Let's share yur kind words here... (" _ ")

Tuesday, June 30, 2009

Tag-Islami

Saya telah di Tag?
Oleh : Nawal

Salam. Alhamdulillah hari ini saya mendapat msg daripada senior yang amat dikasihi iaitu Kak Fatimah. Kak Fatimah telah menge'tag' saya dengan tag Islami. Sebelum2 ini saya tidak pernah melayan perkara-perkara seumpama itu. Ini adalah kali pertama kerana ia adalah dalam rangka untuk menyebarkan islamic words..berkongsi nasihat, berkongsi pesanan, dan menyebarkan dakwah Islam.

Justeru, saya akan cuba menge'taq' few of my friends pulak lepas ni. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk kita semua.

Wallahua'lam.

Pesan pada hati...


Hati perlu ditarbiyah / dididik bersungguh-sungguh
supaya menjadi hati yang hidup,
hati yang sentiasa ada hubungan dengan ALlah S.W.T,
hati yang yakin bahawa kita akan bertemu ALlah,
hati yang yakin bahawa ALlah akan mengira segala amalannya,
hati yang sentiasa mengharapkan rahmat ALlah
dan hati yang takut akan azab ALlah S.W.T.
Bermula dari hati maka ALlah
akan mengubah keadaan hal sesuatu kaum itu
apabila mereka mengubah apa yang ada dalam hati mereka
.

Saturday, June 20, 2009

Cerita Minggu Ini

Catatan Minggu ke-6
Oleh : Nawal bt Abd Kadir

Hari Isnin. Kaki melangkah ke sekolah setelah bercuti selama dua minggu. Hari ini untuk sesi petang saya ada 3 waktu bersama kelas tingkatan 2K5 – 2K8. Seusai kelas amat memenatkan kerana tenaga dihabiskan untuk menjerit. Sessi pagi tadi berlalu dengan hanya satu waktu bersama tingkatan 4S1 – 4A1.

Hari Selasa. Hari ini bermula seawall jam 7.30 bersama dengan kelas 4S1-4A1. Ramai diantara mereka tidak membawa buku teks kerana biasanya ustazah mereka tidak mengajar pada waktu ini lantaran ia waktu pertama.
Pulang dari sekolah, saya sibuk menguruskan Rancangan Pengajaran dan Bahan Bantu Mengajar untuk kelas tingkatan 4 selama 2 waktu esok. Saya merancang untuk mengajar tilawah Al-Quran, Surah Luqman Al-Hakim. Saya telah merekod suara saya menggunakan “record-pad”, mengeditnya supaya kuat dan jelas untuk tujuan memberi contoh bacaan kepada pelajar esok.
Pengalaman mengajar tilawah menggunakan suara sendiri di kelas tingkatan 2 sangat memeritkan. Bayangkan suasana membaca Al-Quran sambil menjerit kerana ingin menguatkan suara. Sangat menyakitkan anak tekak. Maka, saya cuba mengubah kaedah dengan merakamkan suara. Saya juga sibuk menyediakan lembaran kertas untuk ayat kefahaman di samping menyiapkan peta minda untuk kemudahan pelajar. Saya tidur lewat jam 2am.

Hari Rabu. Jam 10.30 saya sudah berada di sekolah. Kelas tingkatan 4 bermula jam 11.20 di surau sekolah. Saya telah membawa speaker dan MP4 ke surau dan memastikan ia berada dalam keadaan baik. Sebelum tiba waktu, saya memanjatkan doa kepada Allah supaya memudahkan saya. Berkali-kali saya berbisik bahawa saya tidak bertawakkal kepada bahan bantu mengajar saya, tetapi saya bertawakkal kepada Allah. Tanpa izin Allah, pengajaran saya tidak akan berjalan dengan baik pada hari ini. Terasa ingin menangis kerana berdebar. Entah mengapa perasaan begini hadir setiap kali ingin memulakan pengajaran.

11.30 am barulah pelajar memenuhi ruangan surau. Saya memulakan pengajaran dengan set induksi dan terus kepada ayat bacaan surah luqman. Saya memasang rakaman suara saya dan meminta pelajar mengikut bacaan tersebut. Untuk 10 ayat pertama, ia berjalan dengan lancar. Namun, setelah itu bacaan pelajar menjadi berterabur. Saya juga kelihatan gementar dan gagal menguruskan MP4 dengan baik. Maka, saya menghentikan bacaan. Saya meminta pelajar fokus kepada ayat 12-19 kerana ia merupakan ayat hafazan dan disitu jugalah terkandung nasihat-nasihat Luqman Al-Hakim.
Setelah itu, saya meneruskan pengajaran intisari nasihat Luqman. Antaranya ialah mentaati perintah Ibu Bapa dan seterusnya. Setelah selesai kelas ini, saya terasa sedih kerana Nad memberitahu suara saya tidak kuat dan tenggelam. Aduh. Kesedihan telah melumpuhkan segala motivasi dan idea. Kesedihan membuat saya rasa sangat down dan rendah diri. Sudahla tidak pandai mengajar, suara tidak kuat, tidak garang, tidak pandai mengawal kelas dan pelbagai lagi ditohmahkan pada diri sendiri. Hari bertukar menjadi suram dan gelam.

Pada malam itu, saya telah berYM dengan Khairiah Kamilah Turahim. Sahabat sefikrah yang dikasihi. KKT praktikal di Klang juga. Rumahnya pun berhampiran dengan rumah saya. Saya amat berhajat untuk berjumpa dengan KKT. Begitu banyak benda nak dikongsikan dengan KKT. Saya juga berhajat untuk berbincang tentang halaqat dengan KKT. Hati dan jiwa saya kosong tanpa pengisian. Di sekolah dan rumah sewa tiada pengisian. Hanya Al-Quran menjadi peneman dan sumber kekuatan. Benar, hanya Allah sebaik-baik penolong. Namun, sebagai hamba yang lemah, diri terasa perlu mencari kekuatan. Perlu mencari teman sefikrah yang dapat meningkatkan motivasi iman, meningkatkan keyakinan diri. Bahkan di dalam kelas, terasa bicara saya tidak mengena sasaran iaitu hati. Maka, saya hajat sangat untuk berjumpa dengan sahibah dan makcik-makcik yang saya kenal di Jalan Kebun.

Maka, saya merancang untuk ke Jalan Kebun pada hari Jumaat selepas sekolah. Kak Hasliza, guru pembimbing saya tinggal di Jalan Kebun dan anak-anaknya bersekolah di Ibn Khaldun. Dia pernah menawarkan kepada saya untuk menunjukkan jalan ke sana.
Saya telah merancang dalam kepala saya begitu banyak yang ingin dikongsi bersama KKT. Tentang KMK 13, tentang pemergian Ammar yang masih terasa di hati, tentang kesedihan saya di sekolah, tentang pengisian yang kurang dan macam-macam lagi.
Saya tidak sempat meminta izin daripada Abah dan Ummi kerana waktu itu jam sudah menunjukkan jam 12 malam. Saya fikir, esok saya akan meminta izin. Dalam hati saya kuat mengatakan abah akan membenarkan kerana saya biasa memandu kereta ke Subang dan di Klang pun trafik sangat sesak dan merbahaya. Insya Allah, hati sangat yakin abah akan membenarkan kerana Jalan Kebun tidak jauh daripada tempat saya berbanding Subang.

Hari Khamis. Saya seperti biasa sibuk menyiapkan rancangan pengajaran harian dan rancangan mingguan kerana hari Jumaat saya perlu menghantar buku rekod ke pejabat. Seharian disibukkan dengan perkara seumapama itu dan saya terlupa untuk meminta izin daripada Abah. Khairiah sudah memaklumkan kesediaannya untuk menerima saya dirumahnya. Saya tidak pernah berkunjung ke rumah KKT setelah berkawan hampir 10 tahun. Saya teruja untuk berjumpa dengannya.
Hari Jumaat. Hari bermula dengan menyiapkan RPH yang belum langsai dan persediaan untuk memasuki kelas 2K1-2K4 dan 2K5-2K8. Hari ini saya masih gementar untuk masuk ke kelas mereka. Kenakalan mereka menggerunkan saya. Jam 1 kami keluar daripada rumah dan makan tengahari sebelum ke sekolah. Jam 2 kami tiba di sekolah. Duduk di meja menghilangkan penat baru saya teringat saya belum meminta izin daripada Abah untuk ke Jalan Kebun. Semasa keluar daripada rumah sewa, saya telah membawa beg baju dan peralatan dan memaklumkan kepada kakak-kakak di rumah sewa saya akan ke rumah kawan di Jalan Kebun. Saya pantas menghantar SMS kepada Abah dan Ummi serentak. Tiada balasan. Kelas saya bakal bermula jam 3.25 – 4.35. Saya berdoa ada balasan SMS daripada mereka. Namun, sunyi. Hati saya menari tidak enak. Ya Allah, mudahkanlah perjalanan ku hari ini.

Peti inbox sunyi daripada SMS baru. Saya ke kelas tingkatan 2 dan membuat amali bersama mereka. Setelah selesai jam 4.35, saya pergi ke surau untuk menunaikan solat asar. Jam 4.50, SMS daripada U masuk berbunyi “ Abah tak bagi la. Dia kata bahaya. Waktu ni kereta banyak n nak balik nanti macam mana?”
Telahanku benar. Hati berasa sedikit sedih namun masih berharap A membenarkan. Saya menghantar SMS menerangkan saya akan follow Kak Hasliza dan tidur di rumah Khairiah. Esok petang saya akan kembali ke Klang semula.
Tiada balasan. Aku masuk ke kelas tingkatan 2K5-2K8 jam 4.55. Hati tidak tenang. Namun, aku berlagak biasa. Peliknya kelas ini tidak terkawal pada hari ini. Selalunya mereka mendengar kata, namun hari ini mereka menjadi mulut murai yang tidak tahu menghormati guru. Bertambahlaa sedih hatiku ini. Selesai kelas,kira-kira jam 5.30pm saya menghantar SMS sekali lagi.

“ Ummi, tak boleh ek? Nak bagitau khairiah kata tak jadi”…SMS ku tidak berbalas. Saya terus menghantar SMS kepada KKT bahawa saya tidak jadi pergi ke rumahnya dan meminta maaf sangat-sangat. Saya cuba melawan rasa sedih yang menujah di dada.
Jam 6.35. Kak Hasliza datang dan mengajak kami pulang. Saya memaklumkan padanya bahawa saya tidak jadi mengikutnya pulang ke Jalan Kebun.
“ Lah, kenapa?” soalnya hairan. Mungkin sebelum ini saya beriya-iya memberitahunya saya berhajat mengikutnya pulang ke Jalan Kebun. Saya memberitahu ayah tidak memberi keizinan. Dia tersenyum dan mempelawa saya menumpang keretanya. Saya menolak dengan baik.

Jam 6.40. Saya melangkah lesu ke kereta. Telefon berbunyi. Hati berharap ummi yang telefon. Rupanya KKT yang telefon. Dia menyatakan kekesalan kerana tidak dapat berjumpa dengan saya. Saya juga begitu. Jauh saya berfikir apakah hikmahnya peristiwa ini. Saya memujuk hati sendirian. Teringat saya bahawa saya baru sahaja mengajar pelajar tentang harus mentaati perintah ibu dan bapa. Kini, saya diuji dengan arahan yang mudah iaitu Tidak Boleh. Lama saya memujuk hati, namun hati tidak mahu menerimanya.

Sebelum pulang, kami singgah di kedai makan untuk membeli makanan. Ketika menunggu, SMS masuk berbunyi “ Umi kat matri. Tak dan bincang pulak dengan abah. Umi forward sj msg kamu. Sorry.”
Air mata terasa ingin mengalir. Aku bertahan. Entah mengapa aku begitu sensitive dengan peristiwa ini. Mungkin kerana aku terlalu berharap. Mungkin kerana aku telah merancang dengan rapi untuk ke Jalan Kebun. Mungkin kerana hati kosong dan tiada pengisian rohani. Entahlaaa… Aku membalas SMS “ dah bgtau Khairiah tak jadi p umah dia. Kak sebenarnya nak follow kak za sbb nak tau jalan p Jalan Kebun. Lepas ni kalau ada hq atau program senang”. Aku amat terkilan dan aku lebih terkilan kerana tidak diberi petunjuk hikmah peristiwa ini.

Pulang ke rumah waktu maghrib. Selesai solat, kami turun ke bawah untuk makan. Setelah itu, saya masih terasa-rasa terkilan. Saya tidak mahu melayan perasaan dan menonton TV sehingga jam 12pm. Masha Allah, saya telah membuang sebegitu banyak masa.
Hari sabtu. Selepas subuh. Aku mengadap labtop mencari bahan tentang Classroom Management. Jam 10 aku menghantar SMS kepada UMmi meminta kebenaran untuk ke jalan kebun kerana hari ini Kak Hasliza ada kursus LADAP di sekolah. Jadi, aku masih berpeluang untuk mengikutnya ke Jalan Kebun. Namun, aku hampa bila SMS berbalas.. “ Umi kat a/star ni.Ada Program. Dah Forward kat Abah”. Keyakinan aku hilang. Harapan aku berkecai. Sedih.

Jam 12. KKT menghantar SMS. “ Salam. Nawal,makcik Sal yang uruskan hq kat sini cakap dia akan bincang ngan ana ttg hq tu ptg ni time ijtima’am. Kalau anti nak mai bolehla pukul 3pm kat dewan. Tapi ana pun tak sure kalau makcik2 dari Klang siapa yang akan mai” Aku memandang sepi msg KKT kerana tiada peluang untuk aku ke sana. Lama memujuk hati sehingga aku tertidur. Zohor. Kemudian, Asar. Aku tidak melakukan apa-apa aktiviti berfaedah hari ini kerana aku gagal merancang apa nak buat setelah perancangan ke jalan kebun tidak terlaksana. Rasa tak bersemangat dan cuba berfikir hikmah kejadian ini. Perut berkeroncong. Tidak menjamah makanan daripada pagi.
Sebenarnya saya tidak pernah ada di rumah pada waktu hujung minggu. Hari ini hari pertama berada di rumah sewa. Maka, kerana tidak keluar, tiadalah makanan. Inilah lemahnya aku apabila diuji dengan sedikit Cuma. Pengisian jiwa yang kucari, namun membuang masa menjadi pengisian hari ini. Aku telah berdosa mensiakan hari ini. Benar. Aku Buntu. Aku hilang kekuatan. Ampunkan aku Ya Allah.
Jam 5.30. Saya menerima panggilan dari Makcik Mariah. Alhamdulillah, makcik mengajak aku ke Putrajaya untuk program Fiqh Nisa. Senang hati aku kerana akhirnya aku berpeluang berjumpa dengan makcik-makcik sahibah pada esok hari.
Dalam diam aku memarahi diri sendiri kerana kurang yakin dengan perancangan Allah ke atas diriku. Aku sedih. Aku kecewa. Aku hampa..Kerana sebagai seorang guru yang menyampaikan nasihat kepada pelajar, aku gagal menasihati diriku sendiri. Ya Allah, berikan aku petunjuk itu.

Hanya sekadar perkongsian hari-hari yang berlalu pada minggu ke-6 aku di Klang.

Friday, June 19, 2009

Perjuangan PERLU diteruskan...

Kembali..
OLeh : Nawal bt Abd Kadir

Sudah seminggu Muhammad Ammar ZUkifli pergi meninggalkan kita. Sejuk kesedihan masih terasa..Namun, ia harus ditukarkan kepada bahang untuk meneruskan perjuangan yang ditinggalkan kepada kita. Masih banyak kerja-kerja Islam yang harus kita langsaikan. Marilah kita menjadi mukmin sejati yang merasai perhambaan dalam erti kata sebenar.

Kembali bercerita tentang dunia praktikal. Adik-adik pelajar semakin mencabar rasa dan seluruh pancaindera. Setiap hari niat harus dibetulkan supaya saya tidak mudah hilang sabar dengan mereka. Setiap hari saya memohon pertolongan daripada Rabbul Jalil agar membuka hati adik-adik pelajar ini dan memberi hidayah kepada mereka. Saya mengasihi mereka seadanya mereka kerana mereka hanya pelajar biasa yang masih tidak mengerti...

DOakan saya ya!
Mari Menjadi Hamba..

Friday, June 12, 2009

Berita Ammar di Berita Harian

Pelajar Malaysia maut nahas di Kaherah

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Kaherah, Mesir, meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya kelmarin.

Muhammad Amar Zulkifli, pelajar perubatan tahun tiga yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang terbabit dalam kemalangan bersama empat rakannya ketika pulang dari Ain Sokhna, selepas waktu Maghrib, kelmarin (waktu Mesir).

Menurut laporan laman web Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang (Mesir) kenderaan yang mereka naiki terbabas apabila cuba memotong sebuah lori dan mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Muhammad Ammar meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi rakannya cedera. Semua mangsa dihantar ke Hospital Kasr El Ainy untuk rawatan lanjut.

Mangsa lain dikenali sebagai Abdul Rahman Ramdzan dikatakan patah lengan kanan, manakala seorang lagi, Akram Abdul Kadir masih koma. Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka hanya cedera ringan.

Jenazah Ammar disembahyangkan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah selepas solat Zohor.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata, jenazah Muhammad Ammar dijangka tiba di Malaysia Sabtu ini. - Bernama

Berita Ammar di Metro

Luah hasrat tunai umrah
Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my


KEPALA BATAS: “Dia bercakap dengan semua adiknya serta isteri saya yang berada dalam kereta. Dia bertanya khabar kerana sudah lama kami tidak berjumpa.

“Tapi saya agak terkilan kerana tidak sempat bercakap dengannya kerana sedang memandu,” kata Zulkifli Ismail, 47, bapa kepada Muhammad ‘Ammar Zulkifli, 21, pelajar Malaysia di Universiti Kaherah, Mesir, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Mesir, kelmarin.

Beliau berkata, menerusi panggilan terakhir itu, anaknya turut menyuarakan hasrat untuk mengerjakan umrah pada Ramadan ini, namun tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan itu selepas kereta dinaiki bersama empat rakannya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan sewaktu pulang dari Ain Sokhna bagi meninjau lokasi untuk program Rehlah Gen6 pada 28 Jun depan.

‘Amar, pelajar perubatan tahun tiga dari Taman Bertam Indah, Kepala Batas, dekat sini, terbabit dalam kemalangan bersama empat rakannya sewaktu pulang dari Ain Sokhna, selepas waktu Maghrib, kelmarin (waktu Mesir).

Berita DUka buat KIta..

Pemergian yang abadi
Oleh : Nawal bt Abd Kadir

Dari hati untuk Muhammad Ammar ZUlkifli..

Air mata mengalir lagi.

Duhai kekasih Allah, Muhammad Ammar Zulkifli…betapa pemergianmu ini suatu kehilangan. Kehilangan yang di rasai seantero manusia yang mengenalimu. Betapa ketinggian syaksiyyah dan peribadimu menyentuh setiap hati individu samada yang mengenalimu atau tidak.
Cinta dan kasih sayang Allah mengatasi kecintaan manusia padamu. Allah mengambilmu di usia muda di saat begitu ramai yang menaruh harapan tinggi buatmu untuk menjadi pemimpin dalam usaha menegakkan islam dalam masyarakat.
Ammar, walaupun ana hanya mengenal anta dari kejauhan, pemergian anta sangat menyedihkan hati ana kerana ana dapat merasai kesedihan, keperitan dan kehilangan yang dirasai oleh keluarga anta, sahabat2 terdekat anta dan seluruh hati-hati yang mendukung fikrah yang sama.
Ana amat terkesan dengan pemergian anta. Anta telah syahid dalam perjuangan mendalami ilmu Allah dan kesungguhan anta mengeratkan ikatan silaturrahim sesama batch anta. Ammar, sungguh ana amat mengkagumi kesolehan, peribadi dan baik budi anta. Ana sentiasa berdoa agar kehilangan anta ini akan melahirkan lebih ramai jiwa2 seperti anta. Dalam usia muda lagi anta sudah jelas akan pengakhiran hidup kita iaitu ke destinasi yang abadi bernama akhirat. Maka, hidup anta disinari cahaya akidah yang membentuk peribadi yang soleh sehingga ramai yang terpaut dengan kebaikan anta. Sekarang anta dalam perjalanan menuju negeri yang abadi. Yang dirindu-rindukan anta.. anta telah menjadi anak-anak akhirat yang sedang melihat dunia dari jendela akhirat sana.
Ammar, anta telah pergi sebagai seorang mujahid muda, seorang anak yang diredhai oleh ibu dan ayah, disayangi adik-adik anta, dan dikasihi oleh sahabat-sahabat anta. Jutaan orang mendoakan anta dari jauh. Betapa mulianya kematian anta ini. Ramai menangisi kehilangan anta, ramai mendoakan kesejateraan anta di sana…berbahagialah anta di sana, berehatlah dengan tenang setelah anta menghabiskan masa muda anta untuk Islam.
Jelaslah, Allah memilih anta untuk dijadikan peringatan buat kami yang lalai di dunia ini. Anta merupakan insan terpilih wahai adikku Ammar. Peringatan Allah yang menusuk ke dalam kalbu dan bisa menggerak hati dan tindakan untuk berubah. Marilah kita jadikan kehilangan menyayat hati ini sebagai titik tolak kepada kita untuk berubah. Berubah ke arah makruf, menjadi insan yang mengabdikan diri untuk Islam, menjadi anak yang soleh dan solehah, menjadi pelajar rabbani, menjadi sahabat yang setia mendengar bicara temannya, bersama-sama dalam susah dan senang, mengharungi perjuangan sebagai seorang daie. Marilah kita jadikan pegangan hidup Ammar sebagai pegangan kita juga. Akhirat matlamat kita. Dunia hanya wasilah untuk sampai ke akhirat.
Duhai Ammar, pemergian anta sukar sekali untuk diterima sebagaimana ana kehilangan guru yang sangat ana kasihi iaitu Ummi. Kini, anta sedang bersama-sama dengan Ummi di sana. Kalian telah menjadi insan yang dipilih Allah untuk meninggalkan dunia dalam keadaan semua meredhai kalian, semua mendoakan kesejateraan kalian,.. Biarlah kisah duka ini menjadi pengajaran bagi kami, insan-insan yang akan menyusul kalian berdua di sana.
Selamat tinggal Muhammad Ammar Zulkifli.
Selamat tinggal Ummi Halimaton.

Semoga Allah sayang kita semua.

Friday, June 5, 2009

Apabila semuanya tidak sihat....

Semuanya tidak sihat
Oleh : Nawal ABd Kadir

Allah sayangkan kita. Allah nak ampunkan dosa kita.Ini kata-kata abah yang sedikit sebanyak menyejukkan hati orang yang sedang sabar menanggung sakit. Allah izin, selepas kenduri Munirah pada 4.6.2009, saya telah jatuh demam setelah tidak pernah demam semenjak tingkatan 6. Saya dengan batuk, sakit dada, sengal seluruh badan.. berusaha melawan sakit, namun tidak berdaya juga..Maka, saya berehat dengan harapan saya akan sembuh dalam masa terdekat...

Nailah pula telah demam, asma dan batuk semenjak hari Selasa lagi.Sudah 3 kali berjumpa doktor dan dikenakan gas. Abdullah Yaasir juga demam panas. Abah juga telah demam panas. Ummi yang tidak sihat terpaksa melawan sakitnya kerana anak-anak tidak sihat. Alhamdulillah Nuha dan Muaz tidak sakit seperti kami. Mereka dapat membantu sedikit sebanyak seperti mengambil air dan ubat, picit kepala dan lain-lain. Nampaknya semua orang dewasa dalam rumah ini telah terkena demam. Maka, saya tidak sempat mengupdate gambar walimah munirah..nantikan setelah saya sihat ya! Minta kalian tolong doakan kami sekeluarga...

Sunday, May 31, 2009

C.I.N.T.A ???


C.I.N.T.A . Kita hidup kerana cinta. Adanya kita kerana cinta. Kehidupan kita dikelilingi dengan cinta. Pokoknya cinta pada siapa? Adakah cinta kita itu benar dalam landasan syara'? Hidup saya dikelilingi mereka yang hangat bercinta, bermadu kasih dan bersayang-sayang. Tiada kata yang mampu diungkapkan dalam menjelaskan bukan begitu caranya untuk kita menjaga 'cinta' kita. Hari ini saya membaca suatu artikel tulisan 'Laksamana Angkasa' berkaitan dengan topik yang dekat dengan kita. Saya ingin kongsikan disini kerana tulisan itu selari dengan nada yang menari-nari dalam hati saya.

Adakah benar itu cinta?

Oleh : Hilal Ashraf

Seorang lelaki jatuh cinta kepada seorang perempuan.

“ Aku betul-betul sayangkan dia” Ujar lelaki itu. “ Perempuan itu pun cintakan aku”

Saya memandang sahaja.

“ Kami berdua saling cinta mencintai” Tambahnya lagi.

Saya menghela nafas.

“ Salah ke kami berjumpa? Keluar sama-sama? Sembang-sembang? Kami nak lepaskan rasa rindu. Cinta kami terlalu menggunung”

“ Kau panggil itu cinta?” Saya memandangnya. Kali ini, mata saya mencerun.

Kononnya, cinta tidak tertanggung, rindu menyelirat agung. Oh, lautan api akan diredah, gunung tinggi akan didaki. Langit angkasa akan dijejak. Bulan bintang akan menjadi saksi. Segala apa pun sanggup dilakukan, asalkan cinta bersemi di dalam hati.

“ Aku betul-betul sayangkan dia, cintakan dia”

Rasa itu memang bergejolak, menolak-nolak. Hati rasa tersiat, seluruh tubuh seakan khianat. Kadang-kadang langsung tidak dapat mengawal diri. Ada masa hendak menangis menanggung cinta ini, ada masa tersennyum-senyum sendiri.

Setiap waktu hanya nampak dia. Ketika tidur hanya mimpikan orang yang kita cinta. Bila bangun terbayangkan dia. Setiap waktu hanya nampak dia sahaja.

“ Aku cintakan mu, i love you, aishiteimasu, uhibbuki, saranghaeyo, ik houk van jou, miluji tÄ›, je’ti aime” Bahasa melayu, inggeris, jepun, arab, korea, belanda, albania dan perancis disebut. Semuanya makna satu. Kalau arif seratus bahasa, kesemuanya akan diluahkan sebagai tanda cinta.

Mabuk. Mimpi yang entah berapa tahun lagi baru menjadi realiti, tetapi terasa seperti esok akan menjadi.

Benarkah itu cinta?

“ Kau panggil itu cinta?” Mataku mencerun.

“ Habis?” Walau saya tidak menyentuh dadanya, dari matanya sudah saya ketahui hatinya diamuk getar. Mungkin terasa bila cinta yang dianggapnya agung itu hendak digugah.

“ Kau tahu apa itu cinta?” Saya bertanya.

Dia mengangguk pantas. “ Cinta itu adalah sayang. Cinta dari hati, sayang sepenuh hati”

“ Kau tahu apa makna sayang?”

“ Menjaga orang yang kita sayangi dari kesengsaraan, membuat dia bahagia”

“ Maka kamu tidak mencintai dia sebenarnya” Saya menjawab perlahan.

Matanya membesar. Terus tangannya meragut kolat baju saya. Saya ditarik kasar.

“ Apa dia? Mana kau tahu? Jangan kau hendak menghitung cintaku. Cintaku kepadanya seluar langit dan bumi. Apa sahaja boleh kuberi. Kenapa kau nyatakan yang aku tidak mencintainya?” Marah. Matanya berapi.

Mabuk. Dia tidak sedar. Yang dikatakannya cinta itu, hakikatnya tidak bernilai walau satu habuk.

“ Sebab kau lontarkan diri kau, dan orang yang kau kata kau cinta itu, ke dalam neraka” Mataku memandangnya tidak berkelip.

“ Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sesungguhnya adalah perkara yang keji dan merupakan satu jalan yang buruk” Surah Al-Israa’ ayat 32.

Dia terdiam.

“ Apakah itu cinta?”

Manusia terlalu bodoh. Dia merasakan cintanya agung melangit. Tetapi dia tidak sedar, sebenarnya ketika itu dia tidak mencintai. Hakikatnya, dia pun tidak dicintai. Dia melontarkan pasangannya ke neraka. Pasangannya juga melontarkannya ke neraka. Apakah itu cinta yang sebenarnya?

“ Cinta itu mahal. Kau sebenarnya tidak mengerti makna cinta” Aku menambah. Pegangan tangannya mula melonggar.

Cinta yang sebenar, cinta yang menembusi akhirat. Apa guna cinta di dunia sahaja, kemudian di akhirat bermusuhan. Masing-masing akan menyalahkan. Manusia akan menyalahkan manusia lain kerana mengheretnya melakukan dosa. Ayah ibu akan menyalahkan anak kerana dosa anak terpalit pada dirinya. Anak akan menyalahkan ayah ibu menuduh ayah tidak menjaga dan mendidiknya. Suami akan menyalahkan isteri kerana tidak taat kepada ALLAH. Isteri juga akan menyalahkan suami kerana meninggalkan amanah mentarbiyah keluarga. Hari itu, tidak bermakna langsung cinta cinta yang diperkatakan manusia. Cinta mereka tidak menembus ke akhirat. Bertahan di tebing kubur sahaja, kemudian tertinggal.

Apakah itu dinamakan cinta?

Saya tidak nampak.

“ Kau fikir, cinta dengan perempuan itu, hanya sekadar ucap i love you?” Saya menepuk bahunya.

Cinta bukan semudah tiga perkataan. Cinta yang sebenar adalah taat kepada TUHAN. Maka cinta kepada manusia, berdiri atas ketaatan. Bukan untuk berseronok, tetapi cinta juga adalah ibadah dalam kehidupan. Mustahil ibadah boleh berasimilasi dengan kemaksiatan.

“ Dan katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh ALLAh Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan(perancangan, agenda)” Surah An-Nur ayat 30.

“ Tetapi, aku merasa bahagia. Malah, ada orang seperti ku, berkahwin, dapat anak, bahagia hingga ke akhir hayat” Dia cuba mempertahankan diri.

“ Apakah makna cinta, jika ia tidak dikira sebagai kehidupan? Hidup hanya untuk ALLAH, apakah harga cinta jika ia tertolak di sisiNya? Kau bahagia di dunia, tetapi kau sengsara di akhirat sana. Apakah makna cinta?”

“ Dan ada dari kalangan mereka yang meminta, Ya RABB kami, berilah kami apa yang ada di dunia. Dan di akhirat kelak, mereka ini tidak mendapat apa-apa pun” Surah Al-Baqarah ayat 200.

Secara tidak sedar, cinta itu memerlukan sepenuh hati. Cinta sepenuh hati adalah hanya untuk ILAHI. Dari cinta kepada ILAHI inilah, terbinanya cinta antara insani. Cinta yang asasnya iman dan taqwa, cinta yang matlamatnya hendak mencari keredhaan ALLAH.

“ Habis, salahkah aku bercinta? Cinta fitrah manusia!” Dia cuba membentak. Nampak sukar menerima.

“ Cinta tidak bersalah. Jatuh cinta bukan jenayah. Persoalannya, bagaimanakah kau bercinta, kenapa kau bercinta, untuk apakah kau bercinta?”

“ Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat, dan setiap manusia akan mendapat apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berhijrah kerana ALLAH dan rasulNya, maka dia akan mendapat ALLAH dan rasulNya. Jika dia berhijrah kerana dunia untuk mendapat isinya, atau kerana wanita untuk mengahwininya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hijrahkan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Akhirnya, manusia yang tidak mendirikan cintanya berasaskan iman dan taqwa, akan melihat jawapan-jawappan kepada tiga persoalan itu adalah sama. Nafsu. Ya, kepuasan diri semata-mata. Rapuh bukan? Sedangkan cinta itu saling kasih mengasihi. Tetapi sedar atau tidak, kita menjalani cinta yang berasaskan nafsu ini, hanya untuk kepuasan diri sendiri. Itukah cinta?

“ Tapi… tapi… aku bukan sekadar cinta sahaja. Aku berkorban juga. Aku belikan dia itu dan ini. Aku…”

“ Itu semua tipuan sahaja. Kau berkorban untuk dia mencintai kau bukan? Bukankah itu mementingkan diri? Kau mencintainya untuk diri kau. Kau namakan itu cinta?”

Akhirnya kepalanya tertunduk. Saya menghela nafas. Daifnya cinta manusia. Syaitan menghias-hias cinta daif itu menjadi agung. Tinggi melangit. Merentas lautan api kononnya. Mahu merentas neraka bersama kah?

“… Dan syaitan telah menjadikan indah bagi mereka perbuatan-perbuatan buruk mereka, sehingga menghalangi mereka dari jalan ALLAH, maka mereka tidak mendapat petunjuk” Surah An-Naml ayat 24.

Cinta itu datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab membahagiakan pasangan kita. Bukan bahagia di dunia semata. Tetapi bahagia hingga ke akhirat sana. Apakah makna cinta jika kita melontarkan pasangan kita ke neraka?

Kita akan ada anak, kita akan ada kerja, hidup berkeluarga nanti penuh dengan cabarannya. Siapakah yang memandang ke hadapan melihat hal ini? Biasanya, yang bercinta berasaskan kepuasan diri ini, hanya nampak sebatas gerbang perkahwinan sahaja. Nampakkah dia bagaimana dia hendak membesarkan anaknya nanti? Nampakkah dia bagaimana dia hendak menyara keluarganya nanti? Lebih besar lagi, bagaimana dia hendak membawa keluarganya hidup dalam keredhaan ALLAH?

Kebaikan akan memusnahkan keburukan, tetapi keburukan tidak akan sesekali mendatangkan kebaikan.

Jatuh cinta bukan jenayah. Tetapi bagaimakah kita bercinta, kenapa kita bercinta, untuk apa kita bercinta? Itu persoalan yang mesti dijawab sebenarnya. Cinta berasaskan iman dan taqwalah yang membuatkan kita mencintai pasangan kita, anak-anak kita sepenuh jiwa. Kita sara mereka dengan wang yang halal, kita hidupkan mereka dalam suasana ISLAM, agar bahagia itu berkekalan hingga ke syurga, bukan sebatas air mata di tepi perkuburann sahaja.

Cinta adalah ibadah. Bukan untuk memuaskan perasaan sahaja.

“ Dan tiadalah AKU ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah” Surah Adz-dzariyat ayat 56.

“ Habis, bagaimana aku sekarang? Perlukah aku memutuskan cinta?”

Saya menggeleng. Belakang tubuhnya saya tepuk-tepuk lembut.

“ Perbaiki diri kamu, dan ajaklah orang yang kamu cintai itu untuk kembali muhasabah. Sama-sama kamu perbaiki diri. Binalah kembali cinta yang berasaskan cinta kepada ILAHI. Bercintalah dengan cara yang betul, bercintalah dengan sebab yang betul, bercintalah dengan matlamat yang betul.”

“ Sekiranya kamu bersyukur kepadaKu, maka akan AKU tambahkan bagimu(nikmatKu)…” Surah Ibrahim ayat 7.

Dia menghela nafas. Aku tersenyum sahaja. Bukan senang. Tetapi itulah jalannya. Sebab syurga, dan harga kekal abadi itu lebih mahal nilainya.

Itu cinta dia.

Bagaimanalah agaknya dengan cinta saya?


( Artikel ini saya petik daripada laman web Langit Ilahi.com )

Saturday, May 30, 2009

Rakan se-PRAKTIKAL

Mari kenal kawan-kawan saya..
Oleh : Nawal bt Abd Kadir

SMK Raja Mahadi menerima 5 orang guru praktikal daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 2 orang akan mengajar matapelajaran Pendidikan Islam dan 3 orang akan mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris. Kami berlima sangat rapat dan saling membantu antara satu sama lain jika terdapat kesukaran dan masalah. Cikgu berlima ini ialah :-

1. Cik Nawal bt Abd Kadir
2. Cik Nadzirah bt Zakaria
3. Pn. Alice a/p Raman ( ibu kepada anak P yang berumur 3 tahun )
4. Cik Haneitha
5. Pn. Abidah bt Saul Hamid

" Kami datang dalam pakej. Pakej 5 orang. Kalau datang satu tugas, kelima-lima mesti terlibat. Tidak boleh pecah-pecah" itu 'joke' yang selalu Alice ulangkan apabila ada antara kami yang tidak mendapat kelas ganti.

Setiap kali sebelum pulang dari sekolah, kami akan saling berkongsi cerita apa yang berlaku semasa di dalam kelas. Saya sangat senang dengan situasi ini lantaran di tempat baru kami masih kekurangan kawan-kawan yang baik.

Thanx to Alice, Haneitha and Kak Abi...It's nice to know all of u..

Ini ialah Alice dan Haneitha

Kak Abidah masa time breakfast di Kantin

Nadzirah di bilik guru..

Bersama guru yang mendapat undian Guru Paling Popular sessi Pagi..