Let's share yur kind words here... (" _ ")

Thursday, June 30, 2011

Dialah GURU, Dialah UMMI, Dia di HATIku...

   Kredit utk yg merakamkan video Ummi di Hospital ini..
Suara itu seakan kukenali...tp tak dapat cam siapakah empunya diri,...ada siapa nak tlg bg tau?

Ku benar-benar rindukan suara itu.
Oleh : Nawal_Kadir


Saat ini ingin saya kongsikan wajah dan suara guru saya yang sangat saya kasihi. Beliau telah kembali ke rahmatullah dua tahun yang lalu ketika saya sedang menjalani Latihan Mengajar di Klang. Insan ini merupakan guru Bahasa Melayu saya. Beliau yang saya panggil 'Ummi' ini merupakan antara guru yang banyak mengajar saya dengan penuh sabar, mendidik saya yang nakal dengan penuh kasih, memberi teguran dengan hikmah, juga tegas dalam membentuk syaksiyah yang terpuji dalam diri. Arwah Ummi tidak pernah putus asa dalam mendidik anak muridnya. Arwah Ummi sentiasa mempunyai pandangan yang positif terhadap semua pelajarnya termasuklah saya yang 'nakal dan tidak mendengar kata' pada waktu itu. 

Kini, saya berada di tempat Ummi. Saya kini menggalas beban amanah yang ditinggalkan Ummi. Sesekali saya terasa bagai mahu bercerita dengan Ummi ..Ummi,lihatlah di mana Nawal skrang...Terima Kasih kerana Ummi pernah percayakan Nawal suatu masa dahulu, Terima Kasih kerana Ummi tidak membuang Nawal daripada kasih sayang Ummi, Terima Kasih kerana Ummi membela 'kami' dan tidak membuang 'kami' daripada mendapat tarbiyyah di Matri. Ummi, Terima Kasih kerana berjuang membela nasib kami para pelajarmu...

Saya sangat mengasihi Ummi Halimatun yang sentiasa akan memeluk saya apabila saya bertemu denganya, bertanya khabar dengan penuh mesra, bergurau bercanda menghangatkan suasana serta tidak lekang daripada memberi nasihat dalam setiap bicaranya... Kini, semua itu tiada lagi. Suaranya tidak bergema di bumi wakafan Matri lagi namun Ummi tetap hidup dalam hati saya juga hati para pelajar yang sangat mengasihinya. Itu saya pasti. Marilah pembaca kita mendoakan Ummi agar sentiasa aman dan damai di sana.

Ummi, Nawal juga tidak akan berputus asa dan sentiasa bersemangat sebagaimana Ummi dahulu....

Setiap kali aku merinduimu,...air mata setia bertemankan pipi......Moga kerinduanku yang tidak pernah padam ini menjadi motivasi untuk aku terus berjuang di medan ini.....

Monday, June 27, 2011

Tercalar Hati.....

Singgah sebentar di sini berkongsi rasa hati yang tercalar....


Hari ini hati ini tercalar buat sekelian kalinya,..bezanya gurisan itu hasil insan yang dekat di hatiku...Mungkin ini ujian buatku,.menguji sejauh mana keikhlasanku dalam berbakti dan berbudi,...Menangis. Serasanya aku ingin sekali menangis, tetapi air mata itu bukan untuk hati yang tercalar begini. Biarlah kutahan pedih ini sehingga terubat sendiri dengan usahaku tanpa pemberi semangat di sisi,...Aku sedang belajar menempuh hidup sendiri lantas luka yang kualami kekadang sukar untuk sembuh seperti tersiramnya air ke atas api,.. Ya Allah,..lapangkanlah dadaku menghadapi situasi seumpama ini. Ya Rabb,...sejukkanlah hatiku perlahan-lahan,..sehingga goresan yang tercalit di hati mampu kupadamkan...mampu kulupakan.... Berilah kekuatan kepadaku untuk memberikan kemaafan dan melupakan kerana sesungguhnya sebagai manusia aku kasih padanya...pada mereka....

Saturday, June 18, 2011

Kelas Kemahiran Al-Qur'an

Jendela Baru.
Oleh : Nawal_zah

Mulai 14 Jun 2011 yang lalu,saya telah diarahkan oleh pihak pentadbir untuk membuka sebuah kelas sepertimana yang termaktub dalam pekeliling Sekolah Menengah Agama dan Sekolah yang memiliki Kelas Aliran Agama (KAA).Kelas itu dinamakan Kelas Kemahiran Al-Qur'an.  Saya akan mengajar Tingkatan 1KAA di luar jadual waktu iaitu setiap hari Isnin dan Selasa jam 2.45-3.45pm. Antara bidang yang akan dipelajari oleh pelajar ialah Ulum al-Quran,Qiraat,Hafazan, Tarannum dan Tajwid.

Mudah-mudahan saya dapat melaksanakan amanah yang berat ini dengan baik.

Justeru demi memenuhi tuntutan kerja saya yang bertambah, saya akan digugurkan daripada mengajar 2 kelas bagi subjek Amali Solat. Kelas yang terlibat ialah kelas 2 Khawarizmi dan 1 Muzik.  Selamat tinggal pelajarku...

Coret pelajarku di white board..(niat nak mengusik laa tuh)

Dunia itu dan Diriku (1)

Semangat Oh Semangat
Oleh : Nawal_sensei


Cuti dua minggu berlalu dengan pantas sekali. Tidak terasa masa yang berlalu. Dalam pada itu saya sibuk membilang hari berangkatnya saya pulang ke medan perjuangan. 'Crocs River'. Membilang hari bukan kerana suka tetapi dek rasa berat hati yang melanda. Saya bagai tiada kekuatan mahu melangkah ke sana sehingga suatu hari saya disedarkan dengan kata- kata yang mengembalikan rasa untuk saya pulang ke bumi felda itu. 
        
" Kak Nawal, medan Kak Nawal di Crocs River, Desa Putera tempat cas tenaga sahaja. Tak boleh cas    lama-lama nanti leaking pula" ( nazz_nazihah)

Ya benar. Medan saya di sana. Tempat saya berjuang. Benar juga bahawa pulangnya saya ke Kangar dapat mengecas semangat saya yang semakin luntur setelah bergelumang di bumi Crocs River itu. 

Mengapa semangat saya luntur?  Jawapannya biarlah saya simpan sendiri. Andai kamu berada di tempat saya, kamu pasti dapat meneka dan memahaminya. (",)

Antara aktiviti saya semasa cuti ialah menanda kertas jawapan bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011. Saya punya lebih 190 sheet untuk ditanda. Saya mendapati ramai dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 yang saya ajar tidak dapat menjawab dengan baik. Astaghfirullahal 'Azim..

Soalan bertanya : Apakah perbezaan antara Muslim dan Mukmin ?

Jawapan ditulis : Muslim - lelaki, Mukmin- perempuan. 
                         Muslim - Cina masuk Islam, Mukmin- Orang Islam

Sedih saya.

Soalan bertanya : Apakah maksud Istinjak?

Jawapan ditulis : ' tak tahu laa ustazah'..
                           mengambil wudhu' menggunakan debu.'

Terkedu saya.

Soalan bertanya : Berikan perkara yang membatalkan wudhuk

Jawapan ditulis :  Korek hidung, 
                          Bermain-main dengan kawan,

Senyum saya.

Soalan bertanya : Siapakah wanita pertama mati syahid?

Jawapan ditulis : Siti Khadijah
                         Siti Fatimah

Terdiam saya.

Pelbagai rasa bertandang saat saya menanda kertas mereka itu. Saya benar-benar tenggelam dalam emosi yang sukar untuk dimengertikan tambah-tambah mengenangkan kata-kata abah ...

" Student kamu tak bleh jawab, nak salah siapa? Salah ustazah dia laa ...."

Bedebuk !!... Bagai dihempap seketul batu besar di pundakku,....

Justeru, apa yang boleh saya katakan.....

Saya sedih kerana dengan jawapan sebegitu ternyata saya gagal menyampaikan ilmu dengan baik. 

Saya terkedu kerana jelas pelajar saya tidak dapat memahami dan mengaplikasikan 'ibadah' dengan betul dalam kehidupan seharian.

Saya tersenyum perit  mengenangkan lemahnya saya dalam menguasai kemahiran menjelaskan sesuatu dengan baik kepada pelajar.

Saya terdiam sepi kerana saya tahu saya harus lakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka. Di hati tersemat azam membara mahu membantu para pelajar kesayangan saya. 

Ya. Semangat itu datang kembali. Bateri semangat saya sudah benar-benar 'full'.


Bersediakah saya untuk pulang berhadapan dengan pelajar-pelajar saya?

Insya Allah. Hati berbisik sendiri. Azam terus dipesankan kepada diri. Saya bersemangat untuk menerangkan dengan penuh kesabaran kepada pelajar tentang asas-asas dalam kehidupan seorang pelajar muslim terutamanya dalam hal ibadah.

Lalu, melangkahlah saya pulang ke realiti medan saya di Crocs River berbekalkan semangat dan azam yang tinggi. Saya tidak mahu menjadi guru yang mudah berputus asa terhadap para pelajarnya. Saya tidak mahu menjadi pendidik yang hanya tahu 'marah' apabila pelajarnya lambat faham. Saya tidak mahu menjadi sensei yang mudah mengalah sebelum berjuang !

Justeru, apabila kita sudah berkata-kata tentang sesuatu, pastilah kita akan diuji oleh Allah, bukan? 

>> Hari Pertama di sekolah Penggal Kedua.

Saya berbincang dengan pelajar tentang soalan 4 Bab (Ibadah). Saya menerangkan kepada pelajar perbezaan antara rukun wudhuk, perkara sunat ketika wudhu', perkara makruh ketika wudhu' dan adab ketika berwudhu'. 

" Ada soalan nak tanya ustazah?" soal saya.

" Tak da..." jawab mereka.

" Betul ni, kalau awak ada soalan, tak faham, tak jelas, keliru, awak boleh tanya ustazah sekarang, perkara ni kita buat dalam kehidupan kita seharian, jadi kita kena faham betul-betul" saya terus memberi peluang.

" Tak ada ustazah.." ada yang menjawab begitu. Ada yang menggeleng. Tidak kurang yang tunduk rapat ke meja. Ada yang mengelamun dan ada yang memberikan perhatian sepenuh hati kepada saya.

" Okay. Kalau macam tu, Ustazah nak tanya, 'Khairi mengambil wudhuk tanpa menghadap ke kiblat, sah atau tidak wudhuk Khairi tersebut' ?"

" Sah !!!!!" 
" Tidak Sah !!!.." Lebih ramai bersuara yang ini.

" Pelajar, mengambil wudhuk menghadap ke kiblat tu termasuk dalam perkara apa?" soal saya lagi.

Ramai yang diam. Ada yang memberikan jawapan yang pelbagai. Ada pelajar yang menjawab lagi " Sah ustazah"..

" Okay, kenapa sah?" terus saya menyoal.

" Sebab, tempat ambil wudhuk kat masjid Kg. Sg Buaya tak mengadap ke kiblat.." penuh konfiden  pelajar tersebut menjawab.

Ha ha ha ha ha ha ha ...Kelas riuh dengan gelak ketawa.

Saya terus menerus membawa mereka untuk mengaitkan mengadap ke kiblat merupakan adab dalam berwudhuk sebagai jawapan kepada soalan saya tadi.

Begitulah sekelumit cerita kecil dalam kelas -kelas saya yang saya hadapi dalam setiap hari kehidupan saya di sekolah. Saya memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk menangani pelajar saya. Saya memang perlukan suasana yang dapat menghidupkan hati saya supaya saya terus teguh berdiri untuk mendidik para pelajar. 

Pelbagai cerita manis,masam,pahit,kelat bersulam tawar  mengisi ruang dalam medan perjuangan saya di sini. Apa yang saya perlu lakukan ialah menghadapinya dengan penuh iltizam untuk meningkatkan prestasi diri dan memberi sumbangan kepada pelajar, sekolah dan juga yang utama ISLAM.

Kadang-kadang saya terfikir, sampai bila saya boleh bertahan?

Jawab saya " Saya harus bertahan sampai bila-bila kerana medan ini adalah medan amal yang jelas matlamatnya untuk melahirkan insan-insan rabbani yang soleh lagi musleh."

Bisik hati saya " Saya harus menjadi seperti allahyarhamah guru kesayangan saya Ummi Halimatun yang sentiasa bersemangat dan tidak pernah mengalah..Perjalanan saya masih sangat panjang,..saya harus bersabar dan meniti realiti dengan penuh hati-hati "..

Semangat Oh Semangat. Teruslah membara demi mendidik anak bangsa..

Saya mengharapkan doa daripada anda yang membaca. Andai sudi, tinggalkanlah pesan buat guru biasa ini. Tinggalkanlah kata-kata semangat buat guru muda yang masih tidak cukup pengalaman ini. Tinggalkanlah mutiara yang dapat guru novis ini jadikan panduan....

Wallahualam.

 Team Badminton SMK BSB dalam kenangan
SMK Bukit Sentosa 2, 2011

Ps :- Jzklh buat 'Penasihat Update Blog' saya,. yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya...Terus tersenyum dan ceria....

Saturday, June 11, 2011

Lama tak buat kerja ni...

Assalamualaikum wrht.

Hanya ingin berkongsi gambar-gambar saya membantu membuat Kulit Buku Skrap Sains adik saya. Moga pertolongan yang sedikit ini diredhai Nya...

Lama sudah saya tidak bermain dengan gunting,gam,water colour,dan kertas warna yang 
menjadi kegemaran saya !


Dah siap...tp macam comot,kan? Maklumlaa disiapkan dalam
masa sejam sahaja...

Seronok juga dapat buat kerja-kerja ni...

Siap dilaminate....

Pesanan untuk adik-adikku : Hidup ini sentiasa perlu diliputi dengan USAHA kerana tanpa USAHA dan IKHTIAR untuk menjadi yang terbaik dalam hidup, mencapai redha Allah,..kita tidak layak
dikatakan manusia lagi...Yang penting, Doa Usaha Ikhtiar da Tawakkal harus digerakkan untuk
mencapai kejayaan dalam hidup di dunia dan akhirat..

Ingatlah kakak dalam doa kalian....

Sunday, June 5, 2011

My BFF's walimah

  
Jalan-Jalan Penuhi Undangan
Oleh : Nawal Abd Kadir

Cuti Sekolah !


Apabila cuti sekolah menjelma, maka berderet-deretlah undangan Majlis Walimatul Urus yang harus dipenuhi.   Tak kiralaa kawan sendiri ke, kawan mak ke, kawan adik ke, jiran tetangga mahupun sedara mara yang menjemput, kita perlu lah sedaya upaya mencuba untuk menghadiri majlis mereka. Alhamdulillah pada 4 June 2011 kali ini terdapat tiga orang sahabat saya telah mengikat janji setia, memikul amanah Cinta, membina Baitul Muslim dengan pasangan masing-masing.  Saya berkesempatan menghadiri ketiga-tiga majlis tersebut bersama-sama dengan sahabat baik saya ( satu batch di Matri dulu,Gen-9). 

Antara watak yang ada ialah Pn.Nabilah Bakri, Cik Aisyah Humaira, Cik Sumayyah Musa, Dr.Nor Hafizah, Pn. Rasyidah, Pn.Noor Laila, Pn.Munzirah,  Cik Taqiyah Khadijah dan lain-lain. Jom tengok gambar-gambar yang sempat dirakam oleh saya.


 Rumah Kenduri yang pertama.

~ Tasnim bt Ismail dan suaminya Hafiz b. Desa
Tasnim merupakan sahabat saya semenjak daripada kecil lagi. Seingat saya kami mula kenal sejak tadika dan kami sekelas ketika zaman sekolah rendah dahulu.( SK Seri Tunjong). Orangnya manis, tegas dan baik hati. Persahabatan yang terjalin sekian lama tentunya bersulam dengan memori suka dan duka, namun alhamdulillah ikatan atas nama Ukhuwwah Fillah ini kekal erat sehingga kini. Tasnim menamatkan zaman bujangnya ketika sedang menghabiskan semester akhir pengajian sarjana di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Kini, sahabatku ini selamat bergelar menantu kepada Cikgu Desa Senawi dan Mak Cik Onen. Kami semua mendoakan Tasnim dan suami bahagia hingga ke syurga.

Adik Kepada Tasnim...


 Rumah Kenduri Kedua

Ilani Abu Hassan dan suami. Daripada rumah Tasnim, kami bergerak beramai-ramai ke rumah Ilani. Ilani melangkah masuk ke Matri ketika kami berada di tingkatan 4. Kemudian, Ilani bersama-sama dengan saya berjuang mengharungi dua tahun pengajian pra-universiti atau STPM di SMKAP. Di sinilah saya semakin rapat denganya. Orangnya juga manis dan lemah lembut. Memang berlawan habis laa dengan saya tetapi kami tetap boleh bersahabat baik. Alhamdulillah.

Bergambar kenang-kenangan beramai-ramai bersama Ilani Abu Hasan 


Memang rezeki saya untuk bertemu dengan sahabat baikku ini. Siti Nur Zuhaili dan adik ipar merangkap sahabat baiknya Syuhada. Mereka turut bertandang ke majlis Ilani ini.


Saya bersama Ilani dan juga Ikhwana Syuhada. Ikhwana juga merupakan rakan sebatch di Matri dahulu tetapi dia  meninggalkan Matri ketika kami berada di Tingkatan 3. Walaupun sudah sekian lama tidak berjumpa, we just can get along together seolah-olah kami tidak pernah terpisah  dengan jarak waktu yang lama. Syukur!


Antara kelebihan bertandang ke rumah kenduri ialah dapat bertemu dengan ramai sahabat-sahabat sudah sekian lama tidak bertemu. Atiqah Ghazali juga turut berada di sini. Maka, kawan-kawan daripada Terengganu ni pun mengambil kesempatan untuk bergambar bersama. Teringat kata Syahmerra " awak slalu jumpa dak pe la,..sbb tu tok rase pape...kami susoh nok jupe..." Tersenyum saya.


Ukhuwwah itu indah jika berlandaskan akidah yang sama, matlamat yang jelas dan saling berkongsi cerita suka dan duka.. Saya sayang sahabat-sahabat saya kerana Allah. Saya tidak mahu kehilangan mereka, saya bertuah mengenali mereka dan sempat membesar bersama-sama mereka di alam sekolah dahulu. 9th Generation of Matri the Best !!


4 gadis berjalan di tepi sawah....( baca ikut rentak berlagu )..

 Rumah Kenduri ketiga.

Selesai bergambar di rumah Ilani, kami terus bergerak ke Penang atau lebih tepat lagi Kg. Tanjung Putus. Saya sangat beruntung kerana dapat menumpang sahabat baikku Nabilah yang sudi menjadi pemandu dan terima kasih kepada adiknya Syamil kerana sudi meminjamkan keretanya. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam. Oleh sebab kami tidak pasti jalan menuju ke rumah mertua sahabatku Fatimah ini, kami telah berkonvoi dengan ibu kepada sahabat baikku (Sofiyah yang berada di Australia) iaitu Pn.Roselina atau lebih mesra dengan panggilan Mak Cik Na.



Ketibaan kami pada jam 5pm disambut oleh pasanga pengantin iaitu Dr. Fatimah Zanirah dan suaminya Luqman Hakim Azizan. Emmm,..maklumlah tetamu pun dah berkurangan kan? Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk hadir ke majlis ini kerana sudah lama saya tidak bertemu dengan Fatimah Zanirah. Fatimah juga merupakan antara sahabat baik yang layak dikatakan 'soul-mate' saya kerana kami kerap berkongsi rasa dan tidak lokek berkongsi cerita. Andai diimbas kembali sejarah persahabatan saya dengan dia, memang penuh dengan duka dan luka. Zaman sekolah boleh dikatakan hanya sesekali 'suka' datang memujuk rasa 'duka'...tetapi itulah sebenarnya yang menjadi faktor pengerat ukhuwwah kami selepas melangkah keluar daripada alam persekolahan.

Terima Kasih Fatimah atas segala nasihat, teguran, bimbingan, perkongsian rasa dan bicara anti yang selalu memberikan keinsafan buat diri ana. Ana mendoakan kebahagiaan baitul muslim anti...

  Bersama Mak Cik Na dan Amni Farihah

 Sempat juga merakam kenangan bersama Fatimah dan Luqman di hadapan rumah Pak Cik Azizan.

 Amni - Fatimah - Makcik Na


Sekali lagi rezeki kami berjumpa dengan Cikgu Norizan Mat, guru kesayangan ramai di Matri. Alhamdulillah hari ini sahaja kami bertemu dengan ramai sahabat,kenalan dan taulan. Senyum tidak henti-henti menghiasi wajah. Semoga pertemuan-pertemuan itu dirahmai oleh Nya.

Kepada semua pengantin-pengantin baru, semoga Selamat semuanya. Jangan lupa doakan kami yang masih single mingle nih..(kan syah?) hehe...

Terima Kasih tidak terhingga kepada :-

Pn.Nabilah kerana sudi memandu pergi dan balik,
En. Munaim kerana memberi izin Cik Nab pergi bersama kami,
Sumayyah, kerana menjadi pendengar setia, peneman bicara sepanjang perjalanan..
Syahmerra kerana banyak menyalurkan maklumat berguna (senyum sket)
Dr. Fizah kerana menghidupkan suasana.
Kepada semua yang tak tersebut namanya, kalian tetap di hati saya.

Barakallahulakuma.....

ps : kepada warga AQZAR ( matri generasi ke-9, 1999-2003)  yang membaca, saya mewajibkan anda untuk meninggalkan jejak,..boleh tak? kalau sayang nawal tlg lah berbuat demikian...(",) ...hihi

Thursday, June 2, 2011

P.E.M.I.K.I.R siri 2

Ada apa dengan PEMIKIR?
Oleh : Nawal_sensei

Wah. Sebulan berlalu tanpa coretan. Kesibukan di sekolah dan kekangan tanpa talian internet. Cukupkah alasan itu diberikan untuk mereka yang menanti saya mencoret sesuatu. (ada ke?hihi). Kini, setelah seharian mencari 'rasa' untuk menulis, saya kembali mencoret rasa hati saya untuk anda. (sapa terasa,senyumlah ye)....

>>Apa itu PEMIKIR? <<
Logo PEMIKIR 2
PEMIKIR merupakan singkatan bagi Program Usrah Minda Kreatif yang menjadi platform bagi para fasilitator KeARAH (Kelab Remaja Haluan) untuk mengeratkan Ukhuwwah antara para peserta kem-kem atau program-program anjuran KeARAH disamping berfungsi sebagai medium untuk mendidik hati-hati remaja Perlis yang berhajatkan kepada Ilmu dan Islam. Program ini sangat bersesuaian dengan motto KeARAH Perlis sendiri iaitu "Kehadapan, Aktif dan Responsif".

>> Syukur  <<

Alhamdulillah. Berkat kesungguhan pemuda pemudi KeARAH Perlis, PEMIKIR telah mengorak langkahnya menjejak PEMIKIR siri 2.  Saya tidak berkesempatan untuk mengikuti PEMIKIR siri 1 kerana tarikhnya yang tidak mengizinkan saya untuk bersama mereka. Namun, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana saya berkesempatan bersama para fasilitator untuk PEMIKIR siri 2 ini. 

Justeru saya hadir ke Chalet Serbaguna Jabatan Perhutanan Bukit Ayer pada 1 Jun 2011 dengan pelbagai misi. Antaranya adalah untuk mengutip mutiara ilmu sebanyak mungkin, menyerap kekuatan dan semangat pemuda pemudi yang bekerja untuk Islam ini, bertemu dengan adik-adik fasilitator dan peserta, menilai komitmen dan prestasi mereka serta pelbagai misi sampingan. Lantas saya coretkan disini apa yang saya lihat dan rasa sepanjang sehari bersama mereka di PEMIKIR 2 yang bertemakan "Memperkasakan Kecemerlangan Ilmu".

>> Kreatif & Inovatif <<


    Sessi Perasmian Pembukaan PEMIKIR disajikan dengan gimik perasmian yang layak saya sebutkan sebagai H.E.B.A.T. Kerana apa? Kerana para pemikir gimik ini berjaya menarik perhatian bukan sahaja adik-adik peserta malah setiap lapisan umur yang berada di sini. Keunikan dan kekreatifan mereka telah menghasilkan  video dan gimik yang 'gempak' walaupun hanya  bermain dengan kamera biasa juga perisian biasa. Di situlah terletaknya kehandalan mereka. Kredit untuk Ahmad Nabil, Qawiem Khairi dan juga Salim Wahab.

     Keterujaan itu benar-benar di rasakan dan elemen ini menjadi antara  pemikat PEMIKIR 2 kali ini yang kalian gambarkan sebagai singkat tetapi memikat dalam tulisan-tulisan kalian di Lautan Rabbani, Memori Tasbih juga Mencari dan Terus Mencari....TAHNIAH dan SYABAS kepada kalian yang tidak jemu berusaha mencari jalan untuk me'letup'kan majlis perasmian dengan gimik yang menarik. Teruslah berinovatif dan kreatif dalam mengeluarkan karya-karya dakwah untuk Islam.

>> Padat & Berkesan<<

Forum bertajuk " Memartabatkan Islam melalui Kecemerlangan Ilmu " yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam sangat memberi kesan kepada hati. Terasa segar. Minda terasa dicuci dengan clorox. Ahli panelnya terdiri daripada Abu dan Ummu Zahra' iaitu Ustaz Muhtad dan isterinya Ustazah Faezah. ( mereka merupakan super senior saya semasa di Matri dahulu, saya tingkatan 1, mereka Tingkatan 6). Moderator forum ini pula bijak mengendalikan situasi dan menjadikan forum bertambah menarik. Siapakah Moderator itu? Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan...Qawiem Khairi.


   Forum singkat yang padat ini sangat memberikan kesan kepada saya sebagai pendidik. Sebagai seorang yang bergelar guru, kadang-kadang juga boleh terkabur matlamat asal dek simbahan jadual padat yang menekan juga rutin - rutin yang kalut serta agenda-agenda yang langsung tidak mengembalikan diri ini kepada matlamat utama iaitu Redha Allah. Sekiranya kita berpegang kepada ultimate goals, sudah tentu perkara-perkara lain tidak akan menjadi batu penghalang kepada perjuangan kita bukan? 

Alhamdulillah Allah memilih saya untuk mendengar forum ini. Nak ciplak ayat Pelaut Rabbani untuk situasi ini..."Akhirnya pujian menjadi zikir....".

>> Memikat Hati <<

   Antara yang memikat hati peserta tentulah Komandan Kem iaitu Abang S kita iaitu Salim Wahab ( utk sekolah menengah ) dan juga Syahril ( utk sekolah rendah ). Kebijaksanaan memilih kata-kata, lontaran nasihat, cerita-cerita, juga aktiviti yang dijalankan menjadi penarik untuk adik-adik terus bersemangat mengikuti PEMIKIR 2 kali ini. Tidak kurang juga fasilitator lelaki dan perempuan yang manis melontar senyum buat peserta, setia membantu mereka juga beraktiviti bersama mereka menambahkan rasa terpikat peserta kepada program ini. Tahniah buat anda semua.

   Pemikat lain tentulah makanannya yang sangat sedap walaupun ringkas. Pada mulanya bolehla Cik Kak AJK Makanan  iaitu tidak lain yang cekap lagi cekal 'Kak Ujah' kesayangan ramai atau nama sebenarnya Mahfuzah  sembunyikan siapakan caterernya....Tetapi di akhirnya persoalan kepada nasi dan ayam masak kicap serta sayur yang enak itu terjawab juga. Mak Cik Fizah rupanya yang masak. Patutlaa sedap benar. (",) 

  Pemikat sampingan lain ialah button badge PEMIKIR yang menarik. Lama saya perhatikan betapa 'excited'nya wajah polos adik-adik peserta bila melihat mereka diberikan button badge selepas mendaftar. Maka, elemen ini wajar dikekalkan atau diberi penambahbaikan untuk program akan datang.

>> Ending Story <<

   Bagi saya, setiap langkah atau tindakan yang dilaksanakan dengan perancangan yang rapi dan berjalan dengan baik atas keizinan Allah semuanya menjadi penyumbang kepada terpikatnya hati-hati manusia ini kepada program-program seumpama PEMIKIR ini. Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat saya lontarkan lagi kepada kamu semua melainkan syabas dan teruskan usaha-usaha mulia ini walau di mana sahaja kita berada.

  Sentiasa harus dipesankan kepada diri, walau dimana pun kita berada, walau siapa pun kita, walau sesibuk mana pun kita, tugas hakiki ini harus berjalan dalam kehidupan kita cuma cara dan wasilahnya sahaja yang berbeza. Kerana apa? Kerana kita berkongsi matlamat yang sama, ultimate goals yang sama iaitu inginkan syurga Allah dan untuk kesana kita sangat perlukan Redha Allah..

Akhir kata, macam-macam ada dengan PEMIKIR 2 ini.

Semoga PEMIKIR 2 diredhaiNya.


Adik-adik peserta Putera bersama Fasilitator
Adik-adik peserta Puteri bersama fasilitator...
p/s : Terima Kasih kepada adik-adik yang banyak berkongsi dan mendidik diriku....Saya beruntung mengenali kalian semua,,,

Saturday, April 9, 2011

Berusaha !!

Berusaha siapkan teks syarahan pelajarku.
Oleh : Nawal bt Abd Kadir


Di sini ingin saya kongsikan hasil usaha saya sepanjang hari ini dalam kegelutan melayari hari persekolahan juga dengan persediaan  menghadapi temuduga SPP, saya paksakan diri siapkan teks tidak seumpamanya ini. Mohon pandangan dan kritikan daripada kalian. Untuk pengetahuan, teks ini akan digunakan untuk Pertandingan Syarahan sempena MTQ Peringkat Negeri Selangor oleh pelajar saya iaitu Dinnie Asyraf. (jika teks ini terpilih)




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima Kasih pengerusi majlis, Yang Berusaha para hakim yang arif lagi bijaksana, para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Bersilat lidah untuk mencari yang hak. Demi meninggalkan yang bathil, menghanyutkan yang lara dan menegakkan panji perjuangan serta menerbitkan keinsafan. Insya Allah, pada pagi yang penuh kemuliaan hari ini akan saya sampaikan sebuah syarahan yang bertajuk

’ PENGHAYATAN SIRAH RASULULLAH ASAS MASYARAKAT SEJAHTERA ’
Tak kenal maka tak cinta. Itulah bidalan masyarakat Melayu dalam mengungkap kata mendefinisikan sesuatu. Sebelum saya meneruskan kata izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya pada hari ini.
Penghayatan membawa maksud menjiwai atau mengambil pengajaran .
Sirah pula bermaksud perjalanan , iaitu catatan perjalanan suatu sejarah. Manakala
"Rasul” merujuk kepada lelaki pilihan Allah  yang dikurniakan wahyu untuk dirinya & disebarkan kepada orang lain.
Asas masyarakat sejahtera pula membawa maksud asas kebahagiaan seluruh ummah.
Allah juga telah berfirman dalam surah ali-Imran :
Mahukah kita menjadi seperti suatu umat yang diangkat sebagai umat yang terbaik dalam kalangan manusia?  Sudah tentu kita mahu menjadi seperti Para Sahabat Rasulullah yang telah dipuji oleh Allah di dalam al-Quran. Justeru langkah pertama yang harus dilakukan ialah dengan mendalami, menghayati serta menelusuri sirah kehidupan dan perjuangan seorang insan agung bernama Muhammad, Khatimul Anbiya.

Hadirin yang dirahmati sekalian,
Marilah kita menyelusuri perjalanan sirah Rasulullah dalam melahirkan masyarakat sejahtera dengan menerapkan Konsep Sirah dalam  6B.
6B ini merangkumi Sirah dalam Berkepimpinan, Sirah dalam Berdakwah, Sirah dalam Berekonomi, Sirah dalam Bermasyarakat, Sirah dalam Beribadah dan akhir sekali sirah dalam Berkeluarga. Lantas, ayuhlah kita meniliti sirah Rasulullah sebagai panduan kearah menjadi masyarakat yang sejahtera.
            Kegemilangan sesuatu ummah  pastinya bermula daripada pengemudinya iaitu pemimpin yang berkebolehan,berkaliber dan mantap. Lihatlah bagaimana Rasulullah berjaya membina perpaduan dalam masyarakat tatkala kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan atas landasan akidah Islamiyah. Rasulullah telah menjadikan persaudaraan yang termeterai itu berfungsi bukan hanya sekadar lafaz yang kosong,sekadar ucapan lisan yang tidak bertulang, malah turut berkait dengan tuntutan darah dan harta. Perasaan mengutamakan sahabat, tolong menolong dan bertoleransi  atas nama Ukhuwwah telah melahirkan umat yang unggul lagi unik. Metod yang digunakan oleh Rasulullah ini  ternyata berjaya apabila  Abdul Rahman b. Auf yang telah dipersaudarakan dengan Saad b.Rabi’ telah menawarkan harta,isteri dan keluarganya kepada Saad dan Allah telah memuji kaum muhajirin dan ansar ini dalam surah at-taubah :100

Ikatan silaturrahim dan perpaduan yang diajarkan oleh Rasulullah adalah berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kepada  Allah swt dan sewajarnya kita mencontohi Rasulullah dalam aspek Kepimpinan kearah  membina masyarakat yang harmoni.

Hadirin yang tekun mendengar bicara saya sekalian,
Pendidikan adalah antara unsur yang amat penting dalam mentamadunkan manusia. Justeru marilah kita melihat sirah Rasulullah dalam Berdakwah. Dakwah merupakan usaha untuk menggerakkan manusia kea rah kebaikan dan bukan suatu kerja yang mudah.  Memetik kata-kata Ibn Qayyim al-Jauzi, orang yang berdakwah ialah mereka yang mendidik manusia dengan  mata pena, kepetahan lidah mahupun ketajaman akal  menuju kebaikan. Ingatkah kalian bagaimana Rasulullah berdakwah kepada  masyarakat yang hanyut dalam arus jahiliyah? Hikmahnya Rasulullah saat menyampaikan pengajaran tentang kebenaran, Bijaksananya Rasulullah tika berdebat dengan cara yang baik , mulianya Rasulullah apabila kejahatan dibalas dengan kebaikan dan kehebatan dakwah Rasulullah terletak pada Qudwahnya yang sentiasa bercerminkan al-Quran. Allah berfirman dalam surah an-Nahl : 125

Jelaslah bahawa kita harus mencontohi Rasulullah dalam mendidik masyarakat berilmu dan prihatin demi kesejahteraan ummah.

Hadirin sekalian,
Berfikirlah kita sejenak tentang keadaan ekonomi umat Islam hari ini. Apakah kita benar-benar mengikut sunnah Rasulullah? Jika kita  imbas kembali keadaan ekonomi masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam, penindasan,kezaliman dan riba berlaku dimana-mana dek ekonomi yang dieksploitasi oleh sistem ekonomi kapitalis. Rasulullah telah berjaya mengubah situasi ini dengan membangunkan sistem ekonomi berteraskan al-Quran. Sebuah pasar bernama ‘Shuqul Ansar’ dibangunkan  dengan sistem tanpa penindasan, riba-sifar serta berniaga dengan jujur bertepatan dengan perintah Allah dalam surah al-Baqarah : 275

Justeru perpaduan dan ketaatan umat Islam pada masa itu kepada Allah dan Rasul berhasil membangunkan ekonomi islam dengan cemerlang. Seharusnya kita mengambil teladan dan mengikuti strategi yang telah dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi.

Muslimin muslimat rahimahullah sekalian,
Seorang penyair Mesir pernah berkata “Kemajuan sesuatu bangsa sangat ditentukan oleh kualiti akhlak masyarakatnya”. Oleh itu, marilah kita merenung sifat dan peribadi Rasulullah dalam bermasyarakat sehingga berjaya memperbaiki krisis umat lantas membentuk suatu masyarakat yang berdiri teguh dalam satu barisan mempertahankan kedaulatan negara Islam.
Firman Allah swt :

(As-Shaff :4)
Subhanallah. Bertuturnya Rasulullah tanpa menyinggung hati sesiapa, tingkahnya tidak pernah menghampakan orang lain, janjinya sentiasa ditepati dan kasihnya dirasai segenap hati yang mendampinginya. Kekuatan silaturrahim dalam masyarakat juga terjalin dengan penganjuran solat berjemaah di masjid yang turut berfungsi sebagai sebuah institusi masyarakat. Demi merealisasikan hasrat masyarakat sejahtera, sewajarnya perilaku Rasulullah diambil sebagai teladan.

Hadirin sekalian,
Allah telah berfirman dalam surah al-Muzzamil : 6

Ketika dunia sepi di malam hari, saat manusia tidur diulit mimpi, seorang Rasul berdiri menghadap illahi mengulit kasih dan cinta daripada Pencipta dan beribadah penuh istiqamah semata-mata untuk meraih redha Allah. Rasulullah, seorang Rasul yang sangat kita kasihi, Nabi yang sangat kita cintai telah menunjukkan standart pengibadatan yang tinggi kualitinya. Solatnya sentiasa di awal waktu, solat dhuha tidak pernah diabaikan, malah Qiyamullail mencapai tahap wajib baginya. Justeru andai seorang Rasul sentiasa mendapatkan kekuatan jiwa dengan melakukan ibadahnya yang sempurna, bagaimanakah kita? Harus kita ingat, pembangunan masyarakat yang sejahtera tidak akan dicapai andai kita tidak meneladeni Rasulullah dalam amalan beribadah.

Hadirin yang setia mendengar bicara saya sekalian,
Keluarga Bahagia bersulamkan mawaddah dan rahmat. Setiap insan pasti mengimpikan sebuah keluarga sebegini,bukan? Dalam menongkah realiti yang memaparkan kepincangan dalam insititusi kekeluargaan, kita seharusnya kembali meniti sirah Rasulullah dalam berkeluarga. Sebagai manusia biasa, Rasulullah pernah menjadi seorang anak, suami, bapa, mertua dan datuk. Baginda telah menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi tanggungjawab yang boleh diikuti oleh segenap lapisan masyarakat. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab : 21,

Rasulullah merupakan contoh ketua keluarga yang berjaya mendidik para isteri,  anak-anak serta cucu agar menjadi manusia yang berguna untuk agama. Tiada manusia lain sehebat insan ini dalam mengendalikan keluarga yang diredhai Allah. Intihanya, kita harus menerapkan kemahiran generik Rasulullah ini dalam kehidupan kita agar keluarga yang sejahtera dapat disemai dalam masyarakat kita pada hari ini.

Hati-hati meniti  titi,
Takut nanti terjatuh pula,
Sirah baginda harus dicontohi,
Agar masyarakat menjadi sejahtera.

Harap tarbiyah membina jati diri, Yang benar bersama kita imani, Mohon diri mengundur diri.

Mohon anda yang membaca entri ini doakan saya diberi kekuatan untuk menyiapkan 2 lagi teks.
Mohon doakan saya dipermudahkan dalam interview pada hari Isnin 11 April 2011 ini.
wallahualam.

Monday, March 28, 2011

Syarahan Peringkat Daerah (MTQ2011)

Pelajarku sedang bertanding.
Oleh : Nawal sensei

Pelajar ini namanya Dinnie Asyraf. Orangnya rajin, bersungguh-sungguh, suka membaca, berbakat tetapi pada masa yang sama  sangat baaaaaanyak cakap. Saya tujukan post ini khas untuk dia dengan harapan anda yang membaca turut sama mendoakan dia. Wallahualam.

Sedikit gambar pelajar-pelajar tingkatan 4 ku.

Dinnie sedang melakukan perbentangan bab Wajib Haji
Jelas peneranganya.
Tidak suka gambarnya diambil,tp sbb tengah bentang,
kena lah profesionalkan,dini?
Gadis 4 Akaun (Prasukan hari kedua)
Nah,kunci....selepas meletakkan kertas mahjungnya dalam kereta..
Putera 4 akaun yg 'sangat baik'..
Semasa saya menulis artikel ini, Dinnie sudah pun mengetahui yang dia telah menjadi JOHAN syarahan peringkat Daerah Hulu Selangor dan akan mewakili daerah ke negeri pula. Mudah-mudahan cita-cita pelajar ini tercapai. 

Wallahualam.

Wednesday, March 23, 2011

Teks Syarahan MTQ (Dinnie Ashraf)

Saya kongsikan teks pelajar saya yang sedang berentap untuk mendapat tempat pertama bagi Pertandingan Syarahan MTQ 2011. Semoga Allah memberikan kemenangan kepada Dinnie Asyraf seperti yang dihajatkanya. ameen.


Bismillahirrahmanirrahim.
Terima Kasih pengerusi majlis, Yang Berusaha para hakim yang arif lagi bijaksana, para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bersilat lidah untuk mencari yang hak. Demi meninggalkan yang bathil, menghanyutkan yang lara dan menegakkan panji perjuangan serta menerbitkan keinsafan. Insya Allah, pada pagi yang penuh kemuliaan hari ini akan saya sampaikan sebuah syarakah bertajuk
IBADAH BERKUALITI TUNGGAK MUSLIM SEJATI
Namun, sebelum itu ayuh kita dengar definisinya dahulu.
Ibadah : tunduk,patuh kepada Allah.
Berkualiti : bermutu
Tunggak : asset
Muslim sejati : menyerah diri kepada Allah, patuh dan taat serta membenarkan perkara yang dibawa oleh Rasul.
Hadirin sekalian,
Marilah kita menyelusuri apakah yang dikatakan oleh ibadah yang khusyuk melahirkan hamba yang bertaqwa dengan menerapkan konsep yang digelar K-A-M-U-S iaitu KAMUS. Kamus ini merupakan rangkaian abjad yang bermaksud :
K- Khusyuk
A- Amalan yang benar
M- mahu melakukan
U- usaha yang bersungguh-sungguh
S- sayang akan agama Islam

Andai konsep ini diterapkan dalam sanubari hadirin, Insya Allah  ibadah yang dilakukan tidak menjadi sia-sia. Firman Allah :-

(Al-Bayyinah : 5)
Ibadah berkualiti ini bukanya memerlukan belanja yang besar, dan tidak perlu melabur berjuta-juta. Cukuplah hanya bersuluhkan kekhusyukan, keikhlasan dan ibadah yang dilakukan sejajar dengan syarat-syarat sahnya. Lihatlah betapa indahnya agama Islam ini.

Hadirin sekalian,
Peningkatan ibadah berbeza dan beraneka rupa sesuai dengan segala persiapan, perangai dan kecenderungan manusia itu sendiri. Sebagai mana dalam firmanNya :

(al-Lail :4)
Beristiqamahlah dalam beribadah. Hayati dengan mendalam akan ibadah yang dilakukan. Ibadah ini juga terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum. Ibadah khusus ini ialah ibadah wajib yang merangkumi solat fardhu dan puasa manakala ibadah umum pula merangkumi ibadah sunat melibatkan aktiviti yang kita lakukan untuk diri kita dengan sesama makhluk. Maka jelas terbukti kita sebagai manusia tidak lari daripada melakukan ibadah. Namun, adakah ibadah yang kita lakukan benar-benar berkualiti?
Hadirin sekalian,
Indahnya muslim sejati bersulamkan ibadah
Indahnya ibadah dihayati dengan kualitinya
Begitulah kiasan mauduk yang dapat digambarkan akan ibadah ini. Lihatlah, bagaimana nabi yang kita sayang, yang sangat kita cintai, iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang hebat sahsiahnya, tinggi budi pekertinya dan amat disanjung tinggi kerana baginda merupakan muslim sejati kerana ibadahnya benar-benar berkualiti.

Firman Allah :

(az-Zariyat : 56)
Sejarah juga telah membuktikan muslim yang berpegang teguh akan ibadah yang sempurna merupakan orang yang mempunyai wawasan yang jauh dan mampu mencapainya.
Hadirin sekalian,
Masalah akhlak muslim kita semakin menjadi-jadi, mereka bangga dengan imej buruk mereka. Mereka tidak malu minum arak, tidak malu mengamalkan  seks bebas malah tampil dengan imej samseng, kaki pukul. Isu mat rempit juga berleluasa. Pembuangan bayi juga semakin menjadi-jadi. Mengapa perkara ini terjadi? Sudah tentu jawapannya ialah kurangnya kesempurnaan dalam ibadah. Ingatlah bahawa ibadah yang berkualiti dan sempurna dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat. Firman Allah dalam surah al-Ankabut : 45 :

“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar”
Justeru, ayuhlah kita sempurnakan solat agar kemungkaran tidak lagi bernaung di hati.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Paradigma masyarakat hari ini semakin hebat seiring arus semasa yang semakin maju dan moden. Namun, umat Islam masih dengan ibadahnya yang umpama bermain dengan air. Mengerjakan ibadah apabila dipaksa dan terpaksa. Lantas, bagaimana ibadah yang sempurna dapat dilaksanakan terutamanya dalam bab solat kerana Allah telah berfirman :

(al-Ma’un :4-5)
Maka, marilah kita menjadi muslim yang jelas matlamatnya, khusyuk solatnya, dan beribadah dengan hati yang terbuka mencapai tahap sempurna. Sudah tentu kita tidak mahu mencontohi kaum-kaum terdahulu yang dilaknat Allah, bukan? Na’uzubillahi minzalik…
Bersamalah kita  mengorak langkah dengan mendirikan solat yang betul kerana solat itu tiang agama, tanpanya runtuhlah segala.
Hadirin sekalian,
Marilah kita bergabung tenaga bagi memastikan permasalahan ini bisa diatasi dengan menerangkan pendidikan agama sedari kecil lagi. Yakinlah bahawa pendedahan awal ini mampu membentuk kesedaran diri untuk beribadah dengan lebih sempurna. Sabda Rasulullah :

(riwayat abu daud)
Selain itu, bertawaduklah agar wujudnya nilai ihsan dalam diri dalam pelaksanaan ibadah. Akhir sekali, jadikan para sahabat baginda sebagai idola seperti Saidina Ali, Bilal b Rabah dan beberapa nama agung lain kerana mereka merupakan golongan sejati kerana ibadahnya berkualiti.
Hadirin sekalian,
Konklusinya, sentiasalah menjaga hubungan kita dengan Allah. Beribadahlah dengan lebih keyakinan agar diterima dan diredhainya. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Bertawakkallah agar ibadah yang dilakukan berkualiti supaya menjadi muslim sejati.
Masa telah mencemburui hubunga kita bersama. Sebelum mengundur diri, serangkap pantun saya hadiahkan :
Pagi subuh ayam berkokok,
Bangun Mukmin menghadap ilahi,
Ibadah berkualiti harus dipupuk,
Agar menjadi muslim sejati.

Harap tarbiyah membina jati diri, Yang benar bersama kita imani, Mohon diri mengundur diri.