Let's share yur kind words here... (" _ ")

Sunday, April 8, 2012

Teks Syarahan MTQ 2012 (3) Dinnie Asyraf

Teks Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Ketokohan Sahabat Rasulullah Model Insan Bestari
Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL INSAN BESTARI ”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad saw manakala Model Insan Bestari pula ialah suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang bijaksana.
Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal b. Rabah Model Insan Bestari”.
Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal b. Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari. Namun , keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal  lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,

bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa
Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Mesir yang melibatkan pelajar perubatan Malaysia, Muhammad Ammar b. Zulkifli? Ibunya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian  . Maka, jelaslah terbukti bahawa  Keimanan Bilal B. Rabah Model Insan Bestari”.

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan Bestari”.
Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar saat menutup lubang ular dalam Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.
Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,

Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu
Kakitangan awam negeri Perlis haruslah mematuhi seruan Menteri Besarnya, Datuk Dr. Mad Isa b. Sabu yang berharap agar kualiti kerja dan ketepatan masa menjadi keutamaan dalam bekerja. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan Bestari”

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah frasa “ Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab, Model Insan Bestari ”.
Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya.  Keberanian Dato Dr Sheikh Muzaffar  dalam mengambil risiko meneroka angkasa lepas wajar dicontohi kita.  Sikap pemimpin yang sebegini harus menjadi contoh generasi baru kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah,
رعيته عن مسؤول وكلكم راع كلكم
Maksudnya “ Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.
Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab Model Insan Bestari”.

Hadirin penjana minda berwawasan,
Wacana fikrah saya yang keempat  di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model Insan Bestari”
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,
مسلم كل على فريضة العلم طلب

Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan )
Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib Model Insan Bestari.

Hadirin penjana transformasi negara,
Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman b. Affan Model Insan Bestari”
Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 ,

“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari”.
Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54

Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang

Khalid telah meninggal dunia di atas katil. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Namun, wawasan akhirat Khalid ketika berjuang di medan jihat, wajar dijadikan contoh seterusnya membuktikan bahawa Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini dapat melahirkan seorang muslim yang bestari.
Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.
Sekian.

Teks Syarahan MTQ 2012 (2) Dinnie Asyraf

Teks Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Rezeki yang Halal Menjamin Keberkatan Hidup
Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“REZEKI YANG HALAL MENJAMIN KEBERKATAN HIDUP”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Rezeki yang halal merujuk kepada segala bentuk nikmat  dan kurniaan Allah yang diperolehi dengan cara yang dibenarkan  oleh syarak . Menjamin menurut Kamus Dewan pula bermaksud berjanji menanggung kewajipan atau keselamatan orang lain manakala Keberkatan Hidup pula merujuk kepada rasa cukup dan tenang dengan segala ketentuan Allah.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang pertama berbunyi “ Mencari Rezeki Yang Halal Suatu Kefardhuan “
Islam sangat menitikberatkan soal mencari dan memakan rezeki yang halal. Rasulullah bersabda dalam hadis riwayat Ibn. Mas’ud :
طَلَبُ الحَلاَلُ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسلِمٍ
Maksudnya : Mencari yang halal itu wajib bagi setiap orang Muslim

Mengimbau rentetan peristiwa hijrah, kegigihan Abdul Rahman b. Auf memulakan perniagaan sendiri wajar dicontohi umat Islam. Akhbar Sisipan Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari  telah mengisahkan kejayaan yang telah dicapai oleh agensi FELDA dalam pelbagai sektor yang mencerminkan kesungguhan mereka mencari rezeki yang halal. Jelaslah di sini bahawa “Mencari Rezeki Yang Halal Suatu Kefardhuan”

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua, “ Rezeki Yang Halal Melahirkan Insan Soleh”
Usaha Rasulullah dalam melahirkan generasi Rabbani bertitik tolak daripada sumber rezeki yang berkat dan halal.  Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam melahirkan rakyat yang mempu mencari rezeki yang halal menerusi pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia. Menyingkap kisah Saidina Abu Bakar as-Sidiq  yang telah menafkahkan seluruh jiwa dan hartanya untuk perjuangan Islam. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad,
نعمَ الماَلُ الصَالِحُ للرَّجُلِ الصَّالِحِ
Sebaik-baik harta itu untuk manusia yang baik
Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa “ Rezeki Yang Halal Menjana Insan Soleh”.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga ialah “Rezeki Yang Halal Menjana Istiqamah dalam Ibadat”
“. Ibadah sahihah merupakan ciri yang kedua yang perlu ada dalam diri individu muslim menurut Imam Hassan al-Banna. Amalan  ini haruslah dilazimi dengan sepenuh hati kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-2,
Maksud : “ Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya “
Khalifah Umar Abdul Aziz telah membuktikan bahawa mencari rezeki yang halal itu adalah ibadah dan mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera apabila tiada seorang pun rakyat pada zaman pemerintahanya layak menerima bantuan zakat. Hal ini demikian kerana ibadah zakat telah disempurnakan oleh setiap daripada umatnya.
            Oleh itu, terbuktilah di sini bahawa “ Rezeki yang halal, menjana istiqamah dalam ibadah”.

Hadirin warga dewan sekalian,
Wacana fikrah keempat berbunyi ““ Rezeki Yang Halal Mencetus Insan Berdikari”
Rasulullah merupakan insan paling berdikari apabila membesar sebagai seorang anak yatim. Allah berfirman dalam surah al-Jumu’ah ayat 10,

Maksudnya : “ Maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah kamu daripada limpah kurnia Allah”.
Rasulullah telah memuliakan para sahabatnya yang mencari rezeki yang halal berbanding dengan yang hidup dengan hanya meminta-minta. Jutawan Internet,Irfan Khairi telah meletakkan sepenuh usaha berbekalkan ilmu yang ada dalam menjana pendapatan yang halal. Maka, terbukti di sini bahawa “Rezeki Yang Halal mencetus Insan Berdikari”

Hadirin pencerna idea praktis,
Wacana fikrah saya yang kelima merupakan “ Rezeki yang Halal  menjana  Ekonomi Umat Islam”
Islam telah menggariskan tatacara dalam mendapatkan rezeki. Perniagaan adalah salah suatu cara untuk meningkatkan ekonomi umat Islam. Rasulullah bersadbda,

تسعة أعشار لرزق في التجارة
Maksudnya : Berniagalah kamu, 9/10 daripada rezeki itu adalah menerusi perniagaan.
Malaysia sangat terkenal dengan produk hub halal yang telah berjaya menjana ekonomi umat Islam sehingga berjaya menembusi pasaran dunia. Kini sudah terdapat enam hub halal di Malaysia yang sedang beroperasi manakala tiga lagi masih di dalam perancangan.
Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa Rezeki yang Halal menjana Ekonomi umat Islam.

Hadirin penjana transformasi Negara,
Wacana fikrah saya  yang keenam berbunyi “ Rezeki Yang Halal  Membentuk Akhlak Mulia “ Saidina Ali r.a menyifatkan akhlak mulia dengan beberapa perkara seperti memiliki akal yang sempurna, bersabar, bersyukur, suka berbuat kebaikan dan sebagainya. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan budaya Islam. Sifat pemurah ini merupakan sifat Rasulullah, tokoh yang wajar dicontohi akhlak dan peribadinya sepertimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21,

Maksudnya : “ Pada diri Rasulullah itu ada suri taudalan yang baik

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketujuh, “ Rezeki yang Halal Menjamin Kesihatan Mapan” Umat Islam perlu memastikan makanan yang diambil datang daripada sumber yang halal demi kesihatan yang berpanjangan. Program 1 Murid 1 Sukan adalah antara agenda negara dalam melahirkan warganegara yang sihat dan cerdas. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim,
Mu’min yang kuat lebih dicintai Allah dari mu’min yang lemah
Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa Rezeki yang Halal Menjamin Kesihatan Mapan.
Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa Rezeki yang Halal

1.      Adalah suatu Kefardhuan
2.      Melahirkan Insan Soleh
3.      Menjana Istiqamah dalam Ibadah
4.      Mencetus Insan Berdikari
5.      Menjana Ekonomi Umat Islam
6.      Membentuk Akhlak Mulia
7.      Menjamin Kesihatan Mapan

Konklusinya, setiap daripada rezeki yang jelas status halalnya akan dapat melahirkan masyarakat mutakhir yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk negara khususnya dan negara amnya.


Monday, April 2, 2012

Teks Syarahan MTQ 2012 (1) Dinnie Asyraf

Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Penghayatan Hari Pembalasan Menjana Insan Kamil
Oleh : Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim (SMK Bandar Sungai Buaya)


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“PENGHAYATAN HARI PEMBALASAN MENJANA INSAN KAMIL”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya.   Penghayatan membawa erti sebagai memahami dan meyakini sedalam-dalamnya akan sesuatu perkara. Hari pembalasan pula ialah hari kebangkitan dimana amalan manusia akan dihisab dan hari penentuan pengakhiran hidup seorang manusia  Menjana pula ialah menghasilkan dan  Insan kamil pula ialah individu yang memiliki keseimbangan dalam empat fakulti insan iaitu emosi, rohani, aqli dan jasmani yang sempurna serta lengkap.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Fokus mauduk  saya yang pertama di bawah wacana fikrah , “Penghayatan Hari Pembalasan Melahirkan Akidah Yang Teguh”  Perkara pertama dan utama yang wajib bagi setiap insan ialah meyakini bahawa Allah itu Esa dan berkuasa. Namun, isu ajaran sesat seperti munculnya ajaran ‘Kerajaan langit Ayah Pin’ serta ‘Rasul Melayu Kahar Ahmad’ merupakan antara 102 ajaran sesat yang bertapak dalam negara kita menurut laporan Bernama. Seorang individu muslim yang sentiasa mengingati hari pembalasan akan sentiasa mengelakkan dirinya daripada terjebak ke dalam kancah syirik seperti ajaran sesat yang bertapak di Malaysia bertepatan dengan nasihat Luqmanul Hakim yang pertama kepada anaknya telah Allah abadikan di dalam surah Luqman Ayat 13 ,

Maksudnya : “ Janganlah kamu mempersekutukan Allah kerana mempersekutukan Allah merupakan suatu kezaliman yang besar.” 
Maka, jelaslah bahawa Penghayatan hari Pembalasan melahirkan akidah yang teguh.

Hadirin sidang dewan sekalian,
Wacana fikrah saya yang kedua “ Penghayatan Hari Pembalasan, menjana istiqamah dalam ibadah “. Ibadah sahihah merupakan ciri yang kedua yang perlu ada dalam diri individu muslim menurut Imam Hassan al-Banna. Amalan  ini haruslah dilazimi dengan sepenuh hati kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-2,
Maksud : “ Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya “
Khalifah Umar Abdul Aziz telah membuktikan bahawa sesuatu ibadah yang dilaksanakan secara konsisten mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera apabila tiada seorang pun rakyat pada zaman pemerintahanya layak menerima bantuan zakat. Hal ini demikian kerana ibadah zakat telah disempurnakan oleh setiap daripada umatnya.
            Oleh itu, terbuktilah di sini bahawa “ Penghayatan Hari Pembalasan, menjana istiqamah dalam ibadah”.

Hadirin sidang dewan yang beriman sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga “ Penghayatan Hari Pembalasan, Memupuk Sifat  Malu Dalam Diri Manusia “ . Manusia yang memiliki rasa malu akan takut untuk berbuat dosa dek rasa malu kepada Allah. Membudayakan sifat malu berupaya menjadi benteng seseorang daripada terjebak dengan maksiat seperti hubungan terlarang, homoseks dan sebagainya. Masihkah kita ingat akan peristiwa yang menggemparkan lagi memalukan apabila seorang pelajar Malaysia di bawah tajaan Petronas yang sedang menuntut di luar negara telah berkahwin dengan lelaki berbangsa Inggeris di Ireland. Astaghfirullahal azim…
Marilah kita menjaga diri kita daripada mencontohi peristiwa yang berlaku kepada umat Nabi Luth a.s dengan meningkatkan keimanan kepada Allah serta mendidik sifat malu sepertimana dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud,
“ rasa malu dan iman sebenarnya berpadu menjadi satu, maka apabila hilang salah satunya , maka hilanglah yang lain.”
Tuntasnya, terbukti bahawa  Penghayatan Hari Pembalasan, memupuk sifat malu dalam diri manusia’

Hadirin penjana transformasi Negara,
Wacana fikrah saya  yang keempat berbunyi “ Penghayatan Hari Pembalasan Membentuk Akhlak Mulia “ Saidina Ali r.a menyifatkan akhlak mulia dengan beberapa perkara seperti memiliki akal yang sempurna, bersabar, bersyukur, suka berbuat kebaikan dan sebagainya. Maka, insan yang sentiasa mengingati mati dan hari akhirat akan berusaha gigih memenuhi setiap harinya dengan melakukan amal kebajikan. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 ,
“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang kelima berbunyi “ Penghayatan Hari Pembalasan, Memartabatkan Budaya Ilmu“ Frasa ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

“ Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan”
Harus kita ingat bahawa, ilmu pengetahuan yang berlandaskan syariat mampu membawa manusia menerokai dan membugarkan budaya keintelektualan  tanpa tersimpang daripada matlamat mendapatkan redha Allah. Keimanan kepada hari akhirat telah menjadikan Ibn Sina sebagai seorang yang berjaya menghuraikan ilmu-ilmu berkaitan perubatan dan falsafah.  Selain itu, Nik Nur Madihah,seorang pelajar cemerlang SPM tahun 2008 telah membuktikan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikanya seorang yang memiliki wawasan untuk mengubah nasib keluarganya. Maka, berdasarkan contoh yang diberi, jelaslah bahawa Penghayatan Hari Pembalasan,Memartabatkan Budaya Ilmu”

Hadirin  yang setia mendengar sekalian,
Wacana fikrah saya yang terakhir merupakan “ Penghayatan Hari Pembalasan Mencetuskan Budaya Kerja Cemerlang” Seorang manusia yang berfikir tentang masa depan akhiratnya,pasti akan berusaha meningkatkan produktiviti amal dan memperbaiki kesilapannya. Budaya rasuah, sifat tidak adil, lemah dan tidak proaktif pasti akan dijauhi andai keimanan terhadap hari pembalasan menguasai jiwanya. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 36 ,
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah memerintahkan setiap kamu menunaikan amanah kepada ahlinya”.
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan suatu budaya kerja yang cemerlang dan perlu dilaksanakan oleh setiap kakitangan kerajaan. Indeks Prestasi Utama dalam Enam Teras Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membuktikan kesungguhan pemimpin Negara dalam membentuk budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan masyarakat.
Maka, perasaan ingin memberikan yang terbaik ketika berkhidmat ini mengukuhkan fakta bahawa Penghayatan Hari Pembalasan Melahirkan Budaya Kerja Cemerlang”.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa menginsafi masa depan akhirat kita melahirkan seorang manusia berjiwa hamba yang sentiasa berusaha mematuhi syariatNya.
Kita juga memahami bahawa ,  “Penghayatan Hari Pembalasan,
1. Melahirkan Akidah Yang Teguh
2. Menjana Istiqamah Dalam Ibadah
3. Memupuk Sifat  Malu Dalam Diri Manusia
4. Membentuk Akhlak Mulia
5. Memartabatkan Budaya Ilmu
6.  Mencetuskan Budaya Kerja Cemerlang

Konklusinya, penghayatan terhadap hari akhirat amat penting dalam membentuk insan kamil. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan. 

Sekian. 

Wednesday, January 11, 2012

.......

Kepada Anda yang memahami apa yg cuba ku sampaikan...

Sila berhati-hati dengan apa yang anda katakan dan apa yang anda buat..

Jangan sampai anda menanggung dosa seumur hidup disebabkan tindakan anda itu......

Carilah kemaafan sebelum terlambat...kerana seorang aku tidak akan memaafkan anda selagi anda seperti itu..

Carilah kebenaran...

Dekatkanlah diri tu (yg rasa mcm bagos sgt ) dengan Allah..kerana tiada manusia yang hebat sehingga dapat mengatasi kuasa ALLAH.

Monday, January 2, 2012

Buah Hati Pengarang Jantungku

Adik bongsuku yang 'macam-macam'
Oleh : nawal_sister

Assalamualaikum wrht.

Hari ini 02.01.2012. Hari ini merupakan hari yang istimewa buat kami semua kerana pada tarikh ini, 6 tahun yang lalu, telah memberikan kejutan dan juga senyuman buat kami sekeluarga. 02012006, buah hati pengarang jantungku ini telah dilahirkan kedunia oleh ummi kami di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sekitar jam 12 tengahari. Tarikh ini tidak akan dapat kulupakan kerana bagiku kelahiran adik yang seorang ini sangat bermakna dan sangat ditunggu-tunggu oleh semua.

Saat Cemas dan Mendebarkan : Masih segar dalam ingatan, pada malam 23 Disember 2009, ummi dikejarkan ke HTF kerana turun darah. Ummi pernah berpesan suatu masa sebelum peristiwa ini berlaku, " Kalau jadi apa-apa kat Ummi, ambil Kad ni dan tunjuk kat doktor/nurse". Maka, malam itu aku bersama abah membawa ummi ke hospital manakala adik-adikku yang lain tinggal di rumah. Ummi terus dibawa ke wad bersalin dan aku tidak dibenarkan masuk. Tidak putus-putus doa kupanjatkan kepada Allah kerana aku sangat gementar saat itu. Sms kukirimkan buat sahabat-sahabat terdekat tingkatan enamku  seperti Munirah, Zakiyah, Atiqah, Ilani  dan lain-lain memohon mereka turut berdoa dan mereka menghantar semangat buatku. Ketika itu baby baru berusia 7 bulan dan paru-parunya masih tidak matang. Doktor yang bertugas memberitahu bahawa jika 'contraction' masih berlaku, ummi terpaksa dibedah. Namun, alhamdulillah contraction itu berhenti dan ummi dihantar ke maternity wad. Maka, bermulalah episod ulang alik kami adik beradik ke wad ummi setiap hari dan berlangsung selama 10 hari.

Pada tarikh 02.01.2006, Ummi sepatutnya bersiap untuk pulang kerana ummi meminta izin doktor untuk menghantar Nuha yang pada waktu itu baru melangkah ke darjah satu. Kebetulan pada 01.01.2006 merupakan hari pendaftaran Matri. Aku berniaga Kek Coklat ketika itu dan sudah tentulah hariku pada 31 Disember 2005 dipenuhi dengan aktiviti membakar kek coklat sebanyak 7 biji. Maka, pada 02 Januari itu aku keletihan. Selepas subuh, aku bersandar di sofa yang terletak di ruang tamu lalu tertidur. Jam 9am abah mengejutkan aku dan adik-adik melalui telefon memberitahu bahawa ummi turun darah lagi sekali dan akan dibedah pada pagi itu.

Ya Allah. Kejutan kali kedua yang sangat mendebarkan hati,jantung,limpa,pankreas dan sebagainya. Aku terus melompat bangun dan bersiap lalu terus membawa kereta ke hospital. Tak sempat berjumpa Ummi kerana ummi telah dimasukkan ke dalam dewan bedah. Tidak henti-henti doa dipanjatkan. Ketika itu pelbagai bayangan muncul di fikiran, kukuatkan hati dan berdoa. Sangat terharu ketika itu apabila sahabatku Munirah Halim muncul di depan dewan bedah dan menemani aku di situ. Mu'az pula ketika itu dirumah kerana demam dan muntah-muntah. Mu'az ni memang bonding dia dgn ummi sangat kuat. Jika Ummi sakit, dia akan sakit juga. 

Kira-kira antara 11.50-12.00 seorang bayi dikeluarkan daripada dewan bedah. Aku, abah dan Munirah ada di situ ketika itu. Lantas aku dan Munirah diarahkan untuk meng'escort' bayi dalam inkubator ke Newborn ICU. Kali pertama aku melihat bayi itu, subhanallah...tembamnya dan kelihatan sihat saja. Baby itu lahir pada usia 8 bulan dengan berat 3kg. Air mata menitis syukur dan doa terus ditembak buat ummiku yang masih berada di dalam dewan bedah. Sungguh aku tidak pernah melalui detik yang cemas seperti episod Ummi dengan anak terakhirnya ini. 

Alhamdulillah lebih kurang sejam selepas itu, ummi telah selesai dengan urusan di dalam dewan bedah. Aku menyambut ummi yang keluar daripada dewan bedah dengan kain batik untuk melindungi aurat ummi. Ummi ketika itu sudah separa sedar. Jelas kulihat keperitan di wajahnya dan masih kuingat kata-katanya "Tolong jaga aurat ummi". Ummi bertarung dengan kesakitan selepas dibedah dengan ubat tahan yang semakin berkurang. Tiada langsung suara yang kedengaran melainkan ketapan bibirnya yang menunjukkan dirinya sedang menahan sakit yang amat sangat. Aku ni seorang yang sangat sensitif dan ketika itu aku tidak dapat melihat ummi lama-lama kerana aku seolah-olah turut berkongsi rasa sakit ummi dalam dadaku.

Baby yang lahir di usia 8 bulan itu dirawat di NICU selama 5 hari dan hari ke-enam barulah aku dan adik-adik dapat melihat insan baru dalam hidup kami. Semasa kami semua pergi ke hospital untuk menjemputnya, aku dan ummi tinggal di dalam kereta manakala abah dan Nailah pergi ke wad untuk urusan membawa pulang bayi itu. 

"Nak buh nama apa ni? " soal Ummi ketika aku berdua di dalam Honda. Aku diam. Tidak dapat berfikir akan nama untuk si bongsu. 

" Ummi ada terlintas ka nak buh nama apa?" soalku kembali kerana Muhammad Mu'az dulu memang ummi sudah punya nama untuk dia kerana ummi gemar membaca sirah Mu'az b Jabal ketika mengandungkan Mu'az. 

" Ummi ni sepanjang proses daripada masuk wad sampai hari ni duk baca Allahumma Yaasir wala Tuassir.. rasa Allah banyak mudahkan urusan kita dalam hal ni"

" Nak buh nama Yaasir ka? Maksud dia mudah kan?" tanyaku lagi. Ummi tersenyum. 

Pulang ke rumah. Semua bersetuju dengan nama Yaasir berdasarkan sirah Keluarga Yaasir dan untuk pangkal nama, Abah membuat undi antara kami adik beradik. Mu'az sudah tidak benarkan gunakan 'Muhammad' kerana ada antara kami yang panggil dia Muhammad. Maka, antara Ahmad dan Abdullah. Maka Abdullah mendapat undian tertinggi dan itulah nama bayi comel yang menjadi ahli keluarga terakhir kami dengan nama indah Abdullah Yaasir. Bermulalah episod hidupku yang ketika itu berusia 20 tahun dengan seorang adik kecil yang sangat kukasihi.


>> Ceria dan Lincah

Adik lelaki yang kedua ini sangat berbeza dengan Mu'az yang pendiam ketika kecil, tidak mahu bergaul dengan orang sehingga umur 3 tahun, tidak banyak ragam dan sangat baik ketika kecil. Abdullah Yaasir punya karakter yang terbalik, orangnya sangat ceria, lincah dan memiliki tenaga yang sangat banyak. Imaginasinya juga tinggi, boleh menulis dengan kedua tanganya dan dominen tangan kiri. Sering menulis dengan terbalik seolah-olah imej yang terpancar pada otaknya seperti cermin. Bijak bercakap dan perlu menggunakan logik untuk meyakinkanya tentang sesuatu. Dia juga seorang yang pantang dicabar dan tidak mudah putus asa. Semua ini merupakan sikap Abdullah Yaasir yang kukenal semasa berusia 6 tahun tahun ini. Dia seorang yang istimewa di hati kami semua. 
Hadiah kerana berpuasa lebih 20 hari ketika umur 5 tahun.
Abdullah Yaasir gemar mencuba sesuatu yang baru dan mudah bosan dengan sesuatu permainan/aktiviti. Tenaganya sangat banyak sehingga dia mampu tidak tidur daripada pagi sehingga ke tengah malam dan masih aktif, berbeza dengan kanak-kanak lain.

mencuba membuat istana pasir dan kolam siput.
bermain ombak buat pertama kali 
suka amek gambar sendiri...huhu
>> Saat Mengharukan dan Sayu 


" Adik, kak tulis cerita ni supaya suatu hari bila kamu dah besar, adik dapat baca dan faham bahawa dulu kamu kecik-kecik, kamu sangat kasih kepada kami kakak2 dan abang tanpa berbelah bahagi."


Aku sering mengusik Yaasir tentang dia sayang siapa lebih? Setakat ini jawapannya sangat konsisten, dia akan jawab begini ," Adik sayang Ummi,Abah,Nawal,Nailah,Mu'az dan Nuha.." 

Kalau dia memilih untuk tidur dengan Nailah, saya akan mengusiknya dengan buat-buat menangis dan berkata " Adik tak sayang Nawal..huhuuuhuuu..." Dia akan terus bertukar arah, " tak pa lah, adik tidoq dgn Nawal lah...". Kemudian Nailah pula akan mengusiknya..." xpa2..adik tak sayang Ne'ah..." dan proses itu akan berulang dua tiga kali sehingga dia akan berkata dengan kuat..." Adik sayang dua-dua lah...!!"... hehe. Seronok kami mengusiknya kerana kami akan mendapat jawapan yang sangat fair...

Suatu hari pada 9 November 2011, Abdullah Yaasir telah membuat suatu tindakan penuh dramatik yang akan saya ingati sampai bila-bila. Ceritanya begini...

Trip Kangar-KL kali ini disertai dengan si cilik ini yang buat kali pertamanya berpisah jauh dengan ummi. Tujuanya abah membawa Yaasir adalah untuk membawanya merasai pengalaman menaiki keretapi. Si kecil sungguh teruja dan sangat gembira tanpa menyedari yang dirinya tidak akan berjumpa ummi selama dua hari. Teringat dialog dengannya ketika kami berhenti makan di R&R Tapah,

"Adik seronok dak ikut Abah mcam ni? " soalku.

Diam. Wajahnya muram. " Awat? Tak syok ka?"

" Syok.... tapi......adik rasa adik rindu kat Ummi, Neah dan Nuha la..." katanya perlahan.

Aku rasa ingin ketawa di situ namun kupendamkan sahaja tawa itu demi menjaga hatinya.

Esoknya dia bergembira sehari apabila abah membawa dia menaiki komuter ke KL Sentral dan ke rumah Mak Ngah. Malam itu mereka berdua akan pulang ke Kangar dengan Keretapi Tanah Melayu Senandung Langkawi. Abdullah Yaasir seperti biasa akan bercakap banyak dan sangat -sangat teruja apabila kami tiba di stesen komuter Rawang. Sejam awal kami tiba. 

Aku menanti bersama-sama Abah dan Yaasir di situ. Berat hatiku untuk pulang ke rumah meninggalkan mereka seperti saranan Abah kerana aku sendirian. Aku berborak dan meladeni karenah Yaasir yang ingin ke toilet dan sebagainya. 

Pelbagai soalan tentang trek keretapi , elektrik dan sebagainya dituntut jawapannya daripada Abah. Abah sememangnya tahu cara yang paling ringkas untuk memahamkan si kecil yang suka bertanya itu dan masa sejam itu berlalu tanpa kebosanan.

Ketika sedang menunggu, komuter lalu dan berhenti di hadapan kami. " Abah, yang warna pink tu untuk perempuan saja kan?" soanya. Kami bertanya bagaimana dia tahu dan kami sebenarnya lupa Yaasir sudah pandai membaca dan memahami signboard. 

Sibuk dia membaca tulisan-tulisan di tiket keretapi mereka


Keretapi belum tiba. Namun abah bersedia mahu berjalan ke hujung kerana gerabak tempat tidur terletak di hujung platform. Maka, kami bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal. Aku perasan wajah Yaasir semacam sahaja ketika itu namun tidak kuendahkan dan aku terus berdiri di platform memerhatikan langkahan kaki mereka sehingga hilang. Aku membuat keputusan untuk menanti sehingga keretapi tiba kerana terasa seperti tidak mahu pulang lagi. 


Tiba-tiba dalam lima minit kemudian aku melihat Abah dan Yaasir menuju kearahku sambil Yaasir menangis teresak-esak. Sangkaku dia terjatuh. 
" Adik, kenapa ni? "
" Adik sakit perut...." jawabnya. Namun tangisannya semakin kuat dan dia memelukku erat. Aku terpinga-pinga kerana dia tidak pernah berkelakuan begini. Menangis tanpa sebab yang kukuh.

Abah bersuara," Dia sedih........ nak tinggal kakak dia".

Ooooo.... aku mengusap dadanya dan berkata " tak pa aih....nanti Nawal balik rumah time KMK nanti... tak pa,skrang adik nangis puas-puas,bagi hati adik lega..." Ketika itu aku perasan banyak mata memandangku menyaksikan babak sayu itu. ha.ha.  Setelah itu, keretapi sampai dan Yaasir semakin reda tangisanya. Aku membisikkan kata-kata yang dapat menenangkan dirinya.

Setelah itu, Abah memegang tangannya dan berlalu pergi. Aku tersenyum sebak. Taching sungguh time nih. Alhamdulillah aku berjaya mengawal diri aku daripada menitiskan air mata. Ha,..aku kuat time nih.


Tidak pernah terbayang dalam fikiranku Yaasir akan sedih sebegitu. Lama kufikir baru kusedar bahawa selama ini, daripada dia kecil, kami yang pergi meninggalkan dia,..dia hantar kami (nawal dan nailah) naik bas, naik ketapi, naik kapal terbang, naik kereta dan dia tinggal bersama ummi. Kali ini dia yang akan meninggalkan diriku. Agaknya itulah yang menjadi kejutan buat hati kecilnya dan dia seperti baru dikejutkan bahawa Nawal tidak akan bersama denganya dalam keretapi nanti. Lucu kan kanak-kanak ni..tetapi sangat menghiburkan hati. Tiba di Arau, saat dia nampak Ummi dan Nailah dia menangis. Kemudian, ketika di kedai makan dia menangis lagi. Nailah khabarkan padaku bahawa ketika hendak tidur juga dia masih menangis. 

Hatinya rapuh ketika itu dan ummi tidak benarkan sesiapa bertanya padanya soal itu. Ketika aku kembali ke rumah untuk KMK, aku sempat bertanya padanya. "Kenapa adik menangis hari tu? Adik sedih apa?"
" Adik teringat kat Nawal.." jujur jawabnya. Hah. Memang adik seorang ni terkenan perangai taching aku bak kata Nailah. Biarlah. Sekurang-kurangnya aku gembira kerana terasa benar diri ini dikasihi adik bongsuku.

~Selesai cerita taching. 

Cerita Bersunat 

Pada 8 Disember yang lepas, Abdullah Yaasir yang berumur 6 tahun telah melepasi hari-hari sukar seorang lelaki apabila dia selamat disunatkan oleh Doktor Kesayanganya iaitu Dr Ismail Nayan. Setahun ummi dan abah menyediakan mental dan hatinya bahawa pada hujung tahun 2011 dia akan bersunat. (atas nasihat doktor yang memahami tahap kesihatan dirinya). 


Tanpa mengetahui apakah sebenarnya bersunat itu, Yaasir begitu teruja dan tidak sabar-sabar untuk bersunat. Hatinya benar-benar bersedia. " Adik, kalau adik sakit masa sunat nanti, adik nak buat apa?" tanyaku sehari sebelum dia bersunat. " Adik doa kat Allah laa banyak-banyak.." jawabnya.  Kami sebenarnya agak risau dengan keterujaan dia kerana khuatir Yaasir akan terkejut. Namun, alhamdulillah segalanya telah selesai kini.

Menurut cerita Nailah, dia meraung sekuatnya sambil menjerit memanggil nama doktor ketika proses berkhatan itu berlangsung. Dia masih kanak-kanak dan tidak dapat menyembunyikan rasa sakit dan menangis sekuatnya. Setelah pulang ke rumah, kami memujuknya dengan hadiah untuk menenangkan dirinya. Antara dialog paling ku ingat selepas selesai babak menangis kuat-kuat ialah...

" Wah...adik ni hero lah...macam wira...berani...tak takut pun.." kata Ummi. Dia menoleh memandang ummi dan berkata .." Tapi adik nangis......." . 
" Tak pa aih.... hero pun boleh menangis..." jawab ummi.
Mungkin istilah hero bagi dia ialah tidak boleh menangis. Kelakar pemikiran kanak-kanak.


Sepanjang tempoh pemulihan, Yaasir dilayan macam raja oleh 3 orang kakaknya dan abangnya. Makan pun kena suap...tengok tu...

Berwajah ceria selepas rasa sakit berlalu pergi....

Bergambar bersama hadiah pemberian Mak Teh.. . Aku pasti ummi sangat lega kerana selesai sudah perkara penting yang perlu dilakukan dalam life seorang anak lelaki. Alhamdulillah, seperti namanya Hamba Allah yang mudah,.Yaasir banyak melalui perkara-perkara yang akhirnya terasa dimudahkan oleh Allah akan urusanya itu. Syukur.


Begitulah sedikit sebanyak ceritera tentang adik bongsuku ini. Kalau nak diceritakan satu persatu memang lenguh jari nak menaip. Daripada saat getir kelahiranya sehinggalah kini Yaasir melangkah masuk ke Taski Ummu Aiman 6 tahun. Ternyata, kelahiran si kecil ini ketika aku sudah besar sangat bermakna kerana aku sudah mampu mengingat secara jelas tentang bagaimana menguruskan dirinya.  Kelahiranya menceriakan keluarga kami. Saya memohon anda yang sudi membaca entri ini sehingga ke akhir mendoakan adik saya ini agar dia dapat membesar dalam persekitaran yang sihat dan soleh, seterusnya dewasa dan matang menjadi lelaki beriman yang bertanggungjawab dan soleh.


"Adik, kakak sayang adik dan kakak akan jaga adik sampai bila-bila, insya Allah. Semoga bila adik besar, adik dapat jaga kakak juga. "

p/s : Ada ketika dalam waktu Yaasir kecil ni dia memanggil kami dengan nama sahaja. Aku suka begitu kerana terasa lebih rapat. Begitu juga halnya dgn Mu'az dan Nuha sewaktu kecil dahulu. Bila mereka semakin besar,barulah gelaran kakak itu lekat di mulut mereka...

Wallahualam.

Saturday, December 31, 2011

Setahun berlalu...

Assalamualaikum wrht.

Sekadar mencoret sesuatu di hari akhir 31 Disember 2011...

Teringat tarikh-tarikh yang penting dalam kerjaya saya..

22 November 2010 - lapor diri di SMK Bandar Sungai Buaya.

27 Disember 2010 - Hari pertama memasuki rumah sewa saya di Sungai Buaya.

28 Disember 2010 - mesyuarat guru pertama yang saya hadiri.

3 Januari 2011 - Hari pertama saya sebagai seorang guru di SMK Bandar Sungai Buaya.

Kini sudah setahun berlalu. Tahun yang mencabar dan memeningkan kepala dan segala urat yang beselirat.
Terasa lama sungguh tahun 2011 ini berlalu dan pelbagai perkara berlaku samada gembira, sedih, bahagia dan sebagainya. Ada yang kembali mengadap illahi dan ada yang baru mencelikkan mata melihat dunia. Itulah rencah kehidupan.

Kita yang masih dibekalkan nafas haruslah sentiasa muhasabah diri dan merangka strategi menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa berada di titik keseimbangan yang sempurna antara titik akhirat dan dunia agar kita tidak terlalu asyik dengan dunia mahupun terlalu mengejar akhirat sehingga mengabaikan tempat untuk kita berusaha menuju akhirat yang abadi.

Pesan buat diriku, juga buat insan-insan yang saya kasihi ~ Marilah kita berazam menjadi Hamba yang Rabbani. Manusia yang soleh dan musleh dan sentiasa saling memperingatkan antara satu sama lain....


Thursday, December 29, 2011

Tok Pin saya sudah tiada lagi...


Kembali ke rahmatullah.
Oleh : Nawal

Assalamualaikum wrht.

Jam sekarang 11.15pm. 29 Disember 2011. Seorang hamba Allah telah dijemput pergi menghadapNya di Hospital Seberang Jaya dan insan itu ialah datuk saudara saya yang bernama Ariffin. Saya memanggilnya dengan gelaran Tok Pin. Ingin saya berkongsi sedikit tentang tok pin ini kerana rupa-rupanya pemergianya turut meninggalkan kesan dalam hati saya kerana selama ini saya tidak sedar bahawa saya akan menghadapi situasi sebegini. Maksud saya tokpin pergi dalam masa yang singkat selepas saya menziarahinya minggu lepas.


Gambar di atas dirakamkan ketika Hari Raya Aidil Fitri yang lepas.. Tok pin ni merupakan adik kepada nenek saya. Dia yang saya kenal tidak berupaya untuk melihat dengan jelas. Tok pin,isterinya dan anaknya Ahmad Mazis tinggal bersama dengan nenek saya di Butterworth. Jadi, kami (adik-beradik saya dan sepupu2) sudah biasa dengan karakter tokpin , dengan hobinya dan kata-katanya yang kadang-kadang lucu.  Semasa saya di sekolah rendah, saya rajin bersembang dan menegur tokpin namun, setelah meningkat dewasa saya semakin jarang berbuat demikian.

Saya mendapat tahu tokpin sering sakit semasa raya namun saya tidak memikirkan bahawa rupanya Hari Raya Aidil Fitri yang lepas merupakan raya terakhir saya melihat tokpin berjalan terketar-ketar ke ruang tamu, berjalan perlahan-lahan sambil dipimpin anaknya ke depan untuk bergambar, melihat tokpin menahan sebak apabila ada anak-anak saudaranya meminta maaf, melihat tok pin diangkat di atas kerusi untuk melancarkan pergerakan dan sebagainya. Sungguh. Manusia tidak pernah tahu bilakah nyawanya akan diambil oleh Allah swt. Oleh sebab itu kita harus sentiasa meningkatkan amal, sentiasa memohon maaf dan berusaha menjadi yang terbaik kerana Allah boleh menjemput kita pergi tanpa amaran.

Gambar kenangan terakhir bersama Tok Pin..Eid Fitr 2011
Selasa minggu lepas saya bersama keluarga singgah di Penang dan mendapat tahu bahawa tokpin terkena serangan strok. Saya menjenguk tokpin di bilik tidurnya. Kasihan sungguh melihat keadaan dirinya yang tidak boleh bercakap dan bergerak. Semenjak daripada hari itu hati saya sentiasa dilanda debar. Kemudian, apabila saya kembali ke Rawang, setiap kali telefon berbunyi, hati saya berdegup kencang dan perkara itu berlangsung selama 3 hari semenjak tokpin dikejarkan ke hospital Selasa lalu...Berita tok pin sedang nazak dan tenat saban hari dikhabarkan... sehinggalah malam ini, pesanan ringkas itu menjengah juga ke dalam inbox saya. " Tok Pin dah meninggal..."

Saya tahu saya akan rindukan suara tokpin yang pantang diusik anak saudaranya dan menantu2nya...  Dalam pada itu, saya sentiasa mendoakan agar Allah mengampunkan seluruh dosa datuk saudara saya ini dan merahmati tok pin saya ini kerana walaupun dia kelihatan seperti bukan sesiapa,..tetapi dia tetap ada ruang di hati saya kerana saya merasa 'sakit' dalam dada saya sekarang. "Ya Allah, rahmatilah tok pin dan ampunilah dia..."

Saya juga berdoa dan menghantar 'sabar' dan 'tabah' daripada jauh buat bapa saudara saya yang muda dua tahun daripada saya iaitu Ahmad Mazis yg saya panggil amad saja, semoga Allah beri kekuataan kepadanya.. juga pahala kepadanya kerana bersabar meladeni karenah ayahnya selama ini, ..dan juga semoga tok mami (isteri tokpin) sentiasa dilapangkan dadanya dan ditenangkan hatinya selepas pemergian suaminya itu. Juga buat nenek saya yang saya panggil 'tokna'... saya tahu tokna saya kuat dan akan tenang dengan pemergian adiknya yang mendahului dirinya setelah saban puluhan tahun tokna menjaga dan memelihara tokpin dan keluarga. Semoga Allah kasih tokna dan semua..

 Semoga Allah redha keluarga kita.
Ameen.

Wallahualam.