Let's share yur kind words here... (" _ ")

Tuesday, July 12, 2011

Jelajah Rimba Ciptaan Allah - Kem Skuad Elit

Mencari Harga Diri di tengah Rimba Hulu Tamu
Oleh : Nawal Abd Kadir

>> Kem apa ni? <<

Pada 24-26 Jun 2011 yang lalu, saya telah ditugaskan sebagai AJK Dokumentasi merangkap AJK Keselamatan bagi sebuah kem anjuran SMK BSB iaitu KEM SKUAD ELIT PMR dan SPM 2011. Kem ini bertempat di Kem Rimba Hulu Tamu, Batang Kali yang terletak lebih kurang 30 minit daripada Bandar Sungai Buaya. Untuk makluman, pelajar yang mengikuti kem ini merupakan pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang terpilih bagi mengikuti Kelas Tambahan Skuad Elit. Mereka merupakan antara pelajar yang diharapkan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR mahupun SPM. 

>> Cerita Saya <<

Saya ingin berkongsi hanya sebahagian daripada pengisian kem ini iaitu Ekspedisi  ke gua. Pada asalnya kami para guru menjangkakan slot ini hanya untuk membawa pelajar merentasi gua namun perkara sebaliknya yang berlaku. Untuk melihat dan merentasi gua, kami perlu berjalan kaki dan ber'jungle trekking'. Justeru dengan semangat dan keterujaan para pelajar, saya menyertai mereka dengan doa penuh di dada agar Allah memberikan kesihatan dan kekuatan kepada saya agar dapat merentas perjalanan ini dengan selamat tanpa menyusahkan sesiapa.



 Kami berkumpul di padang sebelum bertolak untuk mendengar taklimat dan pesanan daripada GPK 1 dan Konsultan yang dilantik untuk membawa kami ke gua tersebut.

 Inilah dia dua orang jurulatih yang membawa kami ke Rimba Hulu Tamu ini. Walaupun berdua, mereka cekap mengendalikan kami yang sejumlah 86 orang ini. Biiznillah.


 Perjalanan bermula. Para pelajar ini membaca doa yang diajarkan oleh Ustaz yang menjaga hal-hal kerohanian kem ini sepanjang jalan. Saya turut membaca al-Mathurat perlahan-lahan. Saya pesan kepada diri saya bahawa saya tidak boleh berfikiran negatif. " I know u can do it" kata seseorang kepada saya melalui pesanan ringkas dan menjadi motivasi kepada saya untuk meneruskan langkah bersama pelajar-pelajar ini.


 Bermacam ragam dan perkara yang boleh dilihat dan dijadikan pengajaran bagi mereka yang berfikir. Antaranya gambar di atas,..mengapakah keadaan itu berlaku. Perkara ini menjadi tanda tanya bagi saya. 
Ada pelajar yang mengatakan itu ialah orang yang mabuk dek hisap gam dsb. 


 Hampir 2 jam berjalan kami berehat melepaskan lelah seketika berhampiran dengan kaki bukit. Ada yang penat, ada yang teruja, pelbagai reaksi dapat dilihat. Saya seperti biasa bermonolog sendiri di dalam hati. Saya seorang yang suka berfikir dan mengingati perkara-perkara yang dapat mengecas semangat saya mahupun memotivasikan diri saya dalam keadaan seperti ini. 

>> Monolog saya <<

Kalau dulu ketika saya bergelar pelajar,saya punya rakan-rakan yang ramai. Mereka tidak pernah jemu menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada saya. Justeru saya menjadi berani untuk mencuba pelbagai perkara yang saya fikir saya tidak mampu buat sebelumya. Itu menjadi titik tolak yang mengajar saya bahawa saya boleh buat pelbagai perkara dengan sedikit usaha dan semangat. Allah tidak menjadikan kita sia-sia dan Allah juga tidak akan merubah nasib kita selagi kita tidak berusaha untuk merubahnya. Jelas sekali perkara ini menjadi penguat untuk saya mencuba mencabar diri sendiri.

 Kini, saya sudah bergelar guru. Dalam situasi saya kini, saya kehilangan mereka yang sering menyokong saya. Saya harus berdiri sendiri dan pada masa yang sama saya harus menjadi kuat untuk memberikan semangat kepada para pelajar saya. Dan saya sangat bersyukur dan rasa lega apabila saya tahu bahawa Allah tidak pernah meninggalkan saya. Saya terasa kuat. Disamping suara-suara yang muncul dalam kepala mengatakan 'saya boleh buat!' juga memori-memori mendaki gunung jerai silih berganti memenuhi ruang fikiran saya, zikir dan doa yang memagari bibir dan lidah sangat memberikan suatu energi yang dapat membangkit semangat saya. Saya kerap berpesan pada diri " Tidak cukupkah Allah sebagai motivasi Nawal?". 

 Perjalanan kami merentasi sungai, hutan, padang rumput dan laluan berbukit yang curam. Ada pelajar mengeluh dan bersikap negatif. Saya tidak mahu mereka lemah dengan fikiran negatif mereka. Saya kadang-kadang bersuara walaupun mereka tidak bercakap dengan saya.

 " Watch your words".
" Awak boleh buat. Allah ada bersama kita"
" Control your mind"
" Semuanya dalam fikiran awak. Just think positive"

Saya bercakap untuk diri saya juga kerana sebenarnya ada sedikit rasa risau dalam diri saya mengenangkan cerita-cerita jurulatih tentang keadaan fizikal gua yang sempit dan curam dan sebagainya.


 Akhirnya kami tiba di kaki bukit yang membawa maksud kami semakin hampir dengan gua. Kami mendengar pesanan daripada jurulatih sebelum meneruskan perjalanan merentasi gua.


 >> Fizikal Gua  <<


Seawal di pintu masuk ke gua kami harus memanjat dengan tali  dan saya perlu meloloskan diri menerusi lubang yang sempit. Semua ini merupakan cabaran baru buat diri saya. Terdapat beberapa orang guru yang sentiasa bersama saya dan memberikan semangat dek 'rendah diri'nya  saya ini. Walaupun sudah berkali-kali pesan kepada diri, saya tetap mempunyai perasaan risau itu sebab saya hanyalah manusia yang lemah. Alhamdulillah, saya berjaya melepasi setiap halangan dengan jayanya. Saya sangat bangga kerana dapat mengatasi segala rasa 'takut' 'segan' 'gayat' dan pelbagai sikap negatif yang lain. Syukur sangat kepada Allah.


Lihatlah keadaan gua seperti dalam gambar di atas. Bayangkanlah keadaan saya ketika mahu memanjat di laluan ini. Memang mencabar.


 Tolong menolong sangat diperlukan kerana tanpa sistem sokongan sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Sepanjang beratur untuk menunggu giliran memanjat, mengesot, merangkak, memeluk batu besar, membongkok, meloloskan diri dan sebagainya, saya sempat berkongsi apa yang saya fikir dengan pelajar yang berdekatan dengan saya. Saya mengajar mereka mengaitkan situasi dalam gua ini dengan kehidupans seharian. Lihatlah kalau kita saling membantu, perkara yang kelihatan sukar akan kita rasa mudah untuk dicapai. Jika kita sabar menghadapi sesuatu, Allah akan memberikan ganjaran kepada diri kita.



Bersabar menunggu giliran. Maklumlah laluan hanya satu dan jumlah kami ramai.




Syafiq Jamadi
Pn. Salmi (kak mi) dan Idayu - rakan guru saya di SMK BSB
Bersama Kak Maryam dan pelajar di penghujung gua.
Muhaimin, Kusmas dan Afiq ( Guru Pelatih drpd UPSI dan UNISEL)
 Akhirnya kami tiba juga di penghujung gua ini. Apabila ternampak cahaya rasa seronok menjengah hati. Tidak dapat dibayangkan seandainya diri terperangkap di dalam gua yang serba gelap ini. Sempat kami memadamkan cahaya lampu picit dan membayangkan diri sendirian di alam kubur tanpa cahaya. Memang memberikan pengajaran kepada hati. 


 Ini ialah empunya kamera DSLR. Hanya En.Anddy seorang yang membawa kamera kerana para peserta tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan kecuali lampu suluh. Alhamdulillah kerana Anddy sanggup membawa kameranya merentasi segala halangan, kalau tak, tiadalah gambar untuk dikenang.

Bergambar di laluan mencabar hampir 90 darjah. 
 Saya terpaksa mencapai akar kayu dan pokok-pokok untuk membantu diri saya memanjat di laluan ini yang sangat mencabar dengan tanahnya yang licin.


 Inilah pengubat perjalanan yang mencabar ini. Setiap kali melalui halangan yang berat, kami akan menjumpai sungai dan dibenarkan untuk terjun ke dalam sungai beberapa minit. Alhamdulillah atas ganjaran yang sangat menghiburkan. Ekspedisi kali ini sangat menyeronokkan. Bayangkanlah, hanya sedikit ganjaran yang Allah kurniakan di dunia setelah menyelesaikan sesuatu cabaran, sudah cukup indah untuk dinikmati. Bagaimana agaknya keseronokan dan kebahagiaan ganjaran yang Allah janjikan di syurga kepada mereka yang Beriman dan Bertaqwa?. Sama-samalah kita berfikir dan mengambil pelajaran.

>> Laluan Mencabar <<

lalu bawah pokok dengan keadaan tanah curam yang licin.
Laluan curam terpaksa dibantu dengan tali. 
Laluan merentas sungai. Berpasir kasut.
Little creature. Subhanallah.
Laluan berlecak dengan tanah lembik

 Hampir 4 jam perjalanan, ekspedisi kami hampir tamat. Ketika di check point terakhir kami mendengar nasihat daripada jurulatih tentang 'survival' hidup di dalam hutan. Bagaimana mahu bertahan di dalam hutan andai tersesat dan sebagainya. Perkara utama yang harus diingat ialah jangan panic. Kemudian berusaha mencari sungai yang Insya Allah akan membawa kita ke jalan keluar. Apa pun semuanya perlu bermula dengan usaha dan yakin atas bantuan Allah.

 Di akhir perjalanan sempat kami singgah di sini. Subhanallah. Sangat menyegarkan dan menenangkan minda.


Kami dah nak balik dah......
Kak Maryam, Anddy dan pelajar. Saya dah sampai ke tapak kem waktu ni...hehe

>> Perasaan Saya <<

 Saya sangat gembira apabila sudah sampai ke tapak kem kerana saya tidak 'lelah' seperti yang saya fikir di awal perjalanan. Alhamdulillah. Semua itu nikmat kurniaan daripada Allah. Saya juga merupakan antara kumpulan yang tiba awal di tapak kem. Ekspedisi merentas gua dan hutan kali ini sangat bermakna bagi diri saya. Saya pasti perasaan ini turut dikongsi oleh kesemua peserta yang turut serta.

Saya sangat terharu dengan kerjasama, keprihatinan dan sikap tolong menolong sesama pelajar dan guru sepanjang aktiviti ini. Terserlah rasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada ketua kumpulan dijalankan dengan baik sekali. Tanpa perlu disuruh mereka bertindak. Tanpa diarah mereka pantas membantu mereka yang memerlukan. Tahniah untuk para pelajar tingkatan 5 terutamanya. Itulah pelajar. Kekadang mereka tidak menyerlah di dalam kelas, tetapi menerusi kem sebegini kita dapat melihat 'sisi' baik mereka yang lain. Saya sangat gembira melihat mereka bersikap positif sebegini. Alhamdulillah.

Menerusi kem ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan para pelajar membuktikan bahawa setiap orang boleh menghadapi cabaran dan halangan. Setiap individu Allah kurniakan potensi diri yang harus dibangunkan. Tugas guru dan pelajar adalah untuk menggilap dan terus menggilap segenap bakat, kemampuan dan potensi kurniaan Allah ini agar terus menyerlah dan cemerlang di persada dunia. Untuk apa? Ya. Matlamatnya harus jelas. Untuk menaikkan nama Islam demi menggapai redha Allah.

>> Habis Cerita <<

Begitulah sedikit perkongsian yang agak lambat saya coretkan kali ini. Mudah-mudahan dapat memberikan pelajaran buat diri saya, pelajar saya dan kamu tidak kira di mana kalian berada.  Kita haruslah sentiasa mencabar diri kita untuk melakukan perkara luar biasa untuk meningkatkan esteem kendiri supaya kita sentiasa melonjakkan usaha demi masa depan Islam. Kita tidak perlu takut untuk jatuh dan bangun semula.

Penutup bergambar. Ingin saya kongsikan gambar berikut :-


 Inilah pengetua baru saya iaitu Tuan Haji Mohd Yusof b. Ani, Pengetua SMK Bandar Sg.Buaya


  Ini pula Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Sg.Buaya iaitu 
Dato' Ruslee b. Hashim


Hadiah sebagai penghargaan daripada sekolah untuk YDP yang juga merupakan bapa angkat kepada pelajar Skuad Elit PMR dan SPM 2011.

Sekian cerita saya.  
Wallahualam.

Thursday, June 30, 2011

Dialah GURU, Dialah UMMI, Dia di HATIku...

   Kredit utk yg merakamkan video Ummi di Hospital ini..
Suara itu seakan kukenali...tp tak dapat cam siapakah empunya diri,...ada siapa nak tlg bg tau?

Ku benar-benar rindukan suara itu.
Oleh : Nawal_Kadir


Saat ini ingin saya kongsikan wajah dan suara guru saya yang sangat saya kasihi. Beliau telah kembali ke rahmatullah dua tahun yang lalu ketika saya sedang menjalani Latihan Mengajar di Klang. Insan ini merupakan guru Bahasa Melayu saya. Beliau yang saya panggil 'Ummi' ini merupakan antara guru yang banyak mengajar saya dengan penuh sabar, mendidik saya yang nakal dengan penuh kasih, memberi teguran dengan hikmah, juga tegas dalam membentuk syaksiyah yang terpuji dalam diri. Arwah Ummi tidak pernah putus asa dalam mendidik anak muridnya. Arwah Ummi sentiasa mempunyai pandangan yang positif terhadap semua pelajarnya termasuklah saya yang 'nakal dan tidak mendengar kata' pada waktu itu. 

Kini, saya berada di tempat Ummi. Saya kini menggalas beban amanah yang ditinggalkan Ummi. Sesekali saya terasa bagai mahu bercerita dengan Ummi ..Ummi,lihatlah di mana Nawal skrang...Terima Kasih kerana Ummi pernah percayakan Nawal suatu masa dahulu, Terima Kasih kerana Ummi tidak membuang Nawal daripada kasih sayang Ummi, Terima Kasih kerana Ummi membela 'kami' dan tidak membuang 'kami' daripada mendapat tarbiyyah di Matri. Ummi, Terima Kasih kerana berjuang membela nasib kami para pelajarmu...

Saya sangat mengasihi Ummi Halimatun yang sentiasa akan memeluk saya apabila saya bertemu denganya, bertanya khabar dengan penuh mesra, bergurau bercanda menghangatkan suasana serta tidak lekang daripada memberi nasihat dalam setiap bicaranya... Kini, semua itu tiada lagi. Suaranya tidak bergema di bumi wakafan Matri lagi namun Ummi tetap hidup dalam hati saya juga hati para pelajar yang sangat mengasihinya. Itu saya pasti. Marilah pembaca kita mendoakan Ummi agar sentiasa aman dan damai di sana.

Ummi, Nawal juga tidak akan berputus asa dan sentiasa bersemangat sebagaimana Ummi dahulu....

Setiap kali aku merinduimu,...air mata setia bertemankan pipi......Moga kerinduanku yang tidak pernah padam ini menjadi motivasi untuk aku terus berjuang di medan ini.....

Monday, June 27, 2011

Tercalar Hati.....

Singgah sebentar di sini berkongsi rasa hati yang tercalar....


Hari ini hati ini tercalar buat sekelian kalinya,..bezanya gurisan itu hasil insan yang dekat di hatiku...Mungkin ini ujian buatku,.menguji sejauh mana keikhlasanku dalam berbakti dan berbudi,...Menangis. Serasanya aku ingin sekali menangis, tetapi air mata itu bukan untuk hati yang tercalar begini. Biarlah kutahan pedih ini sehingga terubat sendiri dengan usahaku tanpa pemberi semangat di sisi,...Aku sedang belajar menempuh hidup sendiri lantas luka yang kualami kekadang sukar untuk sembuh seperti tersiramnya air ke atas api,.. Ya Allah,..lapangkanlah dadaku menghadapi situasi seumpama ini. Ya Rabb,...sejukkanlah hatiku perlahan-lahan,..sehingga goresan yang tercalit di hati mampu kupadamkan...mampu kulupakan.... Berilah kekuatan kepadaku untuk memberikan kemaafan dan melupakan kerana sesungguhnya sebagai manusia aku kasih padanya...pada mereka....

Saturday, June 18, 2011

Kelas Kemahiran Al-Qur'an

Jendela Baru.
Oleh : Nawal_zah

Mulai 14 Jun 2011 yang lalu,saya telah diarahkan oleh pihak pentadbir untuk membuka sebuah kelas sepertimana yang termaktub dalam pekeliling Sekolah Menengah Agama dan Sekolah yang memiliki Kelas Aliran Agama (KAA).Kelas itu dinamakan Kelas Kemahiran Al-Qur'an.  Saya akan mengajar Tingkatan 1KAA di luar jadual waktu iaitu setiap hari Isnin dan Selasa jam 2.45-3.45pm. Antara bidang yang akan dipelajari oleh pelajar ialah Ulum al-Quran,Qiraat,Hafazan, Tarannum dan Tajwid.

Mudah-mudahan saya dapat melaksanakan amanah yang berat ini dengan baik.

Justeru demi memenuhi tuntutan kerja saya yang bertambah, saya akan digugurkan daripada mengajar 2 kelas bagi subjek Amali Solat. Kelas yang terlibat ialah kelas 2 Khawarizmi dan 1 Muzik.  Selamat tinggal pelajarku...

Coret pelajarku di white board..(niat nak mengusik laa tuh)

Dunia itu dan Diriku (1)

Semangat Oh Semangat
Oleh : Nawal_sensei


Cuti dua minggu berlalu dengan pantas sekali. Tidak terasa masa yang berlalu. Dalam pada itu saya sibuk membilang hari berangkatnya saya pulang ke medan perjuangan. 'Crocs River'. Membilang hari bukan kerana suka tetapi dek rasa berat hati yang melanda. Saya bagai tiada kekuatan mahu melangkah ke sana sehingga suatu hari saya disedarkan dengan kata- kata yang mengembalikan rasa untuk saya pulang ke bumi felda itu. 
        
" Kak Nawal, medan Kak Nawal di Crocs River, Desa Putera tempat cas tenaga sahaja. Tak boleh cas    lama-lama nanti leaking pula" ( nazz_nazihah)

Ya benar. Medan saya di sana. Tempat saya berjuang. Benar juga bahawa pulangnya saya ke Kangar dapat mengecas semangat saya yang semakin luntur setelah bergelumang di bumi Crocs River itu. 

Mengapa semangat saya luntur?  Jawapannya biarlah saya simpan sendiri. Andai kamu berada di tempat saya, kamu pasti dapat meneka dan memahaminya. (",)

Antara aktiviti saya semasa cuti ialah menanda kertas jawapan bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011. Saya punya lebih 190 sheet untuk ditanda. Saya mendapati ramai dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 yang saya ajar tidak dapat menjawab dengan baik. Astaghfirullahal 'Azim..

Soalan bertanya : Apakah perbezaan antara Muslim dan Mukmin ?

Jawapan ditulis : Muslim - lelaki, Mukmin- perempuan. 
                         Muslim - Cina masuk Islam, Mukmin- Orang Islam

Sedih saya.

Soalan bertanya : Apakah maksud Istinjak?

Jawapan ditulis : ' tak tahu laa ustazah'..
                           mengambil wudhu' menggunakan debu.'

Terkedu saya.

Soalan bertanya : Berikan perkara yang membatalkan wudhuk

Jawapan ditulis :  Korek hidung, 
                          Bermain-main dengan kawan,

Senyum saya.

Soalan bertanya : Siapakah wanita pertama mati syahid?

Jawapan ditulis : Siti Khadijah
                         Siti Fatimah

Terdiam saya.

Pelbagai rasa bertandang saat saya menanda kertas mereka itu. Saya benar-benar tenggelam dalam emosi yang sukar untuk dimengertikan tambah-tambah mengenangkan kata-kata abah ...

" Student kamu tak bleh jawab, nak salah siapa? Salah ustazah dia laa ...."

Bedebuk !!... Bagai dihempap seketul batu besar di pundakku,....

Justeru, apa yang boleh saya katakan.....

Saya sedih kerana dengan jawapan sebegitu ternyata saya gagal menyampaikan ilmu dengan baik. 

Saya terkedu kerana jelas pelajar saya tidak dapat memahami dan mengaplikasikan 'ibadah' dengan betul dalam kehidupan seharian.

Saya tersenyum perit  mengenangkan lemahnya saya dalam menguasai kemahiran menjelaskan sesuatu dengan baik kepada pelajar.

Saya terdiam sepi kerana saya tahu saya harus lakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka. Di hati tersemat azam membara mahu membantu para pelajar kesayangan saya. 

Ya. Semangat itu datang kembali. Bateri semangat saya sudah benar-benar 'full'.


Bersediakah saya untuk pulang berhadapan dengan pelajar-pelajar saya?

Insya Allah. Hati berbisik sendiri. Azam terus dipesankan kepada diri. Saya bersemangat untuk menerangkan dengan penuh kesabaran kepada pelajar tentang asas-asas dalam kehidupan seorang pelajar muslim terutamanya dalam hal ibadah.

Lalu, melangkahlah saya pulang ke realiti medan saya di Crocs River berbekalkan semangat dan azam yang tinggi. Saya tidak mahu menjadi guru yang mudah berputus asa terhadap para pelajarnya. Saya tidak mahu menjadi pendidik yang hanya tahu 'marah' apabila pelajarnya lambat faham. Saya tidak mahu menjadi sensei yang mudah mengalah sebelum berjuang !

Justeru, apabila kita sudah berkata-kata tentang sesuatu, pastilah kita akan diuji oleh Allah, bukan? 

>> Hari Pertama di sekolah Penggal Kedua.

Saya berbincang dengan pelajar tentang soalan 4 Bab (Ibadah). Saya menerangkan kepada pelajar perbezaan antara rukun wudhuk, perkara sunat ketika wudhu', perkara makruh ketika wudhu' dan adab ketika berwudhu'. 

" Ada soalan nak tanya ustazah?" soal saya.

" Tak da..." jawab mereka.

" Betul ni, kalau awak ada soalan, tak faham, tak jelas, keliru, awak boleh tanya ustazah sekarang, perkara ni kita buat dalam kehidupan kita seharian, jadi kita kena faham betul-betul" saya terus memberi peluang.

" Tak ada ustazah.." ada yang menjawab begitu. Ada yang menggeleng. Tidak kurang yang tunduk rapat ke meja. Ada yang mengelamun dan ada yang memberikan perhatian sepenuh hati kepada saya.

" Okay. Kalau macam tu, Ustazah nak tanya, 'Khairi mengambil wudhuk tanpa menghadap ke kiblat, sah atau tidak wudhuk Khairi tersebut' ?"

" Sah !!!!!" 
" Tidak Sah !!!.." Lebih ramai bersuara yang ini.

" Pelajar, mengambil wudhuk menghadap ke kiblat tu termasuk dalam perkara apa?" soal saya lagi.

Ramai yang diam. Ada yang memberikan jawapan yang pelbagai. Ada pelajar yang menjawab lagi " Sah ustazah"..

" Okay, kenapa sah?" terus saya menyoal.

" Sebab, tempat ambil wudhuk kat masjid Kg. Sg Buaya tak mengadap ke kiblat.." penuh konfiden  pelajar tersebut menjawab.

Ha ha ha ha ha ha ha ...Kelas riuh dengan gelak ketawa.

Saya terus menerus membawa mereka untuk mengaitkan mengadap ke kiblat merupakan adab dalam berwudhuk sebagai jawapan kepada soalan saya tadi.

Begitulah sekelumit cerita kecil dalam kelas -kelas saya yang saya hadapi dalam setiap hari kehidupan saya di sekolah. Saya memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk menangani pelajar saya. Saya memang perlukan suasana yang dapat menghidupkan hati saya supaya saya terus teguh berdiri untuk mendidik para pelajar. 

Pelbagai cerita manis,masam,pahit,kelat bersulam tawar  mengisi ruang dalam medan perjuangan saya di sini. Apa yang saya perlu lakukan ialah menghadapinya dengan penuh iltizam untuk meningkatkan prestasi diri dan memberi sumbangan kepada pelajar, sekolah dan juga yang utama ISLAM.

Kadang-kadang saya terfikir, sampai bila saya boleh bertahan?

Jawab saya " Saya harus bertahan sampai bila-bila kerana medan ini adalah medan amal yang jelas matlamatnya untuk melahirkan insan-insan rabbani yang soleh lagi musleh."

Bisik hati saya " Saya harus menjadi seperti allahyarhamah guru kesayangan saya Ummi Halimatun yang sentiasa bersemangat dan tidak pernah mengalah..Perjalanan saya masih sangat panjang,..saya harus bersabar dan meniti realiti dengan penuh hati-hati "..

Semangat Oh Semangat. Teruslah membara demi mendidik anak bangsa..

Saya mengharapkan doa daripada anda yang membaca. Andai sudi, tinggalkanlah pesan buat guru biasa ini. Tinggalkanlah kata-kata semangat buat guru muda yang masih tidak cukup pengalaman ini. Tinggalkanlah mutiara yang dapat guru novis ini jadikan panduan....

Wallahualam.

 Team Badminton SMK BSB dalam kenangan
SMK Bukit Sentosa 2, 2011

Ps :- Jzklh buat 'Penasihat Update Blog' saya,. yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya...Terus tersenyum dan ceria....

Saturday, June 11, 2011

Lama tak buat kerja ni...

Assalamualaikum wrht.

Hanya ingin berkongsi gambar-gambar saya membantu membuat Kulit Buku Skrap Sains adik saya. Moga pertolongan yang sedikit ini diredhai Nya...

Lama sudah saya tidak bermain dengan gunting,gam,water colour,dan kertas warna yang 
menjadi kegemaran saya !


Dah siap...tp macam comot,kan? Maklumlaa disiapkan dalam
masa sejam sahaja...

Seronok juga dapat buat kerja-kerja ni...

Siap dilaminate....

Pesanan untuk adik-adikku : Hidup ini sentiasa perlu diliputi dengan USAHA kerana tanpa USAHA dan IKHTIAR untuk menjadi yang terbaik dalam hidup, mencapai redha Allah,..kita tidak layak
dikatakan manusia lagi...Yang penting, Doa Usaha Ikhtiar da Tawakkal harus digerakkan untuk
mencapai kejayaan dalam hidup di dunia dan akhirat..

Ingatlah kakak dalam doa kalian....

Sunday, June 5, 2011

My BFF's walimah

  
Jalan-Jalan Penuhi Undangan
Oleh : Nawal Abd Kadir

Cuti Sekolah !


Apabila cuti sekolah menjelma, maka berderet-deretlah undangan Majlis Walimatul Urus yang harus dipenuhi.   Tak kiralaa kawan sendiri ke, kawan mak ke, kawan adik ke, jiran tetangga mahupun sedara mara yang menjemput, kita perlu lah sedaya upaya mencuba untuk menghadiri majlis mereka. Alhamdulillah pada 4 June 2011 kali ini terdapat tiga orang sahabat saya telah mengikat janji setia, memikul amanah Cinta, membina Baitul Muslim dengan pasangan masing-masing.  Saya berkesempatan menghadiri ketiga-tiga majlis tersebut bersama-sama dengan sahabat baik saya ( satu batch di Matri dulu,Gen-9). 

Antara watak yang ada ialah Pn.Nabilah Bakri, Cik Aisyah Humaira, Cik Sumayyah Musa, Dr.Nor Hafizah, Pn. Rasyidah, Pn.Noor Laila, Pn.Munzirah,  Cik Taqiyah Khadijah dan lain-lain. Jom tengok gambar-gambar yang sempat dirakam oleh saya.


 Rumah Kenduri yang pertama.

~ Tasnim bt Ismail dan suaminya Hafiz b. Desa
Tasnim merupakan sahabat saya semenjak daripada kecil lagi. Seingat saya kami mula kenal sejak tadika dan kami sekelas ketika zaman sekolah rendah dahulu.( SK Seri Tunjong). Orangnya manis, tegas dan baik hati. Persahabatan yang terjalin sekian lama tentunya bersulam dengan memori suka dan duka, namun alhamdulillah ikatan atas nama Ukhuwwah Fillah ini kekal erat sehingga kini. Tasnim menamatkan zaman bujangnya ketika sedang menghabiskan semester akhir pengajian sarjana di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Kini, sahabatku ini selamat bergelar menantu kepada Cikgu Desa Senawi dan Mak Cik Onen. Kami semua mendoakan Tasnim dan suami bahagia hingga ke syurga.

Adik Kepada Tasnim...


 Rumah Kenduri Kedua

Ilani Abu Hassan dan suami. Daripada rumah Tasnim, kami bergerak beramai-ramai ke rumah Ilani. Ilani melangkah masuk ke Matri ketika kami berada di tingkatan 4. Kemudian, Ilani bersama-sama dengan saya berjuang mengharungi dua tahun pengajian pra-universiti atau STPM di SMKAP. Di sinilah saya semakin rapat denganya. Orangnya juga manis dan lemah lembut. Memang berlawan habis laa dengan saya tetapi kami tetap boleh bersahabat baik. Alhamdulillah.

Bergambar kenang-kenangan beramai-ramai bersama Ilani Abu Hasan 


Memang rezeki saya untuk bertemu dengan sahabat baikku ini. Siti Nur Zuhaili dan adik ipar merangkap sahabat baiknya Syuhada. Mereka turut bertandang ke majlis Ilani ini.


Saya bersama Ilani dan juga Ikhwana Syuhada. Ikhwana juga merupakan rakan sebatch di Matri dahulu tetapi dia  meninggalkan Matri ketika kami berada di Tingkatan 3. Walaupun sudah sekian lama tidak berjumpa, we just can get along together seolah-olah kami tidak pernah terpisah  dengan jarak waktu yang lama. Syukur!


Antara kelebihan bertandang ke rumah kenduri ialah dapat bertemu dengan ramai sahabat-sahabat sudah sekian lama tidak bertemu. Atiqah Ghazali juga turut berada di sini. Maka, kawan-kawan daripada Terengganu ni pun mengambil kesempatan untuk bergambar bersama. Teringat kata Syahmerra " awak slalu jumpa dak pe la,..sbb tu tok rase pape...kami susoh nok jupe..." Tersenyum saya.


Ukhuwwah itu indah jika berlandaskan akidah yang sama, matlamat yang jelas dan saling berkongsi cerita suka dan duka.. Saya sayang sahabat-sahabat saya kerana Allah. Saya tidak mahu kehilangan mereka, saya bertuah mengenali mereka dan sempat membesar bersama-sama mereka di alam sekolah dahulu. 9th Generation of Matri the Best !!


4 gadis berjalan di tepi sawah....( baca ikut rentak berlagu )..

 Rumah Kenduri ketiga.

Selesai bergambar di rumah Ilani, kami terus bergerak ke Penang atau lebih tepat lagi Kg. Tanjung Putus. Saya sangat beruntung kerana dapat menumpang sahabat baikku Nabilah yang sudi menjadi pemandu dan terima kasih kepada adiknya Syamil kerana sudi meminjamkan keretanya. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam. Oleh sebab kami tidak pasti jalan menuju ke rumah mertua sahabatku Fatimah ini, kami telah berkonvoi dengan ibu kepada sahabat baikku (Sofiyah yang berada di Australia) iaitu Pn.Roselina atau lebih mesra dengan panggilan Mak Cik Na.



Ketibaan kami pada jam 5pm disambut oleh pasanga pengantin iaitu Dr. Fatimah Zanirah dan suaminya Luqman Hakim Azizan. Emmm,..maklumlah tetamu pun dah berkurangan kan? Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk hadir ke majlis ini kerana sudah lama saya tidak bertemu dengan Fatimah Zanirah. Fatimah juga merupakan antara sahabat baik yang layak dikatakan 'soul-mate' saya kerana kami kerap berkongsi rasa dan tidak lokek berkongsi cerita. Andai diimbas kembali sejarah persahabatan saya dengan dia, memang penuh dengan duka dan luka. Zaman sekolah boleh dikatakan hanya sesekali 'suka' datang memujuk rasa 'duka'...tetapi itulah sebenarnya yang menjadi faktor pengerat ukhuwwah kami selepas melangkah keluar daripada alam persekolahan.

Terima Kasih Fatimah atas segala nasihat, teguran, bimbingan, perkongsian rasa dan bicara anti yang selalu memberikan keinsafan buat diri ana. Ana mendoakan kebahagiaan baitul muslim anti...

  Bersama Mak Cik Na dan Amni Farihah

 Sempat juga merakam kenangan bersama Fatimah dan Luqman di hadapan rumah Pak Cik Azizan.

 Amni - Fatimah - Makcik Na


Sekali lagi rezeki kami berjumpa dengan Cikgu Norizan Mat, guru kesayangan ramai di Matri. Alhamdulillah hari ini sahaja kami bertemu dengan ramai sahabat,kenalan dan taulan. Senyum tidak henti-henti menghiasi wajah. Semoga pertemuan-pertemuan itu dirahmai oleh Nya.

Kepada semua pengantin-pengantin baru, semoga Selamat semuanya. Jangan lupa doakan kami yang masih single mingle nih..(kan syah?) hehe...

Terima Kasih tidak terhingga kepada :-

Pn.Nabilah kerana sudi memandu pergi dan balik,
En. Munaim kerana memberi izin Cik Nab pergi bersama kami,
Sumayyah, kerana menjadi pendengar setia, peneman bicara sepanjang perjalanan..
Syahmerra kerana banyak menyalurkan maklumat berguna (senyum sket)
Dr. Fizah kerana menghidupkan suasana.
Kepada semua yang tak tersebut namanya, kalian tetap di hati saya.

Barakallahulakuma.....

ps : kepada warga AQZAR ( matri generasi ke-9, 1999-2003)  yang membaca, saya mewajibkan anda untuk meninggalkan jejak,..boleh tak? kalau sayang nawal tlg lah berbuat demikian...(",) ...hihi

Thursday, June 2, 2011

P.E.M.I.K.I.R siri 2

Ada apa dengan PEMIKIR?
Oleh : Nawal_sensei

Wah. Sebulan berlalu tanpa coretan. Kesibukan di sekolah dan kekangan tanpa talian internet. Cukupkah alasan itu diberikan untuk mereka yang menanti saya mencoret sesuatu. (ada ke?hihi). Kini, setelah seharian mencari 'rasa' untuk menulis, saya kembali mencoret rasa hati saya untuk anda. (sapa terasa,senyumlah ye)....

>>Apa itu PEMIKIR? <<
Logo PEMIKIR 2
PEMIKIR merupakan singkatan bagi Program Usrah Minda Kreatif yang menjadi platform bagi para fasilitator KeARAH (Kelab Remaja Haluan) untuk mengeratkan Ukhuwwah antara para peserta kem-kem atau program-program anjuran KeARAH disamping berfungsi sebagai medium untuk mendidik hati-hati remaja Perlis yang berhajatkan kepada Ilmu dan Islam. Program ini sangat bersesuaian dengan motto KeARAH Perlis sendiri iaitu "Kehadapan, Aktif dan Responsif".

>> Syukur  <<

Alhamdulillah. Berkat kesungguhan pemuda pemudi KeARAH Perlis, PEMIKIR telah mengorak langkahnya menjejak PEMIKIR siri 2.  Saya tidak berkesempatan untuk mengikuti PEMIKIR siri 1 kerana tarikhnya yang tidak mengizinkan saya untuk bersama mereka. Namun, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana saya berkesempatan bersama para fasilitator untuk PEMIKIR siri 2 ini. 

Justeru saya hadir ke Chalet Serbaguna Jabatan Perhutanan Bukit Ayer pada 1 Jun 2011 dengan pelbagai misi. Antaranya adalah untuk mengutip mutiara ilmu sebanyak mungkin, menyerap kekuatan dan semangat pemuda pemudi yang bekerja untuk Islam ini, bertemu dengan adik-adik fasilitator dan peserta, menilai komitmen dan prestasi mereka serta pelbagai misi sampingan. Lantas saya coretkan disini apa yang saya lihat dan rasa sepanjang sehari bersama mereka di PEMIKIR 2 yang bertemakan "Memperkasakan Kecemerlangan Ilmu".

>> Kreatif & Inovatif <<


    Sessi Perasmian Pembukaan PEMIKIR disajikan dengan gimik perasmian yang layak saya sebutkan sebagai H.E.B.A.T. Kerana apa? Kerana para pemikir gimik ini berjaya menarik perhatian bukan sahaja adik-adik peserta malah setiap lapisan umur yang berada di sini. Keunikan dan kekreatifan mereka telah menghasilkan  video dan gimik yang 'gempak' walaupun hanya  bermain dengan kamera biasa juga perisian biasa. Di situlah terletaknya kehandalan mereka. Kredit untuk Ahmad Nabil, Qawiem Khairi dan juga Salim Wahab.

     Keterujaan itu benar-benar di rasakan dan elemen ini menjadi antara  pemikat PEMIKIR 2 kali ini yang kalian gambarkan sebagai singkat tetapi memikat dalam tulisan-tulisan kalian di Lautan Rabbani, Memori Tasbih juga Mencari dan Terus Mencari....TAHNIAH dan SYABAS kepada kalian yang tidak jemu berusaha mencari jalan untuk me'letup'kan majlis perasmian dengan gimik yang menarik. Teruslah berinovatif dan kreatif dalam mengeluarkan karya-karya dakwah untuk Islam.

>> Padat & Berkesan<<

Forum bertajuk " Memartabatkan Islam melalui Kecemerlangan Ilmu " yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam sangat memberi kesan kepada hati. Terasa segar. Minda terasa dicuci dengan clorox. Ahli panelnya terdiri daripada Abu dan Ummu Zahra' iaitu Ustaz Muhtad dan isterinya Ustazah Faezah. ( mereka merupakan super senior saya semasa di Matri dahulu, saya tingkatan 1, mereka Tingkatan 6). Moderator forum ini pula bijak mengendalikan situasi dan menjadikan forum bertambah menarik. Siapakah Moderator itu? Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan...Qawiem Khairi.


   Forum singkat yang padat ini sangat memberikan kesan kepada saya sebagai pendidik. Sebagai seorang yang bergelar guru, kadang-kadang juga boleh terkabur matlamat asal dek simbahan jadual padat yang menekan juga rutin - rutin yang kalut serta agenda-agenda yang langsung tidak mengembalikan diri ini kepada matlamat utama iaitu Redha Allah. Sekiranya kita berpegang kepada ultimate goals, sudah tentu perkara-perkara lain tidak akan menjadi batu penghalang kepada perjuangan kita bukan? 

Alhamdulillah Allah memilih saya untuk mendengar forum ini. Nak ciplak ayat Pelaut Rabbani untuk situasi ini..."Akhirnya pujian menjadi zikir....".

>> Memikat Hati <<

   Antara yang memikat hati peserta tentulah Komandan Kem iaitu Abang S kita iaitu Salim Wahab ( utk sekolah menengah ) dan juga Syahril ( utk sekolah rendah ). Kebijaksanaan memilih kata-kata, lontaran nasihat, cerita-cerita, juga aktiviti yang dijalankan menjadi penarik untuk adik-adik terus bersemangat mengikuti PEMIKIR 2 kali ini. Tidak kurang juga fasilitator lelaki dan perempuan yang manis melontar senyum buat peserta, setia membantu mereka juga beraktiviti bersama mereka menambahkan rasa terpikat peserta kepada program ini. Tahniah buat anda semua.

   Pemikat lain tentulah makanannya yang sangat sedap walaupun ringkas. Pada mulanya bolehla Cik Kak AJK Makanan  iaitu tidak lain yang cekap lagi cekal 'Kak Ujah' kesayangan ramai atau nama sebenarnya Mahfuzah  sembunyikan siapakan caterernya....Tetapi di akhirnya persoalan kepada nasi dan ayam masak kicap serta sayur yang enak itu terjawab juga. Mak Cik Fizah rupanya yang masak. Patutlaa sedap benar. (",) 

  Pemikat sampingan lain ialah button badge PEMIKIR yang menarik. Lama saya perhatikan betapa 'excited'nya wajah polos adik-adik peserta bila melihat mereka diberikan button badge selepas mendaftar. Maka, elemen ini wajar dikekalkan atau diberi penambahbaikan untuk program akan datang.

>> Ending Story <<

   Bagi saya, setiap langkah atau tindakan yang dilaksanakan dengan perancangan yang rapi dan berjalan dengan baik atas keizinan Allah semuanya menjadi penyumbang kepada terpikatnya hati-hati manusia ini kepada program-program seumpama PEMIKIR ini. Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat saya lontarkan lagi kepada kamu semua melainkan syabas dan teruskan usaha-usaha mulia ini walau di mana sahaja kita berada.

  Sentiasa harus dipesankan kepada diri, walau dimana pun kita berada, walau siapa pun kita, walau sesibuk mana pun kita, tugas hakiki ini harus berjalan dalam kehidupan kita cuma cara dan wasilahnya sahaja yang berbeza. Kerana apa? Kerana kita berkongsi matlamat yang sama, ultimate goals yang sama iaitu inginkan syurga Allah dan untuk kesana kita sangat perlukan Redha Allah..

Akhir kata, macam-macam ada dengan PEMIKIR 2 ini.

Semoga PEMIKIR 2 diredhaiNya.


Adik-adik peserta Putera bersama Fasilitator
Adik-adik peserta Puteri bersama fasilitator...
p/s : Terima Kasih kepada adik-adik yang banyak berkongsi dan mendidik diriku....Saya beruntung mengenali kalian semua,,,