Assalamualaikum wrht.
Buat kalian yang sentiasa sudi membaca tulisan sepiku di sini,....
Ku layangkan butir bicaraku ini buat kalian yang ku kasihi di luar sana dengan iringan doa moga kita semua sentiasa di dalam perlindungan dan rahmat Allah swt. Saat kalian menatap huruf-huruf yang terlakar, sedarlah bahawa kita sekarang sedang meniti hari-hari di dalam bulan yang sangat dicintai oleh Rasulullah, bulan yang penuh dengan rasa cinta, bulan yang dipenuhi dengan zikrullah, bulan yang di dalamnya terkandung rahmah, keampunan dan janji untuk dibebaskan daripada azab api neraka.
Janji Allah itu pasti. Justeru apakah kita mahu tergolong dalam golongan mereka yang mensia-siakan janji Allah? Sudah tentu tidak bukan? Sudah sangat besar kasih-sayang Allah pada kita dengan izin-Nya umur kita dipanjangkan sehingga sempat melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan pada tahun ini. Sungguh beruntunglah kita kerana dipilih oleh Allah untuk bertemu dengan bulan ini. Saya pasti begitu ramai sahabat-sahabat, kenalan, guru dan sesiapa yang dekat dengan kalian telah dijemput pergi oleh Allah sebelum sempat melangkah ke Ramadhan yang penuh barakah ini.
Maka, haruslah kita yang diberi kesempatan oleh Allah ini untuk sama-sama memastikan Ramadhan kita pada kali ini adalah lebih baik daripada Ramadhan yang lepas. Jika tidak, sesungguhnya kita termasuk dalam kalangan mereka yang rugi.
Telah diberitakan kepada kita akan kelebihan bulan Ramadhan ini lewat surat cinta Illahi a.k.a al-Qur'an juga hadith-hadith....
“Telah datang kepada kamu bulan yang diberkati Allah. Telah difardhukan ke atas kamu berpuasa. Dalam bulan ini dibuka pintu-pintu SYURGA, dan ditutup pintu-pintu NERAKA, dan SYAITAN-SYAITAN dibelenggu. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada SERIBU BULAN, sesiapa yang diharamkan KEBAIKAN ke atasnya (dalam bulan ini), maka sesungguhnya dia tidak akan mendapat apa-apa kebaikan (di bulan lain).”
(hadis riwayat imam Ahmad, an-Nasai’e dan al-Baihaqi)
Saya menyeru diri saya dan anda untuk menyusun strategi yang tersendiri bagaimana mahu memenuhi setiap ruang yang ada dalam jadual kita dengan amal yang dapat menambahkan kebaikan dalam 'buku' kita. Kita haruslah berazam untuk menambahkan saham akhirat kita di dalam bulan ini. Kita harus merebut segenap tawaran yang Allah berikan kepada kita. Niat kita haruslah sentiasa betul iaitu beramal ibadah untuk mendapat redha Allah.
Saya melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan kali ini dengan perasaan berbaur-baur. Jika tahun-tahun sebelum ini persekitaran saya sentiasa membawa saya untuk mengingati Allah, menyedarkan saya tentang kepentingan Ramadhan, saya sentiasa diajak untuk berbuat kebaikan,....sekarang saya harus berusaha sendiri mencari peringatan untuk menguatkan diri dan berkongsi dengan pelajar saya. Saya harus berusaha mencipta bi'ah yang menghargai Ramadhan.
Mengapa? Kerana realiti masyarakat hari ini sangat menyedihkan. Masyarakat umpama tanah yang gersang dan kontang daripada peringatan yang dapat menyuburkan jiwa. Ramadhan bagai tiada erti selain daripada menahan lapar dan dahaga. Ramadhan pengisianya mercun dan bunga api, bazar Ramadhan dan persiapan Hari Raya. Semua ini kerana persekitaran yang sangat tidak mendidik hati juga kekurangan ilmu pengetahuan.
Maka, tugas saya di sini sangat berat. Saya mencuba untuk berkongsi apa yang saya tahu dengan pelajar saya. Strategi pertama saya ialah memberikan kultum (kuliah tujuh minit) berkenaan dengan Ramadhan sebelum saya mula mengajar. Saya juga mengajak pelajar saya sama-sama berdoa, membaca al-Qur'an, bertadarus dan berlatih tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik ( yang selalunya bermain di bibir mereka). Apa yang diseru kepada pelajar sebenarnya itulah yang sering diseru di dalam hatiku ini kerana....
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan kedustaan itu maka Allah tidak merasa perlu dia meninggalkan makan minumnya”
Riwayat Nasa’I dan Ibnu Majjah
Strategi seterusnya ialah saya harus mengisi ruang kosong pada sela waktu P&P dan tugas sekolah lain dengan membaca al-Quran. Azam saya ialah untuk menghabiskan 30 juzu' al-Quran dan jika mampu mahu mengulanginya lagi. Maka, sedikit sebanyak dengan membaca al-Qur'an kita akan kurang berbicara perkara-perkara yang tidak perlu.
Seterusnya, saya berazam untuk menjadi insan yang lebih baik. Saya ingin memperbaiki segala sifat buruk saya. Setiap tahun saya berazam benda yang sama, dan saya harap tahun ini saya dapat mengikis segala kelemahan saya sedikit demi sedikit dan saya dapat istiqamah untuk bulan -bulan mendatang. Anda bagaimana? Saya pasti anda juga punya azam yang tersendiri. Jomlaa sama-sama kita kuatkan diri dan hati untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa memperbaiki diri sendiri ke arah kebaikan.
Pembaca yang dikasihi,
Pada bulan Ramadhan ini ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar. Mahukah kita melepaskan peluang merebut bulan yang lebih baik daripada seribu bulan ini? Ya. Kita semua berhajat untuk bangun beribadah pada malam tersebut,kan? Hah, tidak semudah kita berbicara untuk menjadi insan pilihan Allah untuk mendapat kemuliaan pada malam ini. Justeru sebagai hamba Allah yang lemah dan sentiasa mengharap, kita harus berusaha setiap malam untuk bangun dan melakukan sebanyak mana amalan, menyusun jari berdoa penuh harap agar Allah memilih kita...
Kalau mahu diceritakan impian Ramadhan masing-masing sudah tentu tidak cukup ruang untuk mengisinya. Yang pasti kita semua mengimpikan untuk menjadi hamba Allah yang diterima amal ibadahnya. Kita semua juga harus memanfaatkan bulan ini sebaiknya untuk mendapat rahmat serta kasih-sayang Allah, mendapat keampunan Allah juga dijauhkan daripada azab api neraka.
Diriwayatkan dari ‘Aisyah r.ha oleh Ahmad, Ibnu Majjah dan Tirmidzi, katanya:
“Saya bertanya:” Ya Rasullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya bertemu malam alqadar itu, apakah yang harus saya ucapkan waktu itu? Maka ujar Nabi, perbanyakkanlah membaca doa ini: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini”
اللّهم انّك عفوّكريم تحبّ العفوا فاعفعنّي"
Sesunggunya sebenar-benar kejayaan kita sebagai hamba Allah ialah bebas daripada azab api neraka. Oleh itu, marilah diri, marilah hati,...berusaha sesungguh hati bertaubat atas dosa yang menggunung, berdoa moga Allah kasih pada diri kita, berdoa moga Allah menerima amalan kita, berdoa mudah-mudahan kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadhan ini akan terus kita istiqamah sehingga akhir hayat kita kerana kita tidak mahu menjadi hamba Allah yang Ramadhani tetapi impian kita ialah untuk menjadi hamba Allah yang Rabbani...
Moga Allah kasih kita.
Moga Allah redha kita.
Minta kalian doakan saya di sini juga.
Ramadhan Kareem !
Yang Mengharapkan Doa Kalian,
Nawal_Sensei
3 Ramadhan 1433H
Anda boleh terus mendapat input dan peringatan yang sangat berguna di sini.
Mudah-mudahan bermanfaat dan terus bermotivasi untuk meningkatkan amal.
Anda boleh terus mendapat input dan peringatan yang sangat berguna di sini.
Mudah-mudahan bermanfaat dan terus bermotivasi untuk meningkatkan amal.
1 comment:
termotivasi baca entry ni..
semoga kita berjaya dan terus brjaya!!
chaiyok k.nawal..
terima kasih atas perkongsian..
Post a Comment