Mencari Harga Diri di tengah Rimba Hulu Tamu
Oleh : Nawal Abd Kadir
>> Kem apa ni? <<
Pada 24-26 Jun 2011 yang lalu, saya telah ditugaskan sebagai AJK Dokumentasi merangkap AJK Keselamatan bagi sebuah kem anjuran SMK BSB iaitu KEM SKUAD ELIT PMR dan SPM 2011. Kem ini bertempat di Kem Rimba Hulu Tamu, Batang Kali yang terletak lebih kurang 30 minit daripada Bandar Sungai Buaya. Untuk makluman, pelajar yang mengikuti kem ini merupakan pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang terpilih bagi mengikuti Kelas Tambahan Skuad Elit. Mereka merupakan antara pelajar yang diharapkan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR mahupun SPM.
>> Cerita Saya <<
Saya ingin berkongsi hanya sebahagian daripada pengisian kem ini iaitu Ekspedisi ke gua. Pada asalnya kami para guru menjangkakan slot ini hanya untuk membawa pelajar merentasi gua namun perkara sebaliknya yang berlaku. Untuk melihat dan merentasi gua, kami perlu berjalan kaki dan ber'jungle trekking'. Justeru dengan semangat dan keterujaan para pelajar, saya menyertai mereka dengan doa penuh di dada agar Allah memberikan kesihatan dan kekuatan kepada saya agar dapat merentas perjalanan ini dengan selamat tanpa menyusahkan sesiapa.
Kami berkumpul di padang sebelum bertolak untuk mendengar taklimat dan pesanan daripada GPK 1 dan Konsultan yang dilantik untuk membawa kami ke gua tersebut.
Inilah dia dua orang jurulatih yang membawa kami ke Rimba Hulu Tamu ini. Walaupun berdua, mereka cekap mengendalikan kami yang sejumlah 86 orang ini. Biiznillah.
Perjalanan bermula. Para pelajar ini membaca doa yang diajarkan oleh Ustaz yang menjaga hal-hal kerohanian kem ini sepanjang jalan. Saya turut membaca al-Mathurat perlahan-lahan. Saya pesan kepada diri saya bahawa saya tidak boleh berfikiran negatif. " I know u can do it" kata seseorang kepada saya melalui pesanan ringkas dan menjadi motivasi kepada saya untuk meneruskan langkah bersama pelajar-pelajar ini.
Bermacam ragam dan perkara yang boleh dilihat dan dijadikan pengajaran bagi mereka yang berfikir. Antaranya gambar di atas,..mengapakah keadaan itu berlaku. Perkara ini menjadi tanda tanya bagi saya.
Ada pelajar yang mengatakan itu ialah orang yang mabuk dek hisap gam dsb.
Hampir 2 jam berjalan kami berehat melepaskan lelah seketika berhampiran dengan kaki bukit. Ada yang penat, ada yang teruja, pelbagai reaksi dapat dilihat. Saya seperti biasa bermonolog sendiri di dalam hati. Saya seorang yang suka berfikir dan mengingati perkara-perkara yang dapat mengecas semangat saya mahupun memotivasikan diri saya dalam keadaan seperti ini.
>> Monolog saya <<
Kalau dulu ketika saya bergelar pelajar,saya punya rakan-rakan yang ramai. Mereka tidak pernah jemu menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada saya. Justeru saya menjadi berani untuk mencuba pelbagai perkara yang saya fikir saya tidak mampu buat sebelumya. Itu menjadi titik tolak yang mengajar saya bahawa saya boleh buat pelbagai perkara dengan sedikit usaha dan semangat. Allah tidak menjadikan kita sia-sia dan Allah juga tidak akan merubah nasib kita selagi kita tidak berusaha untuk merubahnya. Jelas sekali perkara ini menjadi penguat untuk saya mencuba mencabar diri sendiri.
Kini, saya sudah bergelar guru. Dalam situasi saya kini, saya kehilangan mereka yang sering menyokong saya. Saya harus berdiri sendiri dan pada masa yang sama saya harus menjadi kuat untuk memberikan semangat kepada para pelajar saya. Dan saya sangat bersyukur dan rasa lega apabila saya tahu bahawa Allah tidak pernah meninggalkan saya. Saya terasa kuat. Disamping suara-suara yang muncul dalam kepala mengatakan 'saya boleh buat!' juga memori-memori mendaki gunung jerai silih berganti memenuhi ruang fikiran saya, zikir dan doa yang memagari bibir dan lidah sangat memberikan suatu energi yang dapat membangkit semangat saya. Saya kerap berpesan pada diri " Tidak cukupkah Allah sebagai motivasi Nawal?".
Perjalanan kami merentasi sungai, hutan, padang rumput dan laluan berbukit yang curam. Ada pelajar mengeluh dan bersikap negatif. Saya tidak mahu mereka lemah dengan fikiran negatif mereka. Saya kadang-kadang bersuara walaupun mereka tidak bercakap dengan saya.
" Watch your words".
" Awak boleh buat. Allah ada bersama kita"
" Control your mind"
" Semuanya dalam fikiran awak. Just think positive"
Saya bercakap untuk diri saya juga kerana sebenarnya ada sedikit rasa risau dalam diri saya mengenangkan cerita-cerita jurulatih tentang keadaan fizikal gua yang sempit dan curam dan sebagainya.
Akhirnya kami tiba di kaki bukit yang membawa maksud kami semakin hampir dengan gua. Kami mendengar pesanan daripada jurulatih sebelum meneruskan perjalanan merentasi gua.
>> Fizikal Gua <<
Seawal di pintu masuk ke gua kami harus memanjat dengan tali dan saya perlu meloloskan diri menerusi lubang yang sempit. Semua ini merupakan cabaran baru buat diri saya. Terdapat beberapa orang guru yang sentiasa bersama saya dan memberikan semangat dek 'rendah diri'nya saya ini. Walaupun sudah berkali-kali pesan kepada diri, saya tetap mempunyai perasaan risau itu sebab saya hanyalah manusia yang lemah. Alhamdulillah, saya berjaya melepasi setiap halangan dengan jayanya. Saya sangat bangga kerana dapat mengatasi segala rasa 'takut' 'segan' 'gayat' dan pelbagai sikap negatif yang lain. Syukur sangat kepada Allah.
Lihatlah keadaan gua seperti dalam gambar di atas. Bayangkanlah keadaan saya ketika mahu memanjat di laluan ini. Memang mencabar.
Tolong menolong sangat diperlukan kerana tanpa sistem sokongan sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Sepanjang beratur untuk menunggu giliran memanjat, mengesot, merangkak, memeluk batu besar, membongkok, meloloskan diri dan sebagainya, saya sempat berkongsi apa yang saya fikir dengan pelajar yang berdekatan dengan saya. Saya mengajar mereka mengaitkan situasi dalam gua ini dengan kehidupans seharian. Lihatlah kalau kita saling membantu, perkara yang kelihatan sukar akan kita rasa mudah untuk dicapai. Jika kita sabar menghadapi sesuatu, Allah akan memberikan ganjaran kepada diri kita.
Bersabar menunggu giliran. Maklumlah laluan hanya satu dan jumlah kami ramai.
Syafiq Jamadi |
Pn. Salmi (kak mi) dan Idayu - rakan guru saya di SMK BSB |
Bersama Kak Maryam dan pelajar di penghujung gua. |
Muhaimin, Kusmas dan Afiq ( Guru Pelatih drpd UPSI dan UNISEL) |
Akhirnya kami tiba juga di penghujung gua ini. Apabila ternampak cahaya rasa seronok menjengah hati. Tidak dapat dibayangkan seandainya diri terperangkap di dalam gua yang serba gelap ini. Sempat kami memadamkan cahaya lampu picit dan membayangkan diri sendirian di alam kubur tanpa cahaya. Memang memberikan pengajaran kepada hati.
Ini ialah empunya kamera DSLR. Hanya En.Anddy seorang yang membawa kamera kerana para peserta tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan kecuali lampu suluh. Alhamdulillah kerana Anddy sanggup membawa kameranya merentasi segala halangan, kalau tak, tiadalah gambar untuk dikenang.
Bergambar di laluan mencabar hampir 90 darjah. |
>> Laluan Mencabar <<
lalu bawah pokok dengan keadaan tanah curam yang licin. |
Laluan curam terpaksa dibantu dengan tali. |
Laluan merentas sungai. Berpasir kasut. |
Little creature. Subhanallah. |
Laluan berlecak dengan tanah lembik |
Di akhir perjalanan sempat kami singgah di sini. Subhanallah. Sangat menyegarkan dan menenangkan minda.
Kami dah nak balik dah...... |
Kak Maryam, Anddy dan pelajar. Saya dah sampai ke tapak kem waktu ni...hehe |
>> Perasaan Saya <<
Saya sangat gembira apabila sudah sampai ke tapak kem kerana saya tidak 'lelah' seperti yang saya fikir di awal perjalanan. Alhamdulillah. Semua itu nikmat kurniaan daripada Allah. Saya juga merupakan antara kumpulan yang tiba awal di tapak kem. Ekspedisi merentas gua dan hutan kali ini sangat bermakna bagi diri saya. Saya pasti perasaan ini turut dikongsi oleh kesemua peserta yang turut serta.
Saya sangat terharu dengan kerjasama, keprihatinan dan sikap tolong menolong sesama pelajar dan guru sepanjang aktiviti ini. Terserlah rasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada ketua kumpulan dijalankan dengan baik sekali. Tanpa perlu disuruh mereka bertindak. Tanpa diarah mereka pantas membantu mereka yang memerlukan. Tahniah untuk para pelajar tingkatan 5 terutamanya. Itulah pelajar. Kekadang mereka tidak menyerlah di dalam kelas, tetapi menerusi kem sebegini kita dapat melihat 'sisi' baik mereka yang lain. Saya sangat gembira melihat mereka bersikap positif sebegini. Alhamdulillah.
Menerusi kem ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan para pelajar membuktikan bahawa setiap orang boleh menghadapi cabaran dan halangan. Setiap individu Allah kurniakan potensi diri yang harus dibangunkan. Tugas guru dan pelajar adalah untuk menggilap dan terus menggilap segenap bakat, kemampuan dan potensi kurniaan Allah ini agar terus menyerlah dan cemerlang di persada dunia. Untuk apa? Ya. Matlamatnya harus jelas. Untuk menaikkan nama Islam demi menggapai redha Allah.
>> Habis Cerita <<
Begitulah sedikit perkongsian yang agak lambat saya coretkan kali ini. Mudah-mudahan dapat memberikan pelajaran buat diri saya, pelajar saya dan kamu tidak kira di mana kalian berada. Kita haruslah sentiasa mencabar diri kita untuk melakukan perkara luar biasa untuk meningkatkan esteem kendiri supaya kita sentiasa melonjakkan usaha demi masa depan Islam. Kita tidak perlu takut untuk jatuh dan bangun semula.
Penutup bergambar. Ingin saya kongsikan gambar berikut :-
Inilah pengetua baru saya iaitu Tuan Haji Mohd Yusof b. Ani, Pengetua SMK Bandar Sg.Buaya
Ini pula Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Sg.Buaya iaitu
Dato' Ruslee b. Hashim
Hadiah sebagai penghargaan daripada sekolah untuk YDP yang juga merupakan bapa angkat kepada pelajar Skuad Elit PMR dan SPM 2011.
Sekian cerita saya.
Wallahualam.