini.

Ramadhan ialah bulan reformasi Ruhi.

Ramadhan ialah bulan peningkatan spritual.

Ramadhan ialah bulan untuk berJIHAD melawan hawa nafsu.

Ramadhan merupakan bulan menJINAKkan hawa nafsu.

Sering kita mempersalahkan 'syaitan' apabila kita tersalah langkah, kita mengantuk, kita malas, kita marah dan sebagainya. Namun di bulan Ramadhan, Allah membantu kita dengan mengikat syaitan dan iblis. Soal diri kita, adakah perangai lama masih ada dalam diri? Apakah kita lebih sabar, lebih rajin, lebih pemurah dan pendek kata lebih baik pada bulan Ramadhan? Jika Ya, Alhamdulillah. Namun jika Tidak, nampaknya syaitan telah berjaya melatih hawa nafsu kita selama 11 bulan. Tanya diri lagi, apakah USAHA kita untuk mengikis perangai yang telah ditanam dalam diri kita?

Sedarlah diri bahawa bulan ini adalah satu-satunya bulan untuk kita mengasuh hawa nafsu, menundukkanya dan mendidiknya agar mengikut perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bulan ini berfungsi sebagai bulan meningkatkan bacaan al-Quran,menambahkan rakaat solah, memperbanyakkan sedeqah dan aktif bekerja untuk membersihkan diri daripada nafus syahawat. Berbekalkan kesungguhan, insya Allah kita akan berjaya mengendalikan kecenderungan jahat yang ada dalam diri kita,biiznillah.

Pesanku pada diri dan sahabat-sahabat, bulan Ramadhan membawa kita kepada suatu daerah untuk merombak perut yang kemaruk dan syahwat yang bergelora, membawa kita jauh daripada akhlak yang buruk dan jahat, serta menghilangkan jiwa yang lemah dan roh yang terkebelakang. Mengikis sifat buruk kita yang sering terpedaya dengan kehidupan dunia dan Ramadhan adalah medan untuk mengikis sifat ego dan perpecahan dalam masyarakat kita. Maka, marilah kita sama-sama bahu membahu dalam melakukan kebaikan agar jiwa kita bersatu dalam suasana yang dapat menyubur keimanan kepada Allah swt.

Kini kita sudah berada dalam fasa ketiga Ramadhan iaitu 10 malam terakhir. Di dalam sepuluh malam terakhir ini terdapat satu malam yang sangat special yang Allah janjikan kepada hamba-hambaNya yang taat menundukkan diri kepadaNya. Malam itu adalah malam Lailatul Qadar yang mana ibadah yang dilakukan pada waktu itu menyamai ibadah selama seribu bulan. Subhanallah. Tinggi kasih Allah pada hamba-hambaNya. Marilah kita sama-sama memperkuatkan diri di 10 akhir Ramadhan ini untuk mencari malam MULIA ini.

Ramadhan, sungguh kita akan merinduinya apabila ia berlalu. Justeru manfaatkanlah Ramadhan sementara ia masih bersama kita kerana kita tidak tahu apakah umur kita akan panjang sehingga muncul Ramadhan yang akan datang.

Ampunkan aku Ya Allah andai ada salah dalam perkataanku..Kuatkanlah dan cekalkanlah hati kami Ya Allah dalam menunaikan perintahMu.

" Ya Allah, janganlah kau pesongkan hati kami setelah kau beri petunjuk kepada kami, berilah kepada kami rahmat, sesungguhnya Maha Pemberi Kurnia".

Sedikit bahan yang dicoret ini diperolehi semasa Halaqah Guru Matri di bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Murabbi yg dikasihi Cg Norizan Mat.Semoga Allah redha kita.

Wallahualam.

Saturday, August 21, 2010

4 tahun berakhir di hari Konvokesyen...

Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti Kebangsaan Malaysia.
Fakulti Pendidikan
9 Ogos 2010

Alhamdulillah. Dengan izin dan kasih-sayang Allah, hari yang sangat ditunggu-tunggu oleh sahabat-sahabat saya telah tiba dan sekali lagi kami dipertemukan di dalam sebuah dewan bersejarah iaitu Dewan Canselor Tun Abdul Razak atau lebih terkenal dengan singkatannya DECTAR. Dengan izinNya juga, segalanya berjalan dengan lancar dan cepat seperti yang saya hajati bermula daripada awal sehingga akhir. Segala Puji bagi Allah. Ini adalah sedikit perkongsian gambar yang telah dirakamkan....


Di depan masjid UKM-hari ambil jubah
Oren adalah kaler Fakulti Pendidikan...jgn pelik ye..hehe

Bawa adik-adik berjalan di Pesta Konvokesyen
08.08.2010

Sebelum masuk ke dewan, rezeki jumpa Dr.Izham,pensyarah kesayangan
kami...sempat bergambar kat tepi jalan...

Berjaya jugak beratur sederet ahli rumah sewa 'Baiti Jannati' dan
ahli study group 'Ukhuwwah-study'..tp Ikin n Mus
terlepas ke kerusi belakang...


Selesai konvo..sempat bergambar dalam dewan..

Dengan Ummi,Abah dan adik2

Ummi dan Abahku...

Girls..hehe..si baju biru jadi driver of the day hari ni..hehe

bersama kakak kembarku yang datang dari jauh
Universiti Malaya..Aishah Asri
Gandingan graduan Fakulti Pendidikan 2 Universiti...

Tuesday, July 27, 2010

Temu duga

TAHNIAH!

Anda berjaya dipanggil temu duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) Keluaran IPTA
Berikut adalah maklumat panggilan temu duga tersebut :-
No. Kad Pengenalan
:861010025936
Nama
:NAWAL BINTI ABD KADIR
Tempat Temu Duga
:BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI (BTPN)
KOMPLEKS PENDIDIKAN JALAN STADIUM
05100 ALOR SETAR
KEDAH
Tarikh Temu Duga
:5 OGOS 2010
Masa Temu Duga
:8.00 PAGI

Saturday, July 24, 2010

Mars HALUAN - Lagu Rasmi Haluan

Alhamdulillah dengan izinNya,Haluan terus mengorak langkah tanpa jemu.

Kukongsikan lagu rasmi haluan untuk anda dengar dan hayati.

Lirik : Tate Qomaruddin
Komposer : Ronny Rachmat
Penasyid : Shoutul Harokah
Studio : Kubu Studio... Lihat seterusnya..
Penerbit : ShouHAR Event Management

Haluan peneraju perubahan
Bina masyarakat berakhlak mulia
Berteraskan Islam Iman Taqwa dan Ihsan
Prihatin penyayang sedia berkorban

Chorus:
Haluan akan terus berbakti
Haluan tiada henti mengabdi
Haluan sentiasa berjuang
Haluan jayalah haluan

Haluan cergas tangkas dan kreatif
Jalin kehidupan yang penuh harmoni
Berakhlak mendidik dan berbakti
Melahirkan pemimpin sejati


Haluan...Jayalah Haluan ^_^

Jika berminat boleh klik url ini :

Sekitar dua fasa kehidupan...

Persinggahan antara dua fasa kehidupan.
Oleh : Nawal Abd Kadir.

Assalamualaikum wrht semua. Sungguh sekejap putaran masa dalam kehidupan kita sehari-hari. Terasa singkat masa yang berlalu sehinggakan peralihan masa yang berlaku ketika masih di zaman belajar dan zaman graduasi terasa bagaikan sekelip mata. Meskipun hari-hari yang dilalui kadang-kadang sukar namun apabila kita sudah melepasinya, kesukaran itu sudah tidak terasa lagi.

Sekarang, saya berada dalam fasa persinggahan. Saya sudah menamatkan pengajian dan sedang membilang hari konvokesyen dan tarikh untuk di'posting'kan. Saya akui saya agak runsing untuk melalui fasa ini. Hal ini demikian kerana saya khuatir saya tidak dapat menyesuaikan diri setelah 4 tahun berhadapan dengan rutin sebagai seorang mahasiswa di universiti. Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Maha Mengetahui. Jadual saya disusun oleh Allah dengan begitu cantik sehinggakan saya sendiri tidak menyedari peralihan jadual dalam kehidupan saya berlaku secara pantas dan menggembirakan saya.


Bagaimana keadaan ini berlaku? Saya meninggalkan bumi ilmu Bangi pada 8 Mei 2010. Saya kembali ke Bangi dua minggu kemudian untuk menguruskan barang-barang yang masih ditinggalkan di sana. Hari-hari selepas itu saya habiskan dengan kesibukan persediaan untuk perjalanan yang jauh,panjang dan penting iaitu Umrah Ziarah ke Mesir,Madinah dan Mekah bersama keluarga saya. Justeru saya tidak punya masa untuk hal-hal yang lain.

Kota yang dibina oleh Sallahuddin al-Ayyubi di Mesir

Kemudian, pada 7 June 2010, kami sekeluarga telah memulakan perjalanan daripada Kangar menuju Kota Kaherah. Ziarah yang bermula di Mesir diteruskan ke Madinah dan seterusnya misi utama iaitu Umrah di Mekah. Dengan izin Allah, rombongan umrah kami diuji Allah dengan pemergian Cikgu Yahya Ismail dan terlepasnya rombongan kami daripada menaiki penerbangan pulang. Kejadian ini telah menyebabkan kami 'tersadai' di Jeddah selama 8 hari sementara menunggu ada tempat kosong untuk pulang.

Saya tiba di Bumi Malaysia tercinta pada 28 Jun 2010 dan sampai di rumah pada 29 Jun 2010. Seminggu selepas pulang daripada Umrah, kami semua masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan perbezaan masa serta jadual yang ternyata berlainan. Lebih kurang seminggu lebih berehat saya diminta untuk menggantikan seorang guru yang sedang menjalani rawatan iaitu Cikgu Marzuki. Saya diminta untuk mengajar subjek Bahasa Melayu.

Pucuk dicita Ulam mendatang. Saya memang ada berhajat untuk berkhidmat di Matri,namun saya berasa tidak yakin dengan kemampuan diri saya justeru saya mendiamkan diri sahaja. Ternyata Allah itu mengetahui apa yang ada di dalam hati hambanya. Saya dengan rela hati mula berkhidmat di Matri pada 12 Julai 2010. Saya ditugaskan untuk mengajar 4 kelas iaitu 2 Ali, 2 Bilal, 2 Asma dan 2 Maryam. Pengalaman ini merupakan yang pertama bagi saya dalam mengajar subjek Bahasa Melayu. Benar. Bahasa bukan suatu subjek yang mudah untuk diajar.

Kerja baru ini adalah cabaran bagi diri ini demi memastikan para pelajar mendapat input yang berguna dan difahami sepenuhnya. Seawal hari-hari itu berlalu saya sudah diamanahkan untuk menanda karangan yang jumlah terkumpulnya adalah 4 karangan. Cuba anda darabkan dengan 132 orang pelajar. Alhamdulillah saya punya hobi membaca apa jua karangan tanpa jemu dan saya berjaya menanda semua karangan tersebut.

Kini saya dalam fasa mengingati nama pelajar dan misi utama saya pada minggu hadapan ialah untuk mengabiskan Ujian Lisan yang dikenali dengan PLBS iaitu Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah. Saya benar-benar terasa indah menjadi guru subjek kegemaran saya iaitu Bahasa Melayu. Walaupun saya bukanlah graduan Bahasa Melayu, namun tugas ini amat bermakna bagi saya dan saya berusaha untuk berkongsi segala pengetahuan sedia ada dengan para pelajar Matri.

Kesibukan saya ini tidak pernah meletihkan jiwa. Jadual saya padat terisi dengan halaqah-halaqah saban petang. Halaqah untuk diri sendiri,halaqah untuk adik-adik dan halaqah untuk sahabat-sahabat rakan seperjuangan yang turut bergelar graduan seperti saya. Kemudian saya juga diminta untuk terlibat dengan Program Aulad/Banat. Sudah lama saya tidak terlibat dengan aktiviti bersama kanak-kanak. Baru dua minggu saya bersama mereka dan merasa gembira dapat meluangkan masa melakukan aktiviti bersama khalifah2 akan datang.

Rombongan kami di hadapan Istana Raja Farouq

Melalui program-program yang tidak pernah putus, saya punya masa untuk bergaul dengan makcik-makcik, sahabat-sahabat, guru-guru dan adik-adik yang dikasihi kerana Allah. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini. Tidak kurang dengan program-program Dakwah dan Tarbiyah, saya juga menghabiskan masa bersama adik-adik saya iaitu Muaz,Nuha dan Abdullah Yaasir. Keadaan ini tidak datang selalu kerana selepas ini kemungkinan saya akan berada jauh daripada keluarga. Saya gembira dapat menjadi 'rakan' kepada adik-adik saya.

Abdullah Yaasir buah hatiku

di Kg. Wang Besar

Oleh yang demikian, setelah jadual saya disusun Allah sepadat demikian, manakan saya punyai masa untuk berfikir tentang hal yang remeh temeh dan saya dengan izin Allah dapat menyesuaikan diri saya dalam fasa kehidupan baru ini dengan baiknya. Alhamdulillah. Setiap penyusunan Allah itu ada hikmahnya yang tersendiri. Coretan ini adalah berkaitan dengan kisah persinggahan saya dalam fasa kedua iaitu zaman selepas belajar dan sedang menunggu untuk berkhidmat sebagai guru di tempat yang Hanya Allah jua yang tahu di mana. Mohon kalian yang membaca catatan ini mendoakan agar saya ditempatkan di sekolah yang sesuai dengan kemampuan saya dan berdekatan dengan keluarga serta adik-adik yang masih kecil.

Insya Allah saya akan berkongsi berkaitan dengan Umrah Ziarah serta aktiviti-aktiviti yang dilalui semasa dalam fasa ini dalam pos akan datang. Ya Allah, permudahkanlah urusan saya dan urusan kamu semua.

Wallahualam

Saturday, June 5, 2010

June 2010

Cerita awal June
Oleh : Nawal

Sedar tak sedar kita sudah berada di pertengahan tahun 2010. Rasa macam baru je masuk tahun 2010 nih. Emm,begitu cepat masa berlalu dan kini June muncul dengan pelbagai cerita yang sedih,gempar,menginsafkan,menyeronokkan,mengujakan dan sebagainya.

Antaranya, Kisah Pewira Islam dalam Konvoi Lifeline 4 Gaza yang menggemparkan umat seluruh dunia dengan serangan Israel laknatullah ke atas mereka.

Kisah pemergian Nurul Jannah Ahmad Sani ke rahmatullah di Langkawi turut menyentap perasaan.

Kemudian, keputusan peperiksaan semester akhirku yang keluar pada 4 June lalu...tidak menggembirakan namun menerbitkan rasa syukur..

Cerita kepulangan wira-wira agama yang kembali daripada Istanbul. Berita gembira penuh syukur melihat mereka selamat dan bersemangat..

dan cerita terakhir adalah Kisah Umrah dan Ziarah keluarga ini ke Mesir,Madinah dan Mekah. Perjalanan yg bakal bermula esok hari ini tidak menjanjikan kepulangan kerana kita tidak tahu apa yang bakal Allah aturkan untuk rombongan ini. Hanya doa dan pengharapan dipanjatkan agar semuanya berjalan lancar. Mohon doa dari anda yang membaca.

Begitulah cerita2 awal June yg dapat disenaraikan...

Mudah2an June akan terus berdiri dengan kisah-kisah yang dapat mendidik hati dan perasaan.

Wallahualam


Wednesday, May 26, 2010

hari baru,langkah baru,matlamat tetap sama...

bergambar bersama Dr.Aderi di hari 'last' paper..final year..

Semua baru...matlamat masih sama..
Oleh : Nawal

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah swt kerana 28 April 2010 yang lalu, merupakan hari terakhir saya menduduki peperiksaan akhir bagi pengajian ijazah saya dalam bidang pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada 7hb Mei 2010 saya telah meninggalkan bumi UKM dan kembali ke negeri Perlis. Kini sudah hampir 3 minggu saya memulakan kitaran atau rutin hidup yang baharu yang jelas sekali amat berbeza dengan 4 tahun rutin hidup sebagai seorang pelajar.

Kini, saya masih tidak terikat dengan apa-apa pekerjaan namun yang pasti keberadaan saya di rumah sedikit sebanyak membantu ibu dan ayah saya. Saya telah cuba menyesuaikan diri dengan jadual baru yang tidak sesibuk di kampus kerana hidup saya sepanjang tahun 4 adalah sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti dan tugasan yang melambak.

Boleh dikatakan setelah habis belajar banyak benda baru yang harus saya pelajari dan sesuaikan diri kerana zaman pelajar saya sudah berakhir. Status juga telah bertukar...kalau dulu orang tanya .." Buat apa skrang?" senang je saya boleh jawab.." belajar di UKM"... sekarang orang tanya saya masih boleh jawab " baru habis bulan 4 ritu,tunggu konvo"... lepas ni kalau orang tanya mestilaa tak boleh jawab mcm tu dah..emm..

Namun, walaupun macam-macam perkara yang berubah, ada suatu perkara yang memang tidak akan berubah sampai bila-bila. Ia adalah matlamat dalam mengerjakan sesuatu di atas muka bumi Allah ini iaitu berkehendakkan redha Allah. Ia adalah ultimate goal yang setiap dari kita impikan. Insya Allah dengan matlamat yang jelas, langkah kita akan teratur dan tersusun dengan lebih kemas sehingga kita dapat mencapai matlamat jangka pendek yang dirancangkan dalam jadual hidup kita.

Marilah sama-sama kita ingatkan diri kita bahawa walau dimana pun kita melangkah, tujuan kita adalah untuk menggapai redha ilahi.Mudah-mudahan matlamat hidup yang jelas dan terang ini akan terus menyuluh kehidupan saya ini. Ya Allah,kekalkanlah daku di atas jalan deen-Mu ini dan pertambahkanlah kefahamanku terhadap deen-Mu...

Wednesday, March 31, 2010

Tentang Nadzirah

Sahabat bintang hati.
Oleh : Nawal Abd Kadir


Aku punya seorang yang layak kugelarkan rakan, teman, sahabat atau apa-apa sahaja yang seumpama maksud denganya. Kukenal manusia ini semenjak tahun pertama semester pertama aku menjejakkan kaki ke bumi bertuah UKM ini. Namun, aku tidak berkawan rapat denganya sehingga semester 2 tahun 2. Kemudian, persahabatan ini terus mekar dan bertambah erat apabila aku ditempatkan ke sekolah yang sama denganya untuk praktikal.

Sebelum praktikal, aku kenal dia sebagai seorang pelajar pandai, bijak, pointer tinggi. Dia seorang yang mudah menangis atau ada kawan aku sebut sebagai 'cengeng' ( jgn marah ea)hehe.. Dalam pada itu, dia seorang yang ceria dan mudah berkawan.

Semasa praktikal, dia semakin aku kenali kerana dua bulan kami menghabiskan masa bersama di sekolah, rumah sewa, lapar bersama, tekanan bersama, hilang suara bersama dan sebagainya. Dia di Klang sangat berbeza dengan dia yang kukenali di UKM. Di Klang, dia kurang ceria dan ini mungkin kerana persekitaran dan tekanan-tekanan yang kami hadapi mempengaruhi emosi dan keceriaanya. Kami berjaya mengharungi dunia praktikal penuh onak dan duri dengan baik. Alhamdulillah.

Setelah praktikal, aku tinggal serumah sewa dengannya. Kini, dia semakin aku kenali dan semakin aku kasihi. Dia

Di Klang, aku semakin mengenali insan ini. Dia ada pelbagai versi wajah, perangai, tingkah laku dan pe'el. Ada ketika dia gembira, senyuman pada wajah dah cukup nak gambarkan betapa happynya dia waktu tu, ada time dia sedih, duka kat muka tu tak sanggup nak tengok, mata jadi kuyu dan segenap urat turut berkerjasama menonjolkan emosi duka tu, keadaan ni berbeza bila tiba aura gedik yang mana Yus labelkan sebagai Joyah. Jika aura joyah sudah muncul, boleh kecoh keadaan sekeliling, ini bermakna hatinya senang ketika itu. Kalau dia berdebar, boleh bawak aura debar tu pada orang sebelah, kalau dia susah hati, boleh tak lalu makan dan minum, dan dia sangat terkenal dengan kebolehanya mengalirkan air mata walau di mana sahaja.

Selain itu, dia sangat mudah tidur. Di mana-mana sahaja boleh tidur. Tapi yang respectnya bila aku drive, dia duk sebelah, dia tak pernah tidur. Dia sering menjadi penunjuk jalan kepadaku dan setia menjadi PA aku yang selalu tak tentu hala ni. Dia kadang-kadang umpama kakak kepadaku tetapi kadang-kadang dia umpama adik kepadaku bila tiba ke hal-hal yang dia malas nak buat. Aku selesa berkawan denganya. Dia tidak lokek memberi nasihat tika aku alpa dan lalai dan tidak jemu mengajarkan aku apa yang aku tak tahu.

Dia sangat penyabar orangnya walaupun dalam sesetengah hal yang lain kadang-kadang dia kalah juga dengan emosi. Dia punya ramai kawan dan peminat dan dia tidak memilih dalam bersahabat. Pelbagai ujian, kisah persahabatan dan nikmat yang aku lalui bersamanya sepanjang bergelar mahasiswa di UKM ini.

Aku pernah menyakitkan hatinya sepanjang berkawan ini dan aku harap dia sudah maafkan aku kerana aku juga telah memaafkan semua salah silap samada sedar atau tidak tingkahnya terhadapku. Aku kini mengasihinya kerana dia merupakan salah satu bintang dalam hidupku.

Aku sentiasa berdoa yang terbaik untuknya. Aku ingin dia bahagia dalam pelukan kasih Yang Maha Pencipta. Aku akan mengasihi dia buat selamanya walaupun kami bakal terpisah kurang daripada sebulan dari tarikh ini.

Dia yang kuceritakan adalah bintang hatiku. Bintang itu ku panggil Nad. Dia adalah Nadzirah. Anak Ustaz Zakaria yang tinggal di Pokok Sena, Kedah.

Wahai yang membaca, sama-samalah mendoakan sahabatku ini.
Doakan persahabatan ini diredhaiNya dan sampai berjumpa di negeri yg abadi.

Sahabat, ketahuilah aku kasih padamu.

Sunday, March 28, 2010

suka duka silih berganti...

Apa Khabar semua?

KEberadaanku di ruangan ini adalah untuk melepaskan apa rasaku.. apa fikirku..terhadap manusia-manusia di sekelilingku...

Gembira ? Itu perkara biasa yang jarang sekali disyukuri kehadiranya oleh kita.

Sedih ? Itu juga perkara biasa yang sering kita keluhi ketibaanya..

Kecewa ? Ini penambah perisa dalam dunia kita..

Bahagia ? Definisikan pada ku apa makna perkataan ini? aku selalu mendengarnya.. aku tahu ramai suka kehadirannya..manusia akan lalai dengannya...

mengapa? kenapa?

bahagiakah jika ia datang dalam sakit?

bahagiakan jika ia datang dalam luka?

bahagiakan kita jika ia datang tanpa bimbingan Yang Maha Pencipta?

bahagiakah jika kerana ia kita sanggup melakukan laranganNya?

bahagiakah andai suatu hari kau kan tersungkur ke lembah hina?

Bahagia inikah yang kau cari?

kalau tidak..mengapa kau terus menyiksa diri?

menyeksa untuk sesuatu yang belum pasti kemilikanmu?

sedang Allah yang patut kau tunduk dan rapat padanya...

Kau takkan bahagia andai kau terus begini..

Kau takkan bahagia tanpa kasih dan redha Allah..

berhenti lah..

cukup2lah kau menyeksa orang yang aku kasihi..

pergilah kau dari hidupnya...

beredarlah dengan cara baik..dan carilah dimana Tuhanmu itu..

mengertilah apa rasa ku ini..

kerana rasaku juga adalah rasa insan yang kukasihi itu....

moga kau memahami bahasa melayuku ini...

Tuesday, February 16, 2010

Terhenti bukan kerana penat..

Assalamualaikum wrht.

Wah..lama rasanya tak menulis di sini. Saya hanya sempat menghantar post pendek sebelum berangkat ke Pangkor 2hb Februari yang lalu. Kini, saya berada di rumah tercinta iaitu di Desa Putera, Kangar. Begitu banyak yang saya lalui dalam tempoh ini sehingga tidak tahu untuk mulakan yang mana satu dahulu..lalu, tinggallah ruangan ini sepi tanpa entri.

Saya akan kongsikan sedikit sebanyak pengalaman di Pangkor, pulang bercuti dan sebagainya. Ya Allah, ilhamkan padaku idea untuk menulis..Aku tak pernah penat untuk menulis, cuma kadang-kadang tiada perasaan untuk menulis..tiada masa dan tiada idea..

see u..

Tuesday, February 2, 2010

BIM : Here we come..

Malam ini saya dan sahabat-sahabat KUMP A akan berangkat ke Kem Rimba Teluk Nipah, Pulau Pangkor bagi menghadiri Kem BIna Insan Murabbi yang dirangka oleh Fakulti Pendidikan untuk pelajar-pelajar tahun 4.

Setelah bertungkus lumus hampir sebulan, maka tibalah medan yang dinantikan untuk mencerna segala persiapan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan segalanya berjalan dengan lancar.

Saya sangat berdebar terutamanya untuk berhadapan dengan aktiviti air, dan juga aktiviti yang memerlukan 'fitness'..namun saya cuba mengawal aktiviti minda saya agar tidak terlalu negatif dan memandang sesuatu dengan pandangan yang positif..

Doakan saya dan kawan-kawan ea..

Wallahualam

Monday, January 25, 2010

Bila FIKIRAN mula bertutur dengan HATI dan FIZIKAL




Dialog Hati , Fikiran dan Fizikal.

Oleh : TKP

SITUASI 1. Sebelum Mesyuarat.

Hati terasa berdebar-debar. “ Boleh ke aku handle malam ni? Mampu ke aku ni? Aku kan tak pandai buat kerja ?”

Fikiran membalas “ Insya Allah boleh. Kau kena percaya pada diri sendiri. Kalau KP tak boleh hadir, sape nak handle malam ni. Yakinlah”.

“ Betul ke ni?”

“ Betul. Betulkan niat, wahai Hati.”

“ Baik, Fikiran. Aku cuba menurut katamu. Aku cuba ikhlaskan diri. Mudah-mudahan Allah bantu aku”.

*****

Kata kawan-kawan…

“ Kau kena tegas sbb kau orang atas”

“ Kau kena cakap apa kau rasa”

“Kau kena jadi diri sendiri”

Hati berkata.. “ Aku tak boleh. Aku tak biasa mengarah orang. Aku tak biasa share perasaan dengan orang jauh”

Fikiran bertegas. “ Kau Boleh”.

Hati menurut lagi kata fikiran.

*****

SITUASI 2. Semasa Mesyuarat.

Fizikal tiba di bilik mesyuarat dalam keadaan berpeluh, kelam kabut dan menggeletar. Hal ini demikian kerana masa yang ada untuk bersiap ke mesyuarat hanya 15 minit sahaja memandangkan Fizikal tiba di rumah pada jam 7.45pm selepas aktiviti ‘fitness’. Fizikal tiba di situ lewat 20 minit.

Hati berkata “ Kawan-kawan mesti marah aku. Astaghfirullah..maafkan aku kawan-kawan. Aku tak berniat membiarkan korang menunggu.”

Fikiran membalas.. “ Diorang faham tu…tak pe. Take yur time and start”.

Hati berdebar-debar. Terasa seperti dicucuk-cucuk. “ Fikiran, aku takut ni. Aku rasa rendah diri dengan diorang. Aku tak mampu nak cakap depan diorang ni. Aku tak biasa cakap dengan diorang ni. Apa aku nak buat ni, Fikiran… Tolong aku.. KP tak dek ni. S.U serah pada aku ni. Aku benar-benar tak mampu ni..”

Fikiran bertindak menenangkan hati yang gundah. “ Hati, dengar sini. Walau macam mana kau tak mampu, walau macam mana kau tak biasa, kau takut dengan diorang, kau tetap tak boleh lari dari sini dan biarkan kawan-kawan mcm tu je. Kau kena hadapi situasi ni. Kau kena rasional sekarang…”

Hati membalas.. “ Tapi aku rasa sakit tiba-tiba ni. Aku tak tau nak cakap apa ni.”

Fizikal mencelah .. “ Aah, aku menggeletar juga ni. Tangan aku shaking. Hati, Fikiran, buatlah sesuatu”.

Fikiran “ Hati, Fizikal, percaya pada diri sendiri. Cakap apa yang ada dalam hati kau. Biarlah apa orang nak cakap, asal kau settle kan kerja kau.Cepat, masa berlalu.”

Hati.. “ Aku cuba ya fikiran..Aku mohon Allah lindung aku dari benda-benda yang memperlihatkan kejahilan dan kecelaanku.”

Keadaan berlangsung dalam keadaan fizikal menurut kata hati dan nasihat fikiran. Ketika itu, hati merasa semakin berat, semakin terbeban, semakin sakit, semakin panas dan semakin berdenyut-denyut.

*****

SITUASI 3. Selepas mesyuarat Fasa 1.

“ selesai kerja kau.” Fikiran berkata.

“ mana da selesai. Banyak benda tak settle.” Hati menjawab.

Berkata orang bijak pandai.

Berkata orang cekap bekerja.

“ Meeting malam ni tak teratur, berterabur..”

“ Kau kena bagi arahan sebab kau MT.”

“ Kau kena buat kesimpulan selepas meeting. Meeting ni mcm tak da pa yang dapat”

“ Kau tak boleh serah pada post-post tu utk bagi arahan.”

“ Kau tak boleh ‘blebel’ sebelum meeting..”

Hati berkata.. “ Masha Allah.,banyaknya salah aku…fikiran, tulaa aku dah gtau, aku tak pandai wat kerja.”

Fikiran.. “ relax dulu hati. Jangan melatah. Itu nasihat diorang. Diorang kan kawan kau.”

Hati terusik.. “ Kau cakap pada aku suruh jadi diri sendiri dan bercakap apa aku rasa kan? Salah rupanya berkongsi apa yang aku rasa pada kawan-kawan ea fikiran?”

Fikiran.. “ Pada aku tak salah. Tapi dah cerdik pandai kata tak boleh. Jangan kau buat dah laa lepas ni..Maafkan aku hati. Aku salah bagi nasihat pada kau.”

Hati.. “ aku tak salahkan kau. Betul sebenarnya apa yang cerdik pandai ni cakap. Aku kena pujuk diri aku untuk terima. Aku terasa panas ni, Fikiran.”

“ Sabarlah hati. Aku terkilan sebenarnya. Diorang ni kan kawan-kawan kita. Kawan yang agak dekat juga kan dengan kita. Kawan yang tahu kita tak pandai wat kerja. Kawan yang tahu kita tak biasa berada di atas. Kalau benar diaorang nak bimbing kita, nak kita wat kerja tiptop, diorang dah jumpa kita sebelum meeting dan bagi panduan, bagi guideline..”

“ betul laa Fikiran. Aku rasa benda yang sama. Diorang selalu tegur aku bila sesuatu tu dah terlepas. Dah berlaku dan tak boleh patah balik, baru diorang tegur. Aku sedih laa sebab aku macam dipersalahkan atas ketidak sempurnaan malam ni. Kita je ke MT, kita je ke Induk ea Fikiran?. Aku tak fahamlaa diorang ni.”

Fikiran memahami perasaan hati namun fikiran lebih rasional daripada hati. “ Aku faham sedih kau tu. Kau rasa tak dak tempat nak share beban ni kan? Kau jangan lupa kita adalah satu. Aku sangat faham apa kau rasa. Tapi sekarang, kita kena terima teguran dan cuba perbaiki kelemahan kita, kelompangan kita dan ketidaksempurnaan kita. Okay, hati?”

“ Baik, Fikiran. Aku akan cuba memujuk diri aku yang terasa seperti dicucuk-cucuk besi panas ni..” Hati cuba bersikap rasional seperti Fikiran. Dalam pada itu, Fizikal mencelah.

“ Setiap sendi aku bergeletar. Aku terasa sakit satu badan. Aku terasa lemah ni. Aku rasa macam nak balik dan rehat.”

“ Relax Fizikal. Banyak benda tak selesai lagi nih. Kau bertahanlah yea. Ingat, kami sentiasa memahami kau.” Fikiran seperti biasa mengambil tugas memujuk.

*****

SITUASI 4. Selepas mesyuarat Fasa 2.

“ Hati, kau okay dah?” Fikiran mencelah.

“ Belum, Fikiran. Kau?”

“ Aku rasa nak kosongkan diri aku lah. Tak nak bincang tentang hal ni.. aku rasa nak campak semua benda ni pada orang lain. Kenapa aku yang kena tanggung beban ni. Kenapa aku je yang macam orang gila disebabkan hal ni.”

“ Fikiran, sabar-sabar. Kau jangan buat benda bodoh macam tu. Kalau kita lepaskan tanggungjawab kita ni, kita pun sama ‘mengong’ macam kawan-kawan kita. Kita nak ke diri kita jadi insan yang menyusahkan orang lain macam yang diorang buat tuh? Mesti tak nak kan? Kita kan saling lengkap melengkapi, aku yakin aku kena ikhlaskan diri aku. Aku kena yakin Allah akan tolong kita. Barulah kita akan lega..”

“ Aku setuju. Tengoklah macam sekarang, walau aku letih tapi aku tetap bersama korang.” Fizikal mencelah lagi.

“ Tapi susah kan Hati, Fizikal.”

“ Ya. Sangat susah. Inilah medan amal untuk menguji kesabaran kita. Betul tak Fikiran?”

“ Inilah benda yang sering aku terlupakan bila diuji Allah benda seberat begini..Terima Kasih Hati kerana mengingatkan aku.”

Hati seiring dengan Fikiran dan Fizikal melepaskan bebanan yang ditanggung di Kolej Rahim Kajai.

*****

SITUASI 5. Tiba di Rumah.

Sahabat-sahabat seperti biasa bermesyuarat pula di ruang tamu rumah menyatakan rasa hati masing-masing sepanjang mesyuarat.

Hati kembali berdenyut.

Fikiran kembali runsing.

Fizikal terasa semakin lemah.

Kerana, kekurangan-kekurangan itu berpunca dari mereka bertiga yang merupakan insan lemah tak berdaya. Fikiran tidak boleh berhenti memproses maklumat. Hati tidak boleh berhenti dari terasa panas dan berdenyut. Cuma Fizikal sahaja yang terdampar merehatkan sendi-sendi di ruang tamu rumah itu.

Keadaan ini berlanjutan sehingga jam 3am.

Fizikal bersuara.. “ Hati, Fikiran, sedar tak aku tak berehat daripada kita sampai di Bangi ni pagi tadi sampai laa sekarang ni. Korang sedar tak. Aku sangat letih ni,bai..”

Fikiran.. “ Alamak ! Aku lupa kita baru sampai pagi tadi.Banyak sangat benda kena settle kan. Maafkan aku Fizikal, banyak kerja sampai lupa kebajikan kau.”

Hati.. “ Aku pun minta maaf , Fizikal. Disebabkan kitorang, kau tak mendapat hak yang sepatutnya.”

“ Jomlah kita berehat. Mudah-mudahan esok ada sinar untuk kita”.

Fizikal melangkah naik ke atas. Seluruh tubuh sudah tidak bermaya, namun mata tidak mahu lelap. Lalu tangan menggapai sebuah buku di tepi tilam. Tajuknya lebih kurang begini..“ Apabila ‘ Allah menguji kita’.

Fikiran berkata. “ Elok sangat dah. Baca laa sekejap’.

Hati terasa terpujuk dengan kalimah-kalimah yang ditatap oleh mata. Antaranya ‘janganlah kita ingat benda yang sudah berlalu, kerana itu telah ditulis. Ia adalah ketentuan Allah. Kalau anda boleh patah balik ke sebelum sesuatu kejadian itu, apakah anda yakin anda dapat merubah apa yang anda sesali sekarang..” Lebih kurang begitulah maksudnya.

Fikiran terasa ringan. Hati berhenti menyucuk-nyucuk. Allah, rasa lapang sekejap. Mengapa kita bertiga tidak berserah pada Allah? Lalu, mata terpejam dan berehatlah mereka bertiga buat sementara.

*****

Pagi. Tercelik sahaja mata. Alhamdulillah masih dihidupkan atas muka bumi Allah ini.

Fikiran terus bekerja. “ macam-macam benda nak buat hari ni.”

Hati.. “ sekejap-sekejap. Fizikal, boleh minta tolong tak”

Fizikal bertanya “ Ape halnya”

Hati membalas “ Boleh tak kau coretkan kisah kita bertiga ni?..”

Fizikal.. “ Bisa diatur wahai hati.” Lalu Fizikal melangkah turun ke bawah dan mengambil labtop dan mula menaip kisah mereka bertiga… Inilah dia kisah Hati, Fikiran dan Fizikal. Tiga serangkai yang sering bekerjasama, saling menenangkan, saling memujuk, saling berkongsi rasa sakit dan perit, saling memahami dan bertoleransi. Tanpa kolaborasi antara mereka bertiga, boleh tidak siuman rasanya manusia yang bernama AKU ini.

Sekadar perkongsian.


" Tiit...telefon berbunyi.." Datang pelbagai kerunsingan untuk hari ni...

Moga 3 fakulti insan AKU boleh menangani tugas hari ini.

Wallahualam..