Let's share yur kind words here... (" _ ")

Sunday, April 8, 2012

Teks Syarahan MTQ 2012 (4) Dinnie Asyraf

Teks Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Muamalat Islam Menjamin Keadilan Sosial
Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“MUAMALAT ISLAM MENJAMIN KEADILAN SOSIAL”
Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Muamalat Islam  membawa erti sebagai tatacara atau peraturan dalam perhubungan sesama manusia samada  berlandaskan syari’at Islam. Menjamin menurut Kamus Dewan pula bermaksud berjanji menanggung kewajipan atau keselamatan orang lain manakala Keadilan Sosial pula bererti manifestasi keadilan di dalam seluruh hal-hal kemasyarakatan.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang pertama berbunyi “ Muamalat Islam Membentuk Negara Berintegriti.
Muamalat Islam yang dibina atas wahyu Ilahi telah memupuk nilai-nilai kejujuran,keikhlasan dan amanah  ketika berurusan sesama manusia dalam apa jua bidang. Budaya ini akan membebaskan masyarakat daripada tertindas angkara perlakuan tidak jujur dan pecah amanah.  Kerajaan telah berjaya melaksanakan enam daripada sembilan inisiatif  yang terkandung di dalam Pelan Hala Tuju Program Transformasi dalam usaha membanteras rasuah di negara kita. Hal ini selaras dengan peringatan yang Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 188,

Maksudnya “ dan janganlah kamu memakan harta orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah”.
Maka, jelaslah di sini bahawa  Muamalat Islam Membentuk Negara Berintegriti.

Hadirin warga dewan sekalian,
Wacana fikrah saya yang kedua merupakan  Muamalat Islam Membanteras Penipuan Dan Pergaduhan.
Urusan jual beli, pinjaman dan insurans yang tidak mematuhi garis panduan syarak lazimnya dikaitkan dengan unsur penipuan dan pergaduhan.  Urwah b. Zubair  merupakan seorang sahabat Rasulullah yang bijaksana dan jujur dalam berniaga  sehingga didoakan oleh baginda agar mendapat keberkatan dalam urusan jual belinya. Perkara ini tepat dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8,

“ Berlaku adillah kerana adil  itu lebih dekat dengan taqwa”
Penubuhan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia  telah dapat membantu membanteras unsur penipuan dan pergaduhan dalam aktiviti-aktiviti perniagaan dan kepenggunaan. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Muamalat Islam Membanteras Penipuan dan Pergaduhan.

Hadirin Penjana Transformasi Negara,
Wacana fikrah saya yang ketiga merujuk kepada Muamalat Islam Membentuk Budaya Kerja Cemerlang.
Seorang manusia yang mematuhi tatacara muamalat Islam pasti akan berusaha meningkatkan produktiviti amal dan memperbaiki kesilapannya. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 58 ,
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah memerintahkan setiap kamu menunaikan amanah kepada ahlinya”.
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan suatu budaya kerja yang cemerlang dan perlu dilaksanakan oleh setiap kakitangan kerajaan. Indeks Prestasi Utama dalam Enam Teras Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membuktikan kesungguhan pemimpin Negara dalam membentuk budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan masyarakat.
Maka, perasaan ingin memberikan yang terbaik ketika berkhidmat ini mengukuhkan fakta bahawa “ Muamalat Islam Melahirkan Budaya Kerja Cemerlang”.

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang keempat ialah “Muamalat Islam Menjana Negara Berkebajikan”.
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 276 yang berbunyi,

Maksud “ Allah memusnahkan riba’ dan menyuburkan sedeqah”.
Khalifah Islam yang ketiga, saidina Umar al-Khattab telah menunjukkan cara bagaimana untuk membantu golongan fakir dan miskin secara efisyen.  Sifat suka membantu dan berbuat kebajikan ini akan berupaya membentuk perpaduan mapan dalam sesebuah masyarakat. Sebanyak 50 Klinik 1 Malaysia telah dibina dengan peruntukan RM10 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah. Maka, jelaslah di sini bahawa Muamalat Islam Menjana Negara Berkebajikan.

Sidang dewan yang budiman,
Wacana fikrah saya yang kelima merupakan “ Muamalat Islam Menjamin Keseimbangan Ekonomi Negara”
Ekonomi Islam berteraskan keadilan dan seimbang menghapuskan jurang antara golongan miskin dan kaya. Islam amat mengambil berat terhadap keadilan sosial dan keseimbangan ekonomi sejajar dengan sabda Rasulullah riwayat Muslim yang bermaksud “ Ambillah harta daripada orang kaya dalam kalangan kamu dan diberikan kepada orang-orang miskin”.  Bantuan rakyat dan Kedai rakyat 1 Malaysia  merupakan  suatu mekanisma pengagihan wang dalam dasar transformasi ekonomi negara kita.
Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa Muamalat Islam menjamin Keseimbangan Ekonomi Negara.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang keenam dibawah lembayung kata “ Muamalat Islam Membina Kestabilan Politik”
Islam adalah agama pembawa sejahtera. Rasulullah merupakan contoh tauladan yang baik dalam menangani masalah masyarakat Islam dengan menggunakan pendekatan hikmah dan bijaksana ketika berhadapan dengan masyarakat Thaif . Firman Allah dalam surah an-Nahl : 125

Maksudnya “ Serulah ke jalan TuhanMu dengan hikmah dan nasihat yang baik”.
Oleh itu, kita haruslah menggunakan pendekatan Islami dalam menghadapi krisis kewangan dunia, ketidaktentuan politik dalam dan luar negara serta beriltizam menjadikan kesaksamaan dan keadilan sebagai asas dalam mengendalikan negara.
Maka, jelaslah bahawa “Muamalat Islam Membina Kesejahteraan Politik”

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa Muamalat berlandaskan syariat Islam dapat
1.      Membentuk Negara Berintegriti
2.      Membanteras Penipuan dan Pergaduhan
3.      Membentuk Budaya Kerja Cemerlang
4.      Menjana Negara Berkebajikan
5.      Menjamin Keseimbangan Ekonomi
6.      Membina Kesejahteraan Politik
Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.

Sekian.


Teks Syarahan MTQ 2012 (3) Dinnie Asyraf

Teks Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Ketokohan Sahabat Rasulullah Model Insan Bestari
Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL INSAN BESTARI ”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad saw manakala Model Insan Bestari pula ialah suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang bijaksana.
Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal b. Rabah Model Insan Bestari”.
Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal b. Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari. Namun , keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal  lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,

bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa
Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Mesir yang melibatkan pelajar perubatan Malaysia, Muhammad Ammar b. Zulkifli? Ibunya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian  . Maka, jelaslah terbukti bahawa  Keimanan Bilal B. Rabah Model Insan Bestari”.

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan Bestari”.
Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar saat menutup lubang ular dalam Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.
Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,

Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu
Kakitangan awam negeri Perlis haruslah mematuhi seruan Menteri Besarnya, Datuk Dr. Mad Isa b. Sabu yang berharap agar kualiti kerja dan ketepatan masa menjadi keutamaan dalam bekerja. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan Bestari”

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah frasa “ Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab, Model Insan Bestari ”.
Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.  Keberanian Dato Dr Sheikh Muzaffar  dalam mengambil risiko meneroka angkasa lepas wajar dicontohi kita.  Sikap pemimpin yang sebegini harus menjadi contoh generasi baru kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah,
رعيته عن مسؤول وكلكم راع كلكم
Maksudnya “ Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.
Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab Model Insan Bestari”.

Hadirin penjana minda berwawasan,
Wacana fikrah saya yang keempat  di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model Insan Bestari”
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,
مسلم كل على فريضة العلم طلب

Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan )
Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib Model Insan Bestari.

Hadirin penjana transformasi negara,
Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman b. Affan Model Insan Bestari”
Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 ,

“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari”.
Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54

Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang

Khalid telah meninggal dunia di atas katil. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Namun, wawasan akhirat Khalid ketika berjuang di medan jihat, wajar dijadikan contoh seterusnya membuktikan bahawa Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini dapat melahirkan seorang muslim yang bestari.
Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.
Sekian.

Teks Syarahan MTQ 2012 (2) Dinnie Asyraf

Teks Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Rezeki yang Halal Menjamin Keberkatan Hidup
Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“REZEKI YANG HALAL MENJAMIN KEBERKATAN HIDUP”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Rezeki yang halal merujuk kepada segala bentuk nikmat  dan kurniaan Allah yang diperolehi dengan cara yang dibenarkan  oleh syarak . Menjamin menurut Kamus Dewan pula bermaksud berjanji menanggung kewajipan atau keselamatan orang lain manakala Keberkatan Hidup pula merujuk kepada rasa cukup dan tenang dengan segala ketentuan Allah.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang pertama berbunyi “ Mencari Rezeki Yang Halal Suatu Kefardhuan “
Islam sangat menitikberatkan soal mencari dan memakan rezeki yang halal. Rasulullah bersabda dalam hadis riwayat Ibn. Mas’ud :
طَلَبُ الحَلاَلُ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسلِمٍ
Maksudnya : Mencari yang halal itu wajib bagi setiap orang Muslim

Mengimbau rentetan peristiwa hijrah, kegigihan Abdul Rahman b. Auf memulakan perniagaan sendiri wajar dicontohi umat Islam. Akhbar Sisipan Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari  telah mengisahkan kejayaan yang telah dicapai oleh agensi FELDA dalam pelbagai sektor yang mencerminkan kesungguhan mereka mencari rezeki yang halal. Jelaslah di sini bahawa “Mencari Rezeki Yang Halal Suatu Kefardhuan”

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua, “ Rezeki Yang Halal Melahirkan Insan Soleh”
Usaha Rasulullah dalam melahirkan generasi Rabbani bertitik tolak daripada sumber rezeki yang berkat dan halal.  Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam melahirkan rakyat yang mempu mencari rezeki yang halal menerusi pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia. Menyingkap kisah Saidina Abu Bakar as-Sidiq  yang telah menafkahkan seluruh jiwa dan hartanya untuk perjuangan Islam. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad,
نعمَ الماَلُ الصَالِحُ للرَّجُلِ الصَّالِحِ
Sebaik-baik harta itu untuk manusia yang baik
Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa “ Rezeki Yang Halal Menjana Insan Soleh”.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga ialah “Rezeki Yang Halal Menjana Istiqamah dalam Ibadat”
“. Ibadah sahihah merupakan ciri yang kedua yang perlu ada dalam diri individu muslim menurut Imam Hassan al-Banna. Amalan  ini haruslah dilazimi dengan sepenuh hati kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-2,
Maksud : “ Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya “
Khalifah Umar Abdul Aziz telah membuktikan bahawa mencari rezeki yang halal itu adalah ibadah dan mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera apabila tiada seorang pun rakyat pada zaman pemerintahanya layak menerima bantuan zakat. Hal ini demikian kerana ibadah zakat telah disempurnakan oleh setiap daripada umatnya.
            Oleh itu, terbuktilah di sini bahawa “ Rezeki yang halal, menjana istiqamah dalam ibadah”.

Hadirin warga dewan sekalian,
Wacana fikrah keempat berbunyi ““ Rezeki Yang Halal Mencetus Insan Berdikari”
Rasulullah merupakan insan paling berdikari apabila membesar sebagai seorang anak yatim. Allah berfirman dalam surah al-Jumu’ah ayat 10,

Maksudnya : “ Maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah kamu daripada limpah kurnia Allah”.
Rasulullah telah memuliakan para sahabatnya yang mencari rezeki yang halal berbanding dengan yang hidup dengan hanya meminta-minta. Jutawan Internet,Irfan Khairi telah meletakkan sepenuh usaha berbekalkan ilmu yang ada dalam menjana pendapatan yang halal. Maka, terbukti di sini bahawa “Rezeki Yang Halal mencetus Insan Berdikari”

Hadirin pencerna idea praktis,
Wacana fikrah saya yang kelima merupakan “ Rezeki yang Halal  menjana  Ekonomi Umat Islam”
Islam telah menggariskan tatacara dalam mendapatkan rezeki. Perniagaan adalah salah suatu cara untuk meningkatkan ekonomi umat Islam. Rasulullah bersadbda,

تسعة أعشار لرزق في التجارة
Maksudnya : Berniagalah kamu, 9/10 daripada rezeki itu adalah menerusi perniagaan.
Malaysia sangat terkenal dengan produk hub halal yang telah berjaya menjana ekonomi umat Islam sehingga berjaya menembusi pasaran dunia. Kini sudah terdapat enam hub halal di Malaysia yang sedang beroperasi manakala tiga lagi masih di dalam perancangan.
Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa Rezeki yang Halal menjana Ekonomi umat Islam.

Hadirin penjana transformasi Negara,
Wacana fikrah saya  yang keenam berbunyi “ Rezeki Yang Halal  Membentuk Akhlak Mulia “ Saidina Ali r.a menyifatkan akhlak mulia dengan beberapa perkara seperti memiliki akal yang sempurna, bersabar, bersyukur, suka berbuat kebaikan dan sebagainya. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan budaya Islam. Sifat pemurah ini merupakan sifat Rasulullah, tokoh yang wajar dicontohi akhlak dan peribadinya sepertimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21,

Maksudnya : “ Pada diri Rasulullah itu ada suri taudalan yang baik

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketujuh, “ Rezeki yang Halal Menjamin Kesihatan Mapan” Umat Islam perlu memastikan makanan yang diambil datang daripada sumber yang halal demi kesihatan yang berpanjangan. Program 1 Murid 1 Sukan adalah antara agenda negara dalam melahirkan warganegara yang sihat dan cerdas. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim,
Mu’min yang kuat lebih dicintai Allah dari mu’min yang lemah
Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa Rezeki yang Halal Menjamin Kesihatan Mapan.
Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa Rezeki yang Halal

1.      Adalah suatu Kefardhuan
2.      Melahirkan Insan Soleh
3.      Menjana Istiqamah dalam Ibadah
4.      Mencetus Insan Berdikari
5.      Menjana Ekonomi Umat Islam
6.      Membentuk Akhlak Mulia
7.      Menjamin Kesihatan Mapan

Konklusinya, setiap daripada rezeki yang jelas status halalnya akan dapat melahirkan masyarakat mutakhir yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk negara khususnya dan negara amnya.


Monday, April 2, 2012

Teks Syarahan MTQ 2012 (1) Dinnie Asyraf

Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Penghayatan Hari Pembalasan Menjana Insan Kamil
Oleh : Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim (SMK Bandar Sungai Buaya)


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“PENGHAYATAN HARI PEMBALASAN MENJANA INSAN KAMIL”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya.   Penghayatan membawa erti sebagai memahami dan meyakini sedalam-dalamnya akan sesuatu perkara. Hari pembalasan pula ialah hari kebangkitan dimana amalan manusia akan dihisab dan hari penentuan pengakhiran hidup seorang manusia  Menjana pula ialah menghasilkan dan  Insan kamil pula ialah individu yang memiliki keseimbangan dalam empat fakulti insan iaitu emosi, rohani, aqli dan jasmani yang sempurna serta lengkap.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Fokus mauduk  saya yang pertama di bawah wacana fikrah , “Penghayatan Hari Pembalasan Melahirkan Akidah Yang Teguh”  Perkara pertama dan utama yang wajib bagi setiap insan ialah meyakini bahawa Allah itu Esa dan berkuasa. Namun, isu ajaran sesat seperti munculnya ajaran ‘Kerajaan langit Ayah Pin’ serta ‘Rasul Melayu Kahar Ahmad’ merupakan antara 102 ajaran sesat yang bertapak dalam negara kita menurut laporan Bernama. Seorang individu muslim yang sentiasa mengingati hari pembalasan akan sentiasa mengelakkan dirinya daripada terjebak ke dalam kancah syirik seperti ajaran sesat yang bertapak di Malaysia bertepatan dengan nasihat Luqmanul Hakim yang pertama kepada anaknya telah Allah abadikan di dalam surah Luqman Ayat 13 ,

Maksudnya : “ Janganlah kamu mempersekutukan Allah kerana mempersekutukan Allah merupakan suatu kezaliman yang besar.” 
Maka, jelaslah bahawa Penghayatan hari Pembalasan melahirkan akidah yang teguh.

Hadirin sidang dewan sekalian,
Wacana fikrah saya yang kedua “ Penghayatan Hari Pembalasan, menjana istiqamah dalam ibadah “. Ibadah sahihah merupakan ciri yang kedua yang perlu ada dalam diri individu muslim menurut Imam Hassan al-Banna. Amalan  ini haruslah dilazimi dengan sepenuh hati kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-2,
Maksud : “ Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya “
Khalifah Umar Abdul Aziz telah membuktikan bahawa sesuatu ibadah yang dilaksanakan secara konsisten mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera apabila tiada seorang pun rakyat pada zaman pemerintahanya layak menerima bantuan zakat. Hal ini demikian kerana ibadah zakat telah disempurnakan oleh setiap daripada umatnya.
            Oleh itu, terbuktilah di sini bahawa “ Penghayatan Hari Pembalasan, menjana istiqamah dalam ibadah”.

Hadirin sidang dewan yang beriman sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga “ Penghayatan Hari Pembalasan, Memupuk Sifat  Malu Dalam Diri Manusia “ . Manusia yang memiliki rasa malu akan takut untuk berbuat dosa dek rasa malu kepada Allah. Membudayakan sifat malu berupaya menjadi benteng seseorang daripada terjebak dengan maksiat seperti hubungan terlarang, homoseks dan sebagainya. Masihkah kita ingat akan peristiwa yang menggemparkan lagi memalukan apabila seorang pelajar Malaysia di bawah tajaan Petronas yang sedang menuntut di luar negara telah berkahwin dengan lelaki berbangsa Inggeris di Ireland. Astaghfirullahal azim…
Marilah kita menjaga diri kita daripada mencontohi peristiwa yang berlaku kepada umat Nabi Luth a.s dengan meningkatkan keimanan kepada Allah serta mendidik sifat malu sepertimana dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud,
“ rasa malu dan iman sebenarnya berpadu menjadi satu, maka apabila hilang salah satunya , maka hilanglah yang lain.”
Tuntasnya, terbukti bahawa  Penghayatan Hari Pembalasan, memupuk sifat malu dalam diri manusia’

Hadirin penjana transformasi Negara,
Wacana fikrah saya  yang keempat berbunyi “ Penghayatan Hari Pembalasan Membentuk Akhlak Mulia “ Saidina Ali r.a menyifatkan akhlak mulia dengan beberapa perkara seperti memiliki akal yang sempurna, bersabar, bersyukur, suka berbuat kebaikan dan sebagainya. Maka, insan yang sentiasa mengingati mati dan hari akhirat akan berusaha gigih memenuhi setiap harinya dengan melakukan amal kebajikan. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 ,
“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang kelima berbunyi “ Penghayatan Hari Pembalasan, Memartabatkan Budaya Ilmu“ Frasa ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

“ Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan”
Harus kita ingat bahawa, ilmu pengetahuan yang berlandaskan syariat mampu membawa manusia menerokai dan membugarkan budaya keintelektualan  tanpa tersimpang daripada matlamat mendapatkan redha Allah. Keimanan kepada hari akhirat telah menjadikan Ibn Sina sebagai seorang yang berjaya menghuraikan ilmu-ilmu berkaitan perubatan dan falsafah.  Selain itu, Nik Nur Madihah,seorang pelajar cemerlang SPM tahun 2008 telah membuktikan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikanya seorang yang memiliki wawasan untuk mengubah nasib keluarganya. Maka, berdasarkan contoh yang diberi, jelaslah bahawa Penghayatan Hari Pembalasan,Memartabatkan Budaya Ilmu”

Hadirin  yang setia mendengar sekalian,
Wacana fikrah saya yang terakhir merupakan “ Penghayatan Hari Pembalasan Mencetuskan Budaya Kerja Cemerlang” Seorang manusia yang berfikir tentang masa depan akhiratnya,pasti akan berusaha meningkatkan produktiviti amal dan memperbaiki kesilapannya. Budaya rasuah, sifat tidak adil, lemah dan tidak proaktif pasti akan dijauhi andai keimanan terhadap hari pembalasan menguasai jiwanya. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 36 ,
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah memerintahkan setiap kamu menunaikan amanah kepada ahlinya”.
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan suatu budaya kerja yang cemerlang dan perlu dilaksanakan oleh setiap kakitangan kerajaan. Indeks Prestasi Utama dalam Enam Teras Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membuktikan kesungguhan pemimpin Negara dalam membentuk budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan masyarakat.
Maka, perasaan ingin memberikan yang terbaik ketika berkhidmat ini mengukuhkan fakta bahawa Penghayatan Hari Pembalasan Melahirkan Budaya Kerja Cemerlang”.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa menginsafi masa depan akhirat kita melahirkan seorang manusia berjiwa hamba yang sentiasa berusaha mematuhi syariatNya.
Kita juga memahami bahawa ,  “Penghayatan Hari Pembalasan,
1. Melahirkan Akidah Yang Teguh
2. Menjana Istiqamah Dalam Ibadah
3. Memupuk Sifat  Malu Dalam Diri Manusia
4. Membentuk Akhlak Mulia
5. Memartabatkan Budaya Ilmu
6.  Mencetuskan Budaya Kerja Cemerlang

Konklusinya, penghayatan terhadap hari akhirat amat penting dalam membentuk insan kamil. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan. 

Sekian.