Let's share yur kind words here... (" _ ")

Saturday, April 9, 2011

Berusaha !!

Berusaha siapkan teks syarahan pelajarku.
Oleh : Nawal bt Abd Kadir


Di sini ingin saya kongsikan hasil usaha saya sepanjang hari ini dalam kegelutan melayari hari persekolahan juga dengan persediaan  menghadapi temuduga SPP, saya paksakan diri siapkan teks tidak seumpamanya ini. Mohon pandangan dan kritikan daripada kalian. Untuk pengetahuan, teks ini akan digunakan untuk Pertandingan Syarahan sempena MTQ Peringkat Negeri Selangor oleh pelajar saya iaitu Dinnie Asyraf. (jika teks ini terpilih)




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima Kasih pengerusi majlis, Yang Berusaha para hakim yang arif lagi bijaksana, para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Bersilat lidah untuk mencari yang hak. Demi meninggalkan yang bathil, menghanyutkan yang lara dan menegakkan panji perjuangan serta menerbitkan keinsafan. Insya Allah, pada pagi yang penuh kemuliaan hari ini akan saya sampaikan sebuah syarahan yang bertajuk

’ PENGHAYATAN SIRAH RASULULLAH ASAS MASYARAKAT SEJAHTERA ’
Tak kenal maka tak cinta. Itulah bidalan masyarakat Melayu dalam mengungkap kata mendefinisikan sesuatu. Sebelum saya meneruskan kata izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya pada hari ini.
Penghayatan membawa maksud menjiwai atau mengambil pengajaran .
Sirah pula bermaksud perjalanan , iaitu catatan perjalanan suatu sejarah. Manakala
"Rasul” merujuk kepada lelaki pilihan Allah  yang dikurniakan wahyu untuk dirinya & disebarkan kepada orang lain.
Asas masyarakat sejahtera pula membawa maksud asas kebahagiaan seluruh ummah.
Allah juga telah berfirman dalam surah ali-Imran :
Mahukah kita menjadi seperti suatu umat yang diangkat sebagai umat yang terbaik dalam kalangan manusia?  Sudah tentu kita mahu menjadi seperti Para Sahabat Rasulullah yang telah dipuji oleh Allah di dalam al-Quran. Justeru langkah pertama yang harus dilakukan ialah dengan mendalami, menghayati serta menelusuri sirah kehidupan dan perjuangan seorang insan agung bernama Muhammad, Khatimul Anbiya.

Hadirin yang dirahmati sekalian,
Marilah kita menyelusuri perjalanan sirah Rasulullah dalam melahirkan masyarakat sejahtera dengan menerapkan Konsep Sirah dalam  6B.
6B ini merangkumi Sirah dalam Berkepimpinan, Sirah dalam Berdakwah, Sirah dalam Berekonomi, Sirah dalam Bermasyarakat, Sirah dalam Beribadah dan akhir sekali sirah dalam Berkeluarga. Lantas, ayuhlah kita meniliti sirah Rasulullah sebagai panduan kearah menjadi masyarakat yang sejahtera.
            Kegemilangan sesuatu ummah  pastinya bermula daripada pengemudinya iaitu pemimpin yang berkebolehan,berkaliber dan mantap. Lihatlah bagaimana Rasulullah berjaya membina perpaduan dalam masyarakat tatkala kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan atas landasan akidah Islamiyah. Rasulullah telah menjadikan persaudaraan yang termeterai itu berfungsi bukan hanya sekadar lafaz yang kosong,sekadar ucapan lisan yang tidak bertulang, malah turut berkait dengan tuntutan darah dan harta. Perasaan mengutamakan sahabat, tolong menolong dan bertoleransi  atas nama Ukhuwwah telah melahirkan umat yang unggul lagi unik. Metod yang digunakan oleh Rasulullah ini  ternyata berjaya apabila  Abdul Rahman b. Auf yang telah dipersaudarakan dengan Saad b.Rabi’ telah menawarkan harta,isteri dan keluarganya kepada Saad dan Allah telah memuji kaum muhajirin dan ansar ini dalam surah at-taubah :100

Ikatan silaturrahim dan perpaduan yang diajarkan oleh Rasulullah adalah berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kepada  Allah swt dan sewajarnya kita mencontohi Rasulullah dalam aspek Kepimpinan kearah  membina masyarakat yang harmoni.

Hadirin yang tekun mendengar bicara saya sekalian,
Pendidikan adalah antara unsur yang amat penting dalam mentamadunkan manusia. Justeru marilah kita melihat sirah Rasulullah dalam Berdakwah. Dakwah merupakan usaha untuk menggerakkan manusia kea rah kebaikan dan bukan suatu kerja yang mudah.  Memetik kata-kata Ibn Qayyim al-Jauzi, orang yang berdakwah ialah mereka yang mendidik manusia dengan  mata pena, kepetahan lidah mahupun ketajaman akal  menuju kebaikan. Ingatkah kalian bagaimana Rasulullah berdakwah kepada  masyarakat yang hanyut dalam arus jahiliyah? Hikmahnya Rasulullah saat menyampaikan pengajaran tentang kebenaran, Bijaksananya Rasulullah tika berdebat dengan cara yang baik , mulianya Rasulullah apabila kejahatan dibalas dengan kebaikan dan kehebatan dakwah Rasulullah terletak pada Qudwahnya yang sentiasa bercerminkan al-Quran. Allah berfirman dalam surah an-Nahl : 125

Jelaslah bahawa kita harus mencontohi Rasulullah dalam mendidik masyarakat berilmu dan prihatin demi kesejahteraan ummah.

Hadirin sekalian,
Berfikirlah kita sejenak tentang keadaan ekonomi umat Islam hari ini. Apakah kita benar-benar mengikut sunnah Rasulullah? Jika kita  imbas kembali keadaan ekonomi masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam, penindasan,kezaliman dan riba berlaku dimana-mana dek ekonomi yang dieksploitasi oleh sistem ekonomi kapitalis. Rasulullah telah berjaya mengubah situasi ini dengan membangunkan sistem ekonomi berteraskan al-Quran. Sebuah pasar bernama ‘Shuqul Ansar’ dibangunkan  dengan sistem tanpa penindasan, riba-sifar serta berniaga dengan jujur bertepatan dengan perintah Allah dalam surah al-Baqarah : 275

Justeru perpaduan dan ketaatan umat Islam pada masa itu kepada Allah dan Rasul berhasil membangunkan ekonomi islam dengan cemerlang. Seharusnya kita mengambil teladan dan mengikuti strategi yang telah dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi.

Muslimin muslimat rahimahullah sekalian,
Seorang penyair Mesir pernah berkata “Kemajuan sesuatu bangsa sangat ditentukan oleh kualiti akhlak masyarakatnya”. Oleh itu, marilah kita merenung sifat dan peribadi Rasulullah dalam bermasyarakat sehingga berjaya memperbaiki krisis umat lantas membentuk suatu masyarakat yang berdiri teguh dalam satu barisan mempertahankan kedaulatan negara Islam.
Firman Allah swt :

(As-Shaff :4)
Subhanallah. Bertuturnya Rasulullah tanpa menyinggung hati sesiapa, tingkahnya tidak pernah menghampakan orang lain, janjinya sentiasa ditepati dan kasihnya dirasai segenap hati yang mendampinginya. Kekuatan silaturrahim dalam masyarakat juga terjalin dengan penganjuran solat berjemaah di masjid yang turut berfungsi sebagai sebuah institusi masyarakat. Demi merealisasikan hasrat masyarakat sejahtera, sewajarnya perilaku Rasulullah diambil sebagai teladan.

Hadirin sekalian,
Allah telah berfirman dalam surah al-Muzzamil : 6

Ketika dunia sepi di malam hari, saat manusia tidur diulit mimpi, seorang Rasul berdiri menghadap illahi mengulit kasih dan cinta daripada Pencipta dan beribadah penuh istiqamah semata-mata untuk meraih redha Allah. Rasulullah, seorang Rasul yang sangat kita kasihi, Nabi yang sangat kita cintai telah menunjukkan standart pengibadatan yang tinggi kualitinya. Solatnya sentiasa di awal waktu, solat dhuha tidak pernah diabaikan, malah Qiyamullail mencapai tahap wajib baginya. Justeru andai seorang Rasul sentiasa mendapatkan kekuatan jiwa dengan melakukan ibadahnya yang sempurna, bagaimanakah kita? Harus kita ingat, pembangunan masyarakat yang sejahtera tidak akan dicapai andai kita tidak meneladeni Rasulullah dalam amalan beribadah.

Hadirin yang setia mendengar bicara saya sekalian,
Keluarga Bahagia bersulamkan mawaddah dan rahmat. Setiap insan pasti mengimpikan sebuah keluarga sebegini,bukan? Dalam menongkah realiti yang memaparkan kepincangan dalam insititusi kekeluargaan, kita seharusnya kembali meniti sirah Rasulullah dalam berkeluarga. Sebagai manusia biasa, Rasulullah pernah menjadi seorang anak, suami, bapa, mertua dan datuk. Baginda telah menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi tanggungjawab yang boleh diikuti oleh segenap lapisan masyarakat. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab : 21,

Rasulullah merupakan contoh ketua keluarga yang berjaya mendidik para isteri,  anak-anak serta cucu agar menjadi manusia yang berguna untuk agama. Tiada manusia lain sehebat insan ini dalam mengendalikan keluarga yang diredhai Allah. Intihanya, kita harus menerapkan kemahiran generik Rasulullah ini dalam kehidupan kita agar keluarga yang sejahtera dapat disemai dalam masyarakat kita pada hari ini.

Hati-hati meniti  titi,
Takut nanti terjatuh pula,
Sirah baginda harus dicontohi,
Agar masyarakat menjadi sejahtera.

Harap tarbiyah membina jati diri, Yang benar bersama kita imani, Mohon diri mengundur diri.

Mohon anda yang membaca entri ini doakan saya diberi kekuatan untuk menyiapkan 2 lagi teks.
Mohon doakan saya dipermudahkan dalam interview pada hari Isnin 11 April 2011 ini.
wallahualam.