Let's share yur kind words here... (" _ ")

Saturday, July 24, 2010

Mars HALUAN - Lagu Rasmi Haluan

Alhamdulillah dengan izinNya,Haluan terus mengorak langkah tanpa jemu.

Kukongsikan lagu rasmi haluan untuk anda dengar dan hayati.

Lirik : Tate Qomaruddin
Komposer : Ronny Rachmat
Penasyid : Shoutul Harokah
Studio : Kubu Studio... Lihat seterusnya..
Penerbit : ShouHAR Event Management

Haluan peneraju perubahan
Bina masyarakat berakhlak mulia
Berteraskan Islam Iman Taqwa dan Ihsan
Prihatin penyayang sedia berkorban

Chorus:
Haluan akan terus berbakti
Haluan tiada henti mengabdi
Haluan sentiasa berjuang
Haluan jayalah haluan

Haluan cergas tangkas dan kreatif
Jalin kehidupan yang penuh harmoni
Berakhlak mendidik dan berbakti
Melahirkan pemimpin sejati


Haluan...Jayalah Haluan ^_^

Jika berminat boleh klik url ini :

Sekitar dua fasa kehidupan...

Persinggahan antara dua fasa kehidupan.
Oleh : Nawal Abd Kadir.

Assalamualaikum wrht semua. Sungguh sekejap putaran masa dalam kehidupan kita sehari-hari. Terasa singkat masa yang berlalu sehinggakan peralihan masa yang berlaku ketika masih di zaman belajar dan zaman graduasi terasa bagaikan sekelip mata. Meskipun hari-hari yang dilalui kadang-kadang sukar namun apabila kita sudah melepasinya, kesukaran itu sudah tidak terasa lagi.

Sekarang, saya berada dalam fasa persinggahan. Saya sudah menamatkan pengajian dan sedang membilang hari konvokesyen dan tarikh untuk di'posting'kan. Saya akui saya agak runsing untuk melalui fasa ini. Hal ini demikian kerana saya khuatir saya tidak dapat menyesuaikan diri setelah 4 tahun berhadapan dengan rutin sebagai seorang mahasiswa di universiti. Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Maha Mengetahui. Jadual saya disusun oleh Allah dengan begitu cantik sehinggakan saya sendiri tidak menyedari peralihan jadual dalam kehidupan saya berlaku secara pantas dan menggembirakan saya.


Bagaimana keadaan ini berlaku? Saya meninggalkan bumi ilmu Bangi pada 8 Mei 2010. Saya kembali ke Bangi dua minggu kemudian untuk menguruskan barang-barang yang masih ditinggalkan di sana. Hari-hari selepas itu saya habiskan dengan kesibukan persediaan untuk perjalanan yang jauh,panjang dan penting iaitu Umrah Ziarah ke Mesir,Madinah dan Mekah bersama keluarga saya. Justeru saya tidak punya masa untuk hal-hal yang lain.

Kota yang dibina oleh Sallahuddin al-Ayyubi di Mesir

Kemudian, pada 7 June 2010, kami sekeluarga telah memulakan perjalanan daripada Kangar menuju Kota Kaherah. Ziarah yang bermula di Mesir diteruskan ke Madinah dan seterusnya misi utama iaitu Umrah di Mekah. Dengan izin Allah, rombongan umrah kami diuji Allah dengan pemergian Cikgu Yahya Ismail dan terlepasnya rombongan kami daripada menaiki penerbangan pulang. Kejadian ini telah menyebabkan kami 'tersadai' di Jeddah selama 8 hari sementara menunggu ada tempat kosong untuk pulang.

Saya tiba di Bumi Malaysia tercinta pada 28 Jun 2010 dan sampai di rumah pada 29 Jun 2010. Seminggu selepas pulang daripada Umrah, kami semua masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan perbezaan masa serta jadual yang ternyata berlainan. Lebih kurang seminggu lebih berehat saya diminta untuk menggantikan seorang guru yang sedang menjalani rawatan iaitu Cikgu Marzuki. Saya diminta untuk mengajar subjek Bahasa Melayu.

Pucuk dicita Ulam mendatang. Saya memang ada berhajat untuk berkhidmat di Matri,namun saya berasa tidak yakin dengan kemampuan diri saya justeru saya mendiamkan diri sahaja. Ternyata Allah itu mengetahui apa yang ada di dalam hati hambanya. Saya dengan rela hati mula berkhidmat di Matri pada 12 Julai 2010. Saya ditugaskan untuk mengajar 4 kelas iaitu 2 Ali, 2 Bilal, 2 Asma dan 2 Maryam. Pengalaman ini merupakan yang pertama bagi saya dalam mengajar subjek Bahasa Melayu. Benar. Bahasa bukan suatu subjek yang mudah untuk diajar.

Kerja baru ini adalah cabaran bagi diri ini demi memastikan para pelajar mendapat input yang berguna dan difahami sepenuhnya. Seawal hari-hari itu berlalu saya sudah diamanahkan untuk menanda karangan yang jumlah terkumpulnya adalah 4 karangan. Cuba anda darabkan dengan 132 orang pelajar. Alhamdulillah saya punya hobi membaca apa jua karangan tanpa jemu dan saya berjaya menanda semua karangan tersebut.

Kini saya dalam fasa mengingati nama pelajar dan misi utama saya pada minggu hadapan ialah untuk mengabiskan Ujian Lisan yang dikenali dengan PLBS iaitu Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah. Saya benar-benar terasa indah menjadi guru subjek kegemaran saya iaitu Bahasa Melayu. Walaupun saya bukanlah graduan Bahasa Melayu, namun tugas ini amat bermakna bagi saya dan saya berusaha untuk berkongsi segala pengetahuan sedia ada dengan para pelajar Matri.

Kesibukan saya ini tidak pernah meletihkan jiwa. Jadual saya padat terisi dengan halaqah-halaqah saban petang. Halaqah untuk diri sendiri,halaqah untuk adik-adik dan halaqah untuk sahabat-sahabat rakan seperjuangan yang turut bergelar graduan seperti saya. Kemudian saya juga diminta untuk terlibat dengan Program Aulad/Banat. Sudah lama saya tidak terlibat dengan aktiviti bersama kanak-kanak. Baru dua minggu saya bersama mereka dan merasa gembira dapat meluangkan masa melakukan aktiviti bersama khalifah2 akan datang.

Rombongan kami di hadapan Istana Raja Farouq

Melalui program-program yang tidak pernah putus, saya punya masa untuk bergaul dengan makcik-makcik, sahabat-sahabat, guru-guru dan adik-adik yang dikasihi kerana Allah. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini. Tidak kurang dengan program-program Dakwah dan Tarbiyah, saya juga menghabiskan masa bersama adik-adik saya iaitu Muaz,Nuha dan Abdullah Yaasir. Keadaan ini tidak datang selalu kerana selepas ini kemungkinan saya akan berada jauh daripada keluarga. Saya gembira dapat menjadi 'rakan' kepada adik-adik saya.

Abdullah Yaasir buah hatiku

di Kg. Wang Besar

Oleh yang demikian, setelah jadual saya disusun Allah sepadat demikian, manakan saya punyai masa untuk berfikir tentang hal yang remeh temeh dan saya dengan izin Allah dapat menyesuaikan diri saya dalam fasa kehidupan baru ini dengan baiknya. Alhamdulillah. Setiap penyusunan Allah itu ada hikmahnya yang tersendiri. Coretan ini adalah berkaitan dengan kisah persinggahan saya dalam fasa kedua iaitu zaman selepas belajar dan sedang menunggu untuk berkhidmat sebagai guru di tempat yang Hanya Allah jua yang tahu di mana. Mohon kalian yang membaca catatan ini mendoakan agar saya ditempatkan di sekolah yang sesuai dengan kemampuan saya dan berdekatan dengan keluarga serta adik-adik yang masih kecil.

Insya Allah saya akan berkongsi berkaitan dengan Umrah Ziarah serta aktiviti-aktiviti yang dilalui semasa dalam fasa ini dalam pos akan datang. Ya Allah, permudahkanlah urusan saya dan urusan kamu semua.

Wallahualam

Saturday, June 5, 2010

June 2010

Cerita awal June
Oleh : Nawal

Sedar tak sedar kita sudah berada di pertengahan tahun 2010. Rasa macam baru je masuk tahun 2010 nih. Emm,begitu cepat masa berlalu dan kini June muncul dengan pelbagai cerita yang sedih,gempar,menginsafkan,menyeronokkan,mengujakan dan sebagainya.

Antaranya, Kisah Pewira Islam dalam Konvoi Lifeline 4 Gaza yang menggemparkan umat seluruh dunia dengan serangan Israel laknatullah ke atas mereka.

Kisah pemergian Nurul Jannah Ahmad Sani ke rahmatullah di Langkawi turut menyentap perasaan.

Kemudian, keputusan peperiksaan semester akhirku yang keluar pada 4 June lalu...tidak menggembirakan namun menerbitkan rasa syukur..

Cerita kepulangan wira-wira agama yang kembali daripada Istanbul. Berita gembira penuh syukur melihat mereka selamat dan bersemangat..

dan cerita terakhir adalah Kisah Umrah dan Ziarah keluarga ini ke Mesir,Madinah dan Mekah. Perjalanan yg bakal bermula esok hari ini tidak menjanjikan kepulangan kerana kita tidak tahu apa yang bakal Allah aturkan untuk rombongan ini. Hanya doa dan pengharapan dipanjatkan agar semuanya berjalan lancar. Mohon doa dari anda yang membaca.

Begitulah cerita2 awal June yg dapat disenaraikan...

Mudah2an June akan terus berdiri dengan kisah-kisah yang dapat mendidik hati dan perasaan.

Wallahualam


Wednesday, May 26, 2010

hari baru,langkah baru,matlamat tetap sama...

bergambar bersama Dr.Aderi di hari 'last' paper..final year..

Semua baru...matlamat masih sama..
Oleh : Nawal

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah swt kerana 28 April 2010 yang lalu, merupakan hari terakhir saya menduduki peperiksaan akhir bagi pengajian ijazah saya dalam bidang pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada 7hb Mei 2010 saya telah meninggalkan bumi UKM dan kembali ke negeri Perlis. Kini sudah hampir 3 minggu saya memulakan kitaran atau rutin hidup yang baharu yang jelas sekali amat berbeza dengan 4 tahun rutin hidup sebagai seorang pelajar.

Kini, saya masih tidak terikat dengan apa-apa pekerjaan namun yang pasti keberadaan saya di rumah sedikit sebanyak membantu ibu dan ayah saya. Saya telah cuba menyesuaikan diri dengan jadual baru yang tidak sesibuk di kampus kerana hidup saya sepanjang tahun 4 adalah sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti dan tugasan yang melambak.

Boleh dikatakan setelah habis belajar banyak benda baru yang harus saya pelajari dan sesuaikan diri kerana zaman pelajar saya sudah berakhir. Status juga telah bertukar...kalau dulu orang tanya .." Buat apa skrang?" senang je saya boleh jawab.." belajar di UKM"... sekarang orang tanya saya masih boleh jawab " baru habis bulan 4 ritu,tunggu konvo"... lepas ni kalau orang tanya mestilaa tak boleh jawab mcm tu dah..emm..

Namun, walaupun macam-macam perkara yang berubah, ada suatu perkara yang memang tidak akan berubah sampai bila-bila. Ia adalah matlamat dalam mengerjakan sesuatu di atas muka bumi Allah ini iaitu berkehendakkan redha Allah. Ia adalah ultimate goal yang setiap dari kita impikan. Insya Allah dengan matlamat yang jelas, langkah kita akan teratur dan tersusun dengan lebih kemas sehingga kita dapat mencapai matlamat jangka pendek yang dirancangkan dalam jadual hidup kita.

Marilah sama-sama kita ingatkan diri kita bahawa walau dimana pun kita melangkah, tujuan kita adalah untuk menggapai redha ilahi.Mudah-mudahan matlamat hidup yang jelas dan terang ini akan terus menyuluh kehidupan saya ini. Ya Allah,kekalkanlah daku di atas jalan deen-Mu ini dan pertambahkanlah kefahamanku terhadap deen-Mu...

Wednesday, March 31, 2010

Tentang Nadzirah

Sahabat bintang hati.
Oleh : Nawal Abd Kadir


Aku punya seorang yang layak kugelarkan rakan, teman, sahabat atau apa-apa sahaja yang seumpama maksud denganya. Kukenal manusia ini semenjak tahun pertama semester pertama aku menjejakkan kaki ke bumi bertuah UKM ini. Namun, aku tidak berkawan rapat denganya sehingga semester 2 tahun 2. Kemudian, persahabatan ini terus mekar dan bertambah erat apabila aku ditempatkan ke sekolah yang sama denganya untuk praktikal.

Sebelum praktikal, aku kenal dia sebagai seorang pelajar pandai, bijak, pointer tinggi. Dia seorang yang mudah menangis atau ada kawan aku sebut sebagai 'cengeng' ( jgn marah ea)hehe.. Dalam pada itu, dia seorang yang ceria dan mudah berkawan.

Semasa praktikal, dia semakin aku kenali kerana dua bulan kami menghabiskan masa bersama di sekolah, rumah sewa, lapar bersama, tekanan bersama, hilang suara bersama dan sebagainya. Dia di Klang sangat berbeza dengan dia yang kukenali di UKM. Di Klang, dia kurang ceria dan ini mungkin kerana persekitaran dan tekanan-tekanan yang kami hadapi mempengaruhi emosi dan keceriaanya. Kami berjaya mengharungi dunia praktikal penuh onak dan duri dengan baik. Alhamdulillah.

Setelah praktikal, aku tinggal serumah sewa dengannya. Kini, dia semakin aku kenali dan semakin aku kasihi. Dia

Di Klang, aku semakin mengenali insan ini. Dia ada pelbagai versi wajah, perangai, tingkah laku dan pe'el. Ada ketika dia gembira, senyuman pada wajah dah cukup nak gambarkan betapa happynya dia waktu tu, ada time dia sedih, duka kat muka tu tak sanggup nak tengok, mata jadi kuyu dan segenap urat turut berkerjasama menonjolkan emosi duka tu, keadaan ni berbeza bila tiba aura gedik yang mana Yus labelkan sebagai Joyah. Jika aura joyah sudah muncul, boleh kecoh keadaan sekeliling, ini bermakna hatinya senang ketika itu. Kalau dia berdebar, boleh bawak aura debar tu pada orang sebelah, kalau dia susah hati, boleh tak lalu makan dan minum, dan dia sangat terkenal dengan kebolehanya mengalirkan air mata walau di mana sahaja.

Selain itu, dia sangat mudah tidur. Di mana-mana sahaja boleh tidur. Tapi yang respectnya bila aku drive, dia duk sebelah, dia tak pernah tidur. Dia sering menjadi penunjuk jalan kepadaku dan setia menjadi PA aku yang selalu tak tentu hala ni. Dia kadang-kadang umpama kakak kepadaku tetapi kadang-kadang dia umpama adik kepadaku bila tiba ke hal-hal yang dia malas nak buat. Aku selesa berkawan denganya. Dia tidak lokek memberi nasihat tika aku alpa dan lalai dan tidak jemu mengajarkan aku apa yang aku tak tahu.

Dia sangat penyabar orangnya walaupun dalam sesetengah hal yang lain kadang-kadang dia kalah juga dengan emosi. Dia punya ramai kawan dan peminat dan dia tidak memilih dalam bersahabat. Pelbagai ujian, kisah persahabatan dan nikmat yang aku lalui bersamanya sepanjang bergelar mahasiswa di UKM ini.

Aku pernah menyakitkan hatinya sepanjang berkawan ini dan aku harap dia sudah maafkan aku kerana aku juga telah memaafkan semua salah silap samada sedar atau tidak tingkahnya terhadapku. Aku kini mengasihinya kerana dia merupakan salah satu bintang dalam hidupku.

Aku sentiasa berdoa yang terbaik untuknya. Aku ingin dia bahagia dalam pelukan kasih Yang Maha Pencipta. Aku akan mengasihi dia buat selamanya walaupun kami bakal terpisah kurang daripada sebulan dari tarikh ini.

Dia yang kuceritakan adalah bintang hatiku. Bintang itu ku panggil Nad. Dia adalah Nadzirah. Anak Ustaz Zakaria yang tinggal di Pokok Sena, Kedah.

Wahai yang membaca, sama-samalah mendoakan sahabatku ini.
Doakan persahabatan ini diredhaiNya dan sampai berjumpa di negeri yg abadi.

Sahabat, ketahuilah aku kasih padamu.

Sunday, March 28, 2010

suka duka silih berganti...

Apa Khabar semua?

KEberadaanku di ruangan ini adalah untuk melepaskan apa rasaku.. apa fikirku..terhadap manusia-manusia di sekelilingku...

Gembira ? Itu perkara biasa yang jarang sekali disyukuri kehadiranya oleh kita.

Sedih ? Itu juga perkara biasa yang sering kita keluhi ketibaanya..

Kecewa ? Ini penambah perisa dalam dunia kita..

Bahagia ? Definisikan pada ku apa makna perkataan ini? aku selalu mendengarnya.. aku tahu ramai suka kehadirannya..manusia akan lalai dengannya...

mengapa? kenapa?

bahagiakah jika ia datang dalam sakit?

bahagiakan jika ia datang dalam luka?

bahagiakan kita jika ia datang tanpa bimbingan Yang Maha Pencipta?

bahagiakah jika kerana ia kita sanggup melakukan laranganNya?

bahagiakah andai suatu hari kau kan tersungkur ke lembah hina?

Bahagia inikah yang kau cari?

kalau tidak..mengapa kau terus menyiksa diri?

menyeksa untuk sesuatu yang belum pasti kemilikanmu?

sedang Allah yang patut kau tunduk dan rapat padanya...

Kau takkan bahagia andai kau terus begini..

Kau takkan bahagia tanpa kasih dan redha Allah..

berhenti lah..

cukup2lah kau menyeksa orang yang aku kasihi..

pergilah kau dari hidupnya...

beredarlah dengan cara baik..dan carilah dimana Tuhanmu itu..

mengertilah apa rasa ku ini..

kerana rasaku juga adalah rasa insan yang kukasihi itu....

moga kau memahami bahasa melayuku ini...

Tuesday, February 16, 2010

Terhenti bukan kerana penat..

Assalamualaikum wrht.

Wah..lama rasanya tak menulis di sini. Saya hanya sempat menghantar post pendek sebelum berangkat ke Pangkor 2hb Februari yang lalu. Kini, saya berada di rumah tercinta iaitu di Desa Putera, Kangar. Begitu banyak yang saya lalui dalam tempoh ini sehingga tidak tahu untuk mulakan yang mana satu dahulu..lalu, tinggallah ruangan ini sepi tanpa entri.

Saya akan kongsikan sedikit sebanyak pengalaman di Pangkor, pulang bercuti dan sebagainya. Ya Allah, ilhamkan padaku idea untuk menulis..Aku tak pernah penat untuk menulis, cuma kadang-kadang tiada perasaan untuk menulis..tiada masa dan tiada idea..

see u..

Tuesday, February 2, 2010

BIM : Here we come..

Malam ini saya dan sahabat-sahabat KUMP A akan berangkat ke Kem Rimba Teluk Nipah, Pulau Pangkor bagi menghadiri Kem BIna Insan Murabbi yang dirangka oleh Fakulti Pendidikan untuk pelajar-pelajar tahun 4.

Setelah bertungkus lumus hampir sebulan, maka tibalah medan yang dinantikan untuk mencerna segala persiapan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan segalanya berjalan dengan lancar.

Saya sangat berdebar terutamanya untuk berhadapan dengan aktiviti air, dan juga aktiviti yang memerlukan 'fitness'..namun saya cuba mengawal aktiviti minda saya agar tidak terlalu negatif dan memandang sesuatu dengan pandangan yang positif..

Doakan saya dan kawan-kawan ea..

Wallahualam

Monday, January 25, 2010

Bila FIKIRAN mula bertutur dengan HATI dan FIZIKAL




Dialog Hati , Fikiran dan Fizikal.

Oleh : TKP

SITUASI 1. Sebelum Mesyuarat.

Hati terasa berdebar-debar. “ Boleh ke aku handle malam ni? Mampu ke aku ni? Aku kan tak pandai buat kerja ?”

Fikiran membalas “ Insya Allah boleh. Kau kena percaya pada diri sendiri. Kalau KP tak boleh hadir, sape nak handle malam ni. Yakinlah”.

“ Betul ke ni?”

“ Betul. Betulkan niat, wahai Hati.”

“ Baik, Fikiran. Aku cuba menurut katamu. Aku cuba ikhlaskan diri. Mudah-mudahan Allah bantu aku”.

*****

Kata kawan-kawan…

“ Kau kena tegas sbb kau orang atas”

“ Kau kena cakap apa kau rasa”

“Kau kena jadi diri sendiri”

Hati berkata.. “ Aku tak boleh. Aku tak biasa mengarah orang. Aku tak biasa share perasaan dengan orang jauh”

Fikiran bertegas. “ Kau Boleh”.

Hati menurut lagi kata fikiran.

*****

SITUASI 2. Semasa Mesyuarat.

Fizikal tiba di bilik mesyuarat dalam keadaan berpeluh, kelam kabut dan menggeletar. Hal ini demikian kerana masa yang ada untuk bersiap ke mesyuarat hanya 15 minit sahaja memandangkan Fizikal tiba di rumah pada jam 7.45pm selepas aktiviti ‘fitness’. Fizikal tiba di situ lewat 20 minit.

Hati berkata “ Kawan-kawan mesti marah aku. Astaghfirullah..maafkan aku kawan-kawan. Aku tak berniat membiarkan korang menunggu.”

Fikiran membalas.. “ Diorang faham tu…tak pe. Take yur time and start”.

Hati berdebar-debar. Terasa seperti dicucuk-cucuk. “ Fikiran, aku takut ni. Aku rasa rendah diri dengan diorang. Aku tak mampu nak cakap depan diorang ni. Aku tak biasa cakap dengan diorang ni. Apa aku nak buat ni, Fikiran… Tolong aku.. KP tak dek ni. S.U serah pada aku ni. Aku benar-benar tak mampu ni..”

Fikiran bertindak menenangkan hati yang gundah. “ Hati, dengar sini. Walau macam mana kau tak mampu, walau macam mana kau tak biasa, kau takut dengan diorang, kau tetap tak boleh lari dari sini dan biarkan kawan-kawan mcm tu je. Kau kena hadapi situasi ni. Kau kena rasional sekarang…”

Hati membalas.. “ Tapi aku rasa sakit tiba-tiba ni. Aku tak tau nak cakap apa ni.”

Fizikal mencelah .. “ Aah, aku menggeletar juga ni. Tangan aku shaking. Hati, Fikiran, buatlah sesuatu”.

Fikiran “ Hati, Fizikal, percaya pada diri sendiri. Cakap apa yang ada dalam hati kau. Biarlah apa orang nak cakap, asal kau settle kan kerja kau.Cepat, masa berlalu.”

Hati.. “ Aku cuba ya fikiran..Aku mohon Allah lindung aku dari benda-benda yang memperlihatkan kejahilan dan kecelaanku.”

Keadaan berlangsung dalam keadaan fizikal menurut kata hati dan nasihat fikiran. Ketika itu, hati merasa semakin berat, semakin terbeban, semakin sakit, semakin panas dan semakin berdenyut-denyut.

*****

SITUASI 3. Selepas mesyuarat Fasa 1.

“ selesai kerja kau.” Fikiran berkata.

“ mana da selesai. Banyak benda tak settle.” Hati menjawab.

Berkata orang bijak pandai.

Berkata orang cekap bekerja.

“ Meeting malam ni tak teratur, berterabur..”

“ Kau kena bagi arahan sebab kau MT.”

“ Kau kena buat kesimpulan selepas meeting. Meeting ni mcm tak da pa yang dapat”

“ Kau tak boleh serah pada post-post tu utk bagi arahan.”

“ Kau tak boleh ‘blebel’ sebelum meeting..”

Hati berkata.. “ Masha Allah.,banyaknya salah aku…fikiran, tulaa aku dah gtau, aku tak pandai wat kerja.”

Fikiran.. “ relax dulu hati. Jangan melatah. Itu nasihat diorang. Diorang kan kawan kau.”

Hati terusik.. “ Kau cakap pada aku suruh jadi diri sendiri dan bercakap apa aku rasa kan? Salah rupanya berkongsi apa yang aku rasa pada kawan-kawan ea fikiran?”

Fikiran.. “ Pada aku tak salah. Tapi dah cerdik pandai kata tak boleh. Jangan kau buat dah laa lepas ni..Maafkan aku hati. Aku salah bagi nasihat pada kau.”

Hati.. “ aku tak salahkan kau. Betul sebenarnya apa yang cerdik pandai ni cakap. Aku kena pujuk diri aku untuk terima. Aku terasa panas ni, Fikiran.”

“ Sabarlah hati. Aku terkilan sebenarnya. Diorang ni kan kawan-kawan kita. Kawan yang agak dekat juga kan dengan kita. Kawan yang tahu kita tak pandai wat kerja. Kawan yang tahu kita tak biasa berada di atas. Kalau benar diaorang nak bimbing kita, nak kita wat kerja tiptop, diorang dah jumpa kita sebelum meeting dan bagi panduan, bagi guideline..”

“ betul laa Fikiran. Aku rasa benda yang sama. Diorang selalu tegur aku bila sesuatu tu dah terlepas. Dah berlaku dan tak boleh patah balik, baru diorang tegur. Aku sedih laa sebab aku macam dipersalahkan atas ketidak sempurnaan malam ni. Kita je ke MT, kita je ke Induk ea Fikiran?. Aku tak fahamlaa diorang ni.”

Fikiran memahami perasaan hati namun fikiran lebih rasional daripada hati. “ Aku faham sedih kau tu. Kau rasa tak dak tempat nak share beban ni kan? Kau jangan lupa kita adalah satu. Aku sangat faham apa kau rasa. Tapi sekarang, kita kena terima teguran dan cuba perbaiki kelemahan kita, kelompangan kita dan ketidaksempurnaan kita. Okay, hati?”

“ Baik, Fikiran. Aku akan cuba memujuk diri aku yang terasa seperti dicucuk-cucuk besi panas ni..” Hati cuba bersikap rasional seperti Fikiran. Dalam pada itu, Fizikal mencelah.

“ Setiap sendi aku bergeletar. Aku terasa sakit satu badan. Aku terasa lemah ni. Aku rasa macam nak balik dan rehat.”

“ Relax Fizikal. Banyak benda tak selesai lagi nih. Kau bertahanlah yea. Ingat, kami sentiasa memahami kau.” Fikiran seperti biasa mengambil tugas memujuk.

*****

SITUASI 4. Selepas mesyuarat Fasa 2.

“ Hati, kau okay dah?” Fikiran mencelah.

“ Belum, Fikiran. Kau?”

“ Aku rasa nak kosongkan diri aku lah. Tak nak bincang tentang hal ni.. aku rasa nak campak semua benda ni pada orang lain. Kenapa aku yang kena tanggung beban ni. Kenapa aku je yang macam orang gila disebabkan hal ni.”

“ Fikiran, sabar-sabar. Kau jangan buat benda bodoh macam tu. Kalau kita lepaskan tanggungjawab kita ni, kita pun sama ‘mengong’ macam kawan-kawan kita. Kita nak ke diri kita jadi insan yang menyusahkan orang lain macam yang diorang buat tuh? Mesti tak nak kan? Kita kan saling lengkap melengkapi, aku yakin aku kena ikhlaskan diri aku. Aku kena yakin Allah akan tolong kita. Barulah kita akan lega..”

“ Aku setuju. Tengoklah macam sekarang, walau aku letih tapi aku tetap bersama korang.” Fizikal mencelah lagi.

“ Tapi susah kan Hati, Fizikal.”

“ Ya. Sangat susah. Inilah medan amal untuk menguji kesabaran kita. Betul tak Fikiran?”

“ Inilah benda yang sering aku terlupakan bila diuji Allah benda seberat begini..Terima Kasih Hati kerana mengingatkan aku.”

Hati seiring dengan Fikiran dan Fizikal melepaskan bebanan yang ditanggung di Kolej Rahim Kajai.

*****

SITUASI 5. Tiba di Rumah.

Sahabat-sahabat seperti biasa bermesyuarat pula di ruang tamu rumah menyatakan rasa hati masing-masing sepanjang mesyuarat.

Hati kembali berdenyut.

Fikiran kembali runsing.

Fizikal terasa semakin lemah.

Kerana, kekurangan-kekurangan itu berpunca dari mereka bertiga yang merupakan insan lemah tak berdaya. Fikiran tidak boleh berhenti memproses maklumat. Hati tidak boleh berhenti dari terasa panas dan berdenyut. Cuma Fizikal sahaja yang terdampar merehatkan sendi-sendi di ruang tamu rumah itu.

Keadaan ini berlanjutan sehingga jam 3am.

Fizikal bersuara.. “ Hati, Fikiran, sedar tak aku tak berehat daripada kita sampai di Bangi ni pagi tadi sampai laa sekarang ni. Korang sedar tak. Aku sangat letih ni,bai..”

Fikiran.. “ Alamak ! Aku lupa kita baru sampai pagi tadi.Banyak sangat benda kena settle kan. Maafkan aku Fizikal, banyak kerja sampai lupa kebajikan kau.”

Hati.. “ Aku pun minta maaf , Fizikal. Disebabkan kitorang, kau tak mendapat hak yang sepatutnya.”

“ Jomlah kita berehat. Mudah-mudahan esok ada sinar untuk kita”.

Fizikal melangkah naik ke atas. Seluruh tubuh sudah tidak bermaya, namun mata tidak mahu lelap. Lalu tangan menggapai sebuah buku di tepi tilam. Tajuknya lebih kurang begini..“ Apabila ‘ Allah menguji kita’.

Fikiran berkata. “ Elok sangat dah. Baca laa sekejap’.

Hati terasa terpujuk dengan kalimah-kalimah yang ditatap oleh mata. Antaranya ‘janganlah kita ingat benda yang sudah berlalu, kerana itu telah ditulis. Ia adalah ketentuan Allah. Kalau anda boleh patah balik ke sebelum sesuatu kejadian itu, apakah anda yakin anda dapat merubah apa yang anda sesali sekarang..” Lebih kurang begitulah maksudnya.

Fikiran terasa ringan. Hati berhenti menyucuk-nyucuk. Allah, rasa lapang sekejap. Mengapa kita bertiga tidak berserah pada Allah? Lalu, mata terpejam dan berehatlah mereka bertiga buat sementara.

*****

Pagi. Tercelik sahaja mata. Alhamdulillah masih dihidupkan atas muka bumi Allah ini.

Fikiran terus bekerja. “ macam-macam benda nak buat hari ni.”

Hati.. “ sekejap-sekejap. Fizikal, boleh minta tolong tak”

Fizikal bertanya “ Ape halnya”

Hati membalas “ Boleh tak kau coretkan kisah kita bertiga ni?..”

Fizikal.. “ Bisa diatur wahai hati.” Lalu Fizikal melangkah turun ke bawah dan mengambil labtop dan mula menaip kisah mereka bertiga… Inilah dia kisah Hati, Fikiran dan Fizikal. Tiga serangkai yang sering bekerjasama, saling menenangkan, saling memujuk, saling berkongsi rasa sakit dan perit, saling memahami dan bertoleransi. Tanpa kolaborasi antara mereka bertiga, boleh tidak siuman rasanya manusia yang bernama AKU ini.

Sekadar perkongsian.


" Tiit...telefon berbunyi.." Datang pelbagai kerunsingan untuk hari ni...

Moga 3 fakulti insan AKU boleh menangani tugas hari ini.

Wallahualam..

Thursday, January 21, 2010

currently at home

Salam semua..

Saya baru tiba di rumah sebelum subuh pagi tadi. Tujuan saya pulang sebentar ke rumah adalah untuk mengambil barang-barang keperluan untuk Kem BIna Insan Murabbi yang akan berlangsung kurang 10 hari lagi. Insya Allah, dengan masa yang sedikit ini, saya cuba rebut untuk selesaikan apa yang patut.

Saya mengharapkan doa anda yang setia membaca disini,...agar diberi kekuatan dan kesabaran untuk mengendalikan program ini. Mudah-mudahan apa yang dilakukan ini sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan kasih sayang Allah.

Teruslah menyokong BIM 2010

Wallahualam