Let's share yur kind words here... (" _ ")

Monday, September 5, 2011

Kemuncup Eid Fitr

Kisah Kemuncup
Oleh : Nawal_Kadir


Hari Raya Eid Fitri yang kedua. Kami sekeluarga menziarahi keluarga Mak Long di Taman Intan Sg.Petani Kedah. Lewat petang hari tersebut aku membawa adik bongsuku ke taman permainan yang terletak di padang berhadapan dengan rumah Mak Long.  Menurut hajat adikku yang tidak kenal erti diam, aku melangkah merentas padang bersamanya sambil menghirup angin petang yang bertiup damai.

Taman Permainan itu kecil cuma. Tiada yang menarik padaku namun itulah yang mengamit-gamit hati si kecil untuk mendekatinya. Dipaut tanganku ketika melangkah longkang. Indahnya saat itu. 

 " Adik berani langkah longkang sendiri,...cepat laa kak" katanya bersahaja.

 Inilah dia si kecil buah hati pengarang jantungku. Namanya Abdullah Yaasir bin Abd Kadir. Si kecil ini sudah melihat dunia selama 5 tahun. Alhamdulillah dia dikurniakan kesihatan badan dan kecerdasan akal yang sangat baik. Syukur padaMu Ya Allah. ( teringat segala kerisauanku pada tahun 2005 yg lalu). Kanak-kanak ini memang sangat aktif dan tidak berhenti menjana idea dalam setiap tindakanya. Ada sahaja yang menarik minat dan perhatianya. Mudah-mudahan dia membesar menjadi seorang pemuda mukmin yang soleh dan musleh.


Ya. Tidak lama kemudian lagi seorang adik lelakiku datang menyusul. Dia ialah Muhammad Mu'az b. Abd Kadir yang merupakan adik lelakiku yang pertama. Pernah kuceritakan perihal dirinya di sini. Klik utk baca.


" Banyak betoi temucut kat sini " omelnya.
" A'ah, habis seluar adik kena...." sambut si kecil.
" Alah, sat g kita cabut la...adik main laa dulu" ujarku.
" Tak mau. Temucup ni tajam. Sakit kaki adik kena cucuk" bantahnya.

Pokok Kemuncup. Nama saintifiknya Chrysopogon Aciculatus atau nama tempatanya Kemuncup Cacak, sangat sinonim dengan kehidupan kita di Malaysia ini. Pokok ini tumbuhnya di mana-mana sahaja, di padang rumput, tepi longkang, tepi jalan, dan mana-mana kawasan bertanah. Sesekali apabila pakaian kita disapa kemuncup ini, pasti terasa rimas dan rungutan pasti singgah di bibir kita. Entah mengapa pokok kemuncup ini kukenal dengan nama 'temucut' seperti mana yang disebut oleh adik-adikku ini. 

Lantas aku dan dia bersama-sama mencabut temucut yang memenuhi ruang seluar di kakinya. 

" Awat temucup ni melekat kat kita ha?" soalnya.

" Haa dah Allah jadikan sifat dia macam tu..." jawapan orang tak berilmu. Aku lah yang jawap tu.

" Adik, Mu'az, cuba fikir temucut ni boleh diibaratkan macam apa?" soalku sambil membuang kemuncup yang melekat di seluar si kecil. 

" Ntah,..apa dia?" Mu'az seperti biasa menyoalku kembali.

" Cuba bayangkan temucut ni macam jahiliyah. Dia ada di mana-mana di sekeliling kita. Sedikit sebanyak tentu jahiliah itu melekat pada diri kita kan? Sakit kan adik kalau kena cucuk dengan temucut ni?" .

" Sakitlaaa...." jawab si kecil yang leka mencabut temucut.

" Macam tulaa diri kita kalau dihinggapi jahiliah. Fizikal, hati kita akan sakit kerana jahiliah telah merosakkan sistem yang Allah nak kita buat dalam hidup kita".

Muaz dan Yaasir diam. Aku meneruskan kata. 

" Kalau temucut kena kita, kita mesti akan cabut kan? Betul dak?" 

" Betul,betul betul..." jawab mereka.

" Macam tu laa juga kalau kita rasa kita dah terkena virus jahiliah, kita kena usaha untuk cabut jahiliah tu daripada diri kita. Kalau setakat basuh guna mesin basuh, temucut yang degil ni takkan tertanggal,... serupa juga dengan jahiliah, kita kena buang dan cabut dengan hati-hati supaya tiada lagi sisa-sisanya yang tertinggal." Panjang aku berceloteh.

Sebenarnya aku berpesan lebih kepada diri sendiri. Aku juga mahu Mu'az dan Yaasir turut faham apa yang aku ingin sampaikan kerana masyarakat hari ini dilimpahi dengan jejarum jahiliah yang sangat pekat. Maka, dari hari ke hari kita harus berusaha untuk membersihkan diri kita daripada karat-karat jahiliah. 

Bukanlah maksudku pokok kemuncup itu jahat. Kemuncup juga makhluk Allah yang dicipta untuk manusia mengambil pelajaran daripadanya. Terdapat pelbagai analogi dan tafsiran  yang dibuat dengan pokok ini namun itulah apa yang terlintas di benakku petang Eid Fitr itu.

Mengambil ibrah daripada Pokok Kemuncup @ Temucut. 
Dua putera yang kukasihi....
Marilah sama-sama kita mengislah diri kita sambil mengajak orang lain kerana kejayaan terbesar dalam hidup kita ialah menyelamatkan diri kita dan keluarga serta insan-insan kesayangan kita daripada menerima azab api neraka Allah. Na'uzubillahi min zalik....


Akhir kata, Salam Eid Fitr daripadaku buat kamu yang sedang membaca.
Semoga Allah menerima amalan kamu dan amalan kami.

No comments: