Semangat Oh Semangat
Oleh : Nawal_sensei
Cuti dua minggu berlalu dengan pantas sekali. Tidak terasa masa yang berlalu. Dalam pada itu saya sibuk membilang hari berangkatnya saya pulang ke medan perjuangan. 'Crocs River'. Membilang hari bukan kerana suka tetapi dek rasa berat hati yang melanda. Saya bagai tiada kekuatan mahu melangkah ke sana sehingga suatu hari saya disedarkan dengan kata- kata yang mengembalikan rasa untuk saya pulang ke bumi felda itu.
" Kak Nawal, medan Kak Nawal di Crocs River, Desa Putera tempat cas tenaga sahaja. Tak boleh cas lama-lama nanti leaking pula" ( nazz_nazihah)
Ya benar. Medan saya di sana. Tempat saya berjuang. Benar juga bahawa pulangnya saya ke Kangar dapat mengecas semangat saya yang semakin luntur setelah bergelumang di bumi Crocs River itu.
Mengapa semangat saya luntur? Jawapannya biarlah saya simpan sendiri. Andai kamu berada di tempat saya, kamu pasti dapat meneka dan memahaminya. (",)
Antara aktiviti saya semasa cuti ialah menanda kertas jawapan bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011. Saya punya lebih 190 sheet untuk ditanda. Saya mendapati ramai dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 yang saya ajar tidak dapat menjawab dengan baik. Astaghfirullahal 'Azim..
Soalan bertanya : Apakah perbezaan antara Muslim dan Mukmin ?
Jawapan ditulis : Muslim - lelaki, Mukmin- perempuan.
Muslim - Cina masuk Islam, Mukmin- Orang Islam
Sedih saya.
Soalan bertanya : Apakah maksud Istinjak?
Jawapan ditulis : ' tak tahu laa ustazah'..
mengambil wudhu' menggunakan debu.'
Terkedu saya.
Soalan bertanya : Berikan perkara yang membatalkan wudhuk
Jawapan ditulis : Korek hidung,
Bermain-main dengan kawan,
Senyum saya.
Soalan bertanya : Siapakah wanita pertama mati syahid?
Jawapan ditulis : Siti Khadijah
Siti Fatimah
Terdiam saya.
Pelbagai rasa bertandang saat saya menanda kertas mereka itu. Saya benar-benar tenggelam dalam emosi yang sukar untuk dimengertikan tambah-tambah mengenangkan kata-kata abah ...
" Student kamu tak bleh jawab, nak salah siapa? Salah ustazah dia laa ...."
Bedebuk !!... Bagai dihempap seketul batu besar di pundakku,....
Justeru, apa yang boleh saya katakan.....
Saya sedih kerana dengan jawapan sebegitu ternyata saya gagal menyampaikan ilmu dengan baik.
Saya terkedu kerana jelas pelajar saya tidak dapat memahami dan mengaplikasikan 'ibadah' dengan betul dalam kehidupan seharian.
Saya tersenyum perit mengenangkan lemahnya saya dalam menguasai kemahiran menjelaskan sesuatu dengan baik kepada pelajar.
Saya terdiam sepi kerana saya tahu saya harus lakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka. Di hati tersemat azam membara mahu membantu para pelajar kesayangan saya.
Ya. Semangat itu datang kembali. Bateri semangat saya sudah benar-benar 'full'.
Bersediakah saya untuk pulang berhadapan dengan pelajar-pelajar saya?
Insya Allah. Hati berbisik sendiri. Azam terus dipesankan kepada diri. Saya bersemangat untuk menerangkan dengan penuh kesabaran kepada pelajar tentang asas-asas dalam kehidupan seorang pelajar muslim terutamanya dalam hal ibadah.
Lalu, melangkahlah saya pulang ke realiti medan saya di Crocs River berbekalkan semangat dan azam yang tinggi. Saya tidak mahu menjadi guru yang mudah berputus asa terhadap para pelajarnya. Saya tidak mahu menjadi pendidik yang hanya tahu 'marah' apabila pelajarnya lambat faham. Saya tidak mahu menjadi sensei yang mudah mengalah sebelum berjuang !
Justeru, apabila kita sudah berkata-kata tentang sesuatu, pastilah kita akan diuji oleh Allah, bukan?
>> Hari Pertama di sekolah Penggal Kedua.
Saya berbincang dengan pelajar tentang soalan 4 Bab (Ibadah). Saya menerangkan kepada pelajar perbezaan antara rukun wudhuk, perkara sunat ketika wudhu', perkara makruh ketika wudhu' dan adab ketika berwudhu'.
" Ada soalan nak tanya ustazah?" soal saya.
" Tak da..." jawab mereka.
" Betul ni, kalau awak ada soalan, tak faham, tak jelas, keliru, awak boleh tanya ustazah sekarang, perkara ni kita buat dalam kehidupan kita seharian, jadi kita kena faham betul-betul" saya terus memberi peluang.
" Tak ada ustazah.." ada yang menjawab begitu. Ada yang menggeleng. Tidak kurang yang tunduk rapat ke meja. Ada yang mengelamun dan ada yang memberikan perhatian sepenuh hati kepada saya.
" Okay. Kalau macam tu, Ustazah nak tanya, 'Khairi mengambil wudhuk tanpa menghadap ke kiblat, sah atau tidak wudhuk Khairi tersebut' ?"
" Sah !!!!!"
" Tidak Sah !!!.." Lebih ramai bersuara yang ini.
" Pelajar, mengambil wudhuk menghadap ke kiblat tu termasuk dalam perkara apa?" soal saya lagi.
Ramai yang diam. Ada yang memberikan jawapan yang pelbagai. Ada pelajar yang menjawab lagi " Sah ustazah"..
" Okay, kenapa sah?" terus saya menyoal.
" Sebab, tempat ambil wudhuk kat masjid Kg. Sg Buaya tak mengadap ke kiblat.." penuh konfiden pelajar tersebut menjawab.
Ha ha ha ha ha ha ha ...Kelas riuh dengan gelak ketawa.
Saya terus menerus membawa mereka untuk mengaitkan mengadap ke kiblat merupakan adab dalam berwudhuk sebagai jawapan kepada soalan saya tadi.
Begitulah sekelumit cerita kecil dalam kelas -kelas saya yang saya hadapi dalam setiap hari kehidupan saya di sekolah. Saya memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk menangani pelajar saya. Saya memang perlukan suasana yang dapat menghidupkan hati saya supaya saya terus teguh berdiri untuk mendidik para pelajar.
Pelbagai cerita manis,masam,pahit,kelat bersulam tawar mengisi ruang dalam medan perjuangan saya di sini. Apa yang saya perlu lakukan ialah menghadapinya dengan penuh iltizam untuk meningkatkan prestasi diri dan memberi sumbangan kepada pelajar, sekolah dan juga yang utama ISLAM.
Kadang-kadang saya terfikir, sampai bila saya boleh bertahan?
Jawab saya " Saya harus bertahan sampai bila-bila kerana medan ini adalah medan amal yang jelas matlamatnya untuk melahirkan insan-insan rabbani yang soleh lagi musleh."
Bisik hati saya " Saya harus menjadi seperti allahyarhamah guru kesayangan saya Ummi Halimatun yang sentiasa bersemangat dan tidak pernah mengalah..Perjalanan saya masih sangat panjang,..saya harus bersabar dan meniti realiti dengan penuh hati-hati "..
Semangat Oh Semangat. Teruslah membara demi mendidik anak bangsa..
Saya mengharapkan doa daripada anda yang membaca. Andai sudi, tinggalkanlah pesan buat guru biasa ini. Tinggalkanlah kata-kata semangat buat guru muda yang masih tidak cukup pengalaman ini. Tinggalkanlah mutiara yang dapat guru novis ini jadikan panduan....
Wallahualam.
Team Badminton SMK BSB dalam kenangan
SMK Bukit Sentosa 2, 2011
Ps :- Jzklh buat 'Penasihat Update Blog' saya,. yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya...Terus tersenyum dan ceria....