Let's share yur kind words here... (" _ ")

Monday, August 30, 2010

Bila Ramadhan Berbicara...

Bila Ramadhan berbicara..

Oleh : Muaz_Kadir

Aku menjengah ke langit dunia. Aku melihat anak-anak kecil sedang bergembira,remajanya ramai yang sedang menikmati musim belajar di sekolah, ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan tidak kurang ada insan-insan yang sedang beribadah, tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mataku tertarik untuk melihat suatu situasi di dalam kelas di sebuah kawasan sekolah yang dipagari pohon-pohon getah yang merimbun. Seorang guru sedang berbicara dengan pelajarnya tentang aku. Terasa bahagia menjamah hati. Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar kata-kata seorang pelajar, “ Saya tidak tahu apa erti Ramadhan pada saya,cikgu. Saya tidak merasa apa-apa pun”. Rakan sekelasnya menunjukkan reaksi wajah kehairanan dan pelik,namun si gadis itu membalas,“ Kenapa? Salahkah?”. Guru itu menggelengkan kepalanya dan mula menerangkan kebaikanku kepada semua anak muridnya di dalam kelas itu.

Dalam pada itu aku terasa sayu. Aku sangat pasti setelah ribuan tahun Rasulullah wafat, aku semakin dilupakan.Setelah zaman para sahabat, tabien dan salafussoleh berlalu, aku semakin tidak dihargai manusia. Zaman kini sangat berbeza dengan zaman di mana Rasulullah dan para sahabat gembira dengan kehadiranku. Aku masih ingat ketika aku hadir, mereka melaung-laungkan kalimah Ahlan Ya Ramadhan. Para sahabat bersama Rasulullah berlumba-lumba melakukan kebaikan di dalamku. Mereka percaya akan kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku. Malaikat telah meluaskan sayap seluas-luasnya padaku. Allah telah membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka di dalamku.

Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah diwajibkan berpuasa di dalamku bermula daripada cahaya terbesar yang terbit di negara Jepun sehingga cahaya matahari itu terbenam di arah kiblat umat Islam dan kamu harus corakkan ibadahmu dengan keimanan dan ketaqwaan agar diterima oleh Allah s.w.t. Puasa di dalamku hukumnya wajib. Tidakkah kamu rasakan itu suatu suruhan yang besar untukmu wahai penghuni muka bumi? Justeru mengapa terdapat dalam kalangan kamu yang tidak mengendahkan suruhan agung itu?. Allah telah mengurniakan aku keistimewaan untuk kamu rebutkan. Rahmat Allah melimpah ruah padaku dan aku adalah bulan di mana alunan al-Quran akan mengetuk setiap gegendang telinga para pembaca dan pendengarnya.

Teringat aku pada Saidina Ali yang tidak jemu berdoa setiap tanggal 1 Ramadhan dengan doa yang berbunyi, “ Ya Allah, masukkanlah bulan yang mulia ini kepada kami dengan aman daripada gangguan penyakit, longgar daripada pelbagai kesibukan dan berikanlah kepada kami kerelaan dan kepuasan untuk tidak banyak tidur di dalamnya…”. Sejuk hatiku saat doa itu berkumandang. Kini, saat dunia semakin canggih dan moden, semakin pudar doa-doa itu dipendengaranku. Mengapa? Aku tidak merasakan punca fenomena ini datang dariku. Aku adalah hamba Allah yang dijadikan sebagai tempat untuk kamu semua beroleh nikmat, rahmat dan puncak kasih Allah kepada kalian.

Tahukah kalian di awalku adalah rahmat, dipertengahanku adalah maghfirat dan dipenghujungku adalah dijauhkan daripada azab neraka? Sesudah mengetahuinya, apakah tindakan kalian hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga yang kemudianya kalian habiskan dengan bergembira ketika berbuka tanpa sedikit pun amal ibadat di dalamnya? Mengapa kalian mensia-siakan aku, manusia? Bagaimana biasa kalian tidak merasai keistimewaanku dan aku adalah peluang untuk kalian memperbaiki diri,manusia?. Aku sangat tidak faham kerenahmu wahai manusia zaman moden ini.

Wahai makhluk Allah yang telah dikurniakan akal, sedarlah bahawa di dalamku doa kamu akan dimakbulkan oleh Allah.Di dalamku juga terdapat suatu malam di mana padanya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Mengapa kamu semua tidak berlumba-lumba mendapatkanya? Aku pasti kalian tahu bahawa setiap amalan sunat yang dilakukan adalah bersamaan pahalanya dengan amalan fardu manakala jika kamu melakukan amalan fardhu, pahalanya melonjak sehingga 70 kali ganda. Hebat tawaran Allah kepada manusia. Tetapi kamu adalah benar-benar golongan yang tidak tahu bersyukur andai kamu tidak mempedulikan bonus yang Allah berikan ini.

Zaman berlalu, aku semakin merasa sedih dan sayu saat aku menyedari bahawa manusia semakin melupakan kebaikan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadaku. Bagaimana bisa manusia tidak menghargai aku? Aku merintih saban malam agar manusia bangun dan beribadah, membaca al-Quran, menuturkan zikrullah, Qiyamullail dan berniat mencari malam Lailatul Qadar,namun hanya sebahagian sahaja daripada umat manusia yang melawan hawa nafsu menyahut rintihanku, bersusah payah bangun daripada pembaringan yang enak menuju ke tikar sembahnyang lantas sujud menyembah Tuhan yang Maha Satu.

Pada tahun 1431 hijrah ini, aku menjelma lagi dalam hidup umat Islam seantero dunia. Keadaan semakin menyedihkan dan memilukan. Aku mengharapkan agar manusia memanfaatkan aku agar mendapat perlindungan daripada Allah. Namun, hasrat hati memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai. Begitulah perumpamaan hasratku yang menggunung tinggi dengan sikap manusia yang tidak pernah mahu mengutip segala kebaikan yang ada padaku. Ya Allah, walau apa pun sikap dan perilaku manusia di muka bumimu dalam menyambutku sebagai makhlukmu bernama Ramadhan, aku sesekali tidak akan berputus asa dalam menjalankan amanahmu saban tahu, setiap kali Syaaban berlalu sehinggalah Syawal mengucapkan salam. Aku juga berharap suatu hari nanti manusia akan disedarkan dengan syafaat yang ada padaku dan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

*** kedua-dua tulisan (bisikku pada Ramadhan dan Bila Ramadhan Berbicara) ini dibimbing oleh empunya blog ini.wallahualam

Bisikku Pada Ramadhan

Bisikku pada Ramadhan

Oleh : Uzair_manap

“ Dengan ini diumumkan bahawa seluruh umat Islam akan mula berpuasa pada esok hari…” kedengaran pengumuman berpuasa berkumandang daripada televisyen di ruang tamu. Aku termangu sendirian. Ramadhan tiba lagi dan aku masih begini.Tidak pernah cuba menilik diri dan melihat masa lalu untuk dijadikan pengajaran dan tidak pernah menyusun strategi untuk melakukan perubahan pada diri. Manusia apakah aku ini?. Hambakah aku andai perintah Tuhan seringkali aku abaikan. Tidak ada rasa malukah aku pada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu? Terasa sesuatu menyentap di hati. Terasa berat dan menyakitkan. Aku perlu berubah.

Terngiang-ngiang suara seorang sahabat, “ Ramadhan ibarat musim bunga di hati umat Islam kerana Allah telah datangkan kepada seluruh alam ini suatu bulan yang penuh dengan barakah dimana kita diwajibkan berpuasa dan ketika kita berbuka puasa pintu-pintu syurga telah dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup bersama dengan syaitan yang telah dibelengu. Barangsiapa yang tidak berhasil beroleh kebaikan Ramadhan, sungguh tiada peluang untukknya mendapatkan nikmat itu buat selama-lamanya.” Masha Allah. Aku harus berubah. Gementar rasa hati mengingatkan kata-kata itu. Aku tidak mahu sesat selamanya. Oleh sebab itu aku harus mencari jalan pulang. Terasa malu dengan Tuhan, diri terasa hina dan tercela namun bukankah pintu taubat sentiasa terbuka? Aku harus cepat bertindak dan aku membuat suatu keputusan penting dalam hidupku di ambang Ramadhan ini. Ya.Aku harus berubah menjadi manusia yang lebih baik.

Aku berwudhuk dan tunduk menyerah diri kepada Rabbul Jalil saat Ramadhan menjelmakan diri. Seusai merintih dan memohon ampun kepada Yang Maha Mengampunkan,hati terasa sedikit ringan namun fikiran tidak lepas daripada memikirkan jalan yang bagaimana harus kutempuhi sepanjang bulan yang mulia ini. Aku membuat perancangan dalam mindaku dan pada masa yang sama aku harus teguh melawan hawa nafsu yang telah dididik oleh syaitan selama 11 bulan yang lalu. Kekuatan fizikal tidak akan mencukupi tanpa kerjasama daripada minda dan hati. Ketiga-tiga fakulti insan itu harus bergabungjalin untuk memastikan seorang ‘aku’ tidak tersungkur dipintu taubat. Hatiku berbisik pada Ramadhan. “ Ya Ramadhan, sungguh engkau aku abaikan sekian tahun namun kini aku hargai kedatanganmu dan aku percaya kelebihan yang ada padamu. Janganlah kau tidak pedulikan aku wahai Ramadhan. Aku insan kerdil yang mahu meniti hari-harimu dengan kebaikan”.

Wahai Shahrus Siyam, ku tahu kau bulan yang mengajar umat manusia untuk mengendalikan diri dan hati daripada hal-hal yang dilarang. Aku akan cuba kuatkan seluruh sistem badanku untuk mengawal pancainderaku, hatiku, tingkah dan perlakuanku agar tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan kita. Aku memperkemaskan dudukku daripada bersimpuh ke kedudukan bersila.Aku menekur sendirian di dalam gelap malam mencuba sedaya upaya berkomunikasi dengan Ramadhan.

Wahai Shahrul Qur’an, bulan yang dimuliakan Allah kerana kau telah terpilih untuk diturunkan al-Quran di dalammu. Aku berazam untuk menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak yang mungkin sehingga mencapai 30 juzuk. Tidak juga aku lupa untuk bertatih menghafaz ayat suci al-Quran itu supaya ayat-ayat indah itu sentiasa bergema dalam jiwaku.Kau adalah Shahrut Tilawah iaitu bulan membaca, menekuni dan mentadabbur al-Quran. Justeru aku akan sentiasa mendampingi al-Quran bersama-sama perjalananku meniti hari-harimu. Ya Sharul ‘Ala, bulan penuh kenikmatan, izinkanlah aku untuk menikmati kehadiranmu dengan sebenar-benar tunduk dan patuh kepada Allah swt.

Ya Shahrul Mubarak iaitu bulan yang penuh keberkatan. Berilah peluang kepadaku untuk merasai nikmat berkat itu. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rezeki dan melancarkan perjalananku menelusuri engkau. Aku menanam tekad untuk melakukan amal kebajikan dan melakukan kebaikan tanpa mengira pangkat dan darjat kerana aku diberitahu bahawa padamu terdapat suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah iaitu setiap amal kebajikan akan dinilai dengan berlipat ganda. Subhanallah. Betapa lapangnya dada dapat berbicara denganmu wahai Shahrus Sabri iaitu bulan kesabaran. Aku kini benar-benar merasai bahawa sabar adalah kunci utama bagi setiap manusia yang ingin berubah. Aku akan cuba mendidik hatiku agar sentiasa membawa sabar dalam diri.

Kini, aku berada di pertengahan musim bunga yang paling nikmat pernah aku lalui. Bulan ini adalah bulan rahmat yang penuh dengan kasih sayang. Kasih sayang daripada Allah yang paling mahal harganya yang dapat memacu perasaan kasih mengasihi sesama manusia. Limpahan kasih sayang Allah sebenarnya menjadi punca kekuatan yang kuperoleh untuk melakukan amal soleh didalammu wahai Shahrur Rahmah. Aku menitimu wahai Shahrul Muwasah dengan mendidik hati agar tidak kedekut kepada mereka yang memerlukan kerana kau adalah bulan untuk melatih sifat dermawan dalam diri. Kutingkatkan hubungan sosialku sesama kaum muslimin di kampung dan masjid, kuhabiskan masa bersama anak-anak yatim piatu dan fakir miskin. Bergaul dengan golongan ini menyedarkan aku untuk lebih bersyukur dengan kurnia Allah s.w.t kepadaku.

Wahai Shahrul Jud, bulan untuk bermurah tangan dan memberi bantuan kepada fakir miskin. Di dalam engkau aku mempelajari bahawa tangan yang menghulur adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Hatta sedikit yang dihulurkan namun tetap memberi makna yang mendalam pada diri ini. Sungguh. Kau adalah Shahrun Najah iaitu bulan keselamatan daripada azab neraka. Manakan tidak, setelah melakukan kebaikan, membaca al-Quran, berdamping dengan orang-orang soleh, bersedeqah dan sebagainya, tentulah manusia impikan pengakhiran yang baik iaitu dijauhkan daripada azab api neraka. Aku terasa kerdil mahu meminta lebih daripada Allah kerana aku baru sahaja kembali ke jalan Nur ini. Di sebalik rasa rendah itu aku percaya bahawa Allah menerima taubat hambaNya dan sentiasa mendengar rintihan dan permintaan hambaNya. Sesungguhnya pintu langit masih terbuka.

Terima Kasih wahai Ramadhan kerana dengan kehadiranmu pada tahun ini menjadi titik tolak kepada perubahan insan kerdil bernama ‘aku’ ini. Aku kini lebih daripada percaya bahawa selama sinaran mentari dan bulan berkongsi cahaya menemani alam dunia dan sebelum cahaya syurga malap dan terpadam, sebelum hidup ini bertemu dengan pengakhiranya, dan sementara pintu taubat masih terbuka luas, kita harus bertaubat dan kembali kepada Allah sebelum terlambat,iaitu sebelum semua pintu taubat ditutup. Aku tambah mengerti bahawa haluan ke syurga itu penuh dengan penderitaan seperti seorang insan melalui laluan yang dipenuhi dengan onak dan duri, susur jalanya bengkang-bengkok, disaluti sejuta pederitaan.kesedihan, dan kesakitan. Sebaliknya, jalan ke neraka itu penuh dengan nikmat dan kebahagiaan umpama seorang manusia melalui suatu jalan yang di atasnya terdapat hamparan permaidani merah yang empuk dan disertakan dengan segala kesenangan dan kemewahan duniawi.

Sungguh. Aku tidak sabar untuk berkongsi dengan mereka yang kukasihi bahawa Ramadhan ibarat sebuah kilang pemprosesan. Sebuah binaan kilang untuk mendidik dan memproses manusia-manusia di dalamnya agar keluar daripada bulan ini disaluti dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Justeru marilah sama-sama anda yang membaca bisikanku pada Ramadhan ini agar menjadikan bulan kesabaran dan bulan pelbagai nikmat ini sebagai medan untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan. Aku berada di penghujung Ramadhan dan hati terasa sedih kerana musim bunga ini bakal berlalu. Aku memohon agar umurku dipanjangkan oleh Allah agar aku sempat bertemu denganmu lagi dan kau akan melihat aku yang lebih baik melangkah memasukimu. Insya Allah. “ Aku akan benar-benar merinduimu wahai bulan yang istimewa.” Bisikku perlahan pada Ramadhan.

Musim Bunga Umat Islam

Subhanallah. (gambar diambil dr laman mahasiswa ukm,tq)
Ramadhan.

Ya. Ramadhan adalah suatu bulan yang sering dilambangkan seperti musim bunga bagi umat Islam. Mengapa? Kerana di dalamnya terdapat pelbagai keistimewaan yang perlu direbut oleh setiap insan. Rahmat,maghfirah,kasih-sayang Allah melimpah ruah di dalam bulan ini. Maka, rugilah bagi mereka yang mensia-siakan bulan Ramadhan ini.

Ramadhan ialah bulan reformasi Ruhi.

Ramadhan ialah bulan peningkatan spritual.

Ramadhan ialah bulan untuk berJIHAD melawan hawa nafsu.

Ramadhan merupakan bulan menJINAKkan hawa nafsu.

Sering kita mempersalahkan 'syaitan' apabila kita tersalah langkah, kita mengantuk, kita malas, kita marah dan sebagainya. Namun di bulan Ramadhan, Allah membantu kita dengan mengikat syaitan dan iblis. Soal diri kita, adakah perangai lama masih ada dalam diri? Apakah kita lebih sabar, lebih rajin, lebih pemurah dan pendek kata lebih baik pada bulan Ramadhan? Jika Ya, Alhamdulillah. Namun jika Tidak, nampaknya syaitan telah berjaya melatih hawa nafsu kita selama 11 bulan. Tanya diri lagi, apakah USAHA kita untuk mengikis perangai yang telah ditanam dalam diri kita?

Sedarlah diri bahawa bulan ini adalah satu-satunya bulan untuk kita mengasuh hawa nafsu, menundukkanya dan mendidiknya agar mengikut perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bulan ini berfungsi sebagai bulan meningkatkan bacaan al-Quran,menambahkan rakaat solah, memperbanyakkan sedeqah dan aktif bekerja untuk membersihkan diri daripada nafus syahawat. Berbekalkan kesungguhan, insya Allah kita akan berjaya mengendalikan kecenderungan jahat yang ada dalam diri kita,biiznillah.

Pesanku pada diri dan sahabat-sahabat, bulan Ramadhan membawa kita kepada suatu daerah untuk merombak perut yang kemaruk dan syahwat yang bergelora, membawa kita jauh daripada akhlak yang buruk dan jahat, serta menghilangkan jiwa yang lemah dan roh yang terkebelakang. Mengikis sifat buruk kita yang sering terpedaya dengan kehidupan dunia dan Ramadhan adalah medan untuk mengikis sifat ego dan perpecahan dalam masyarakat kita. Maka, marilah kita sama-sama bahu membahu dalam melakukan kebaikan agar jiwa kita bersatu dalam suasana yang dapat menyubur keimanan kepada Allah swt.

Kini kita sudah berada dalam fasa ketiga Ramadhan iaitu 10 malam terakhir. Di dalam sepuluh malam terakhir ini terdapat satu malam yang sangat special yang Allah janjikan kepada hamba-hambaNya yang taat menundukkan diri kepadaNya. Malam itu adalah malam Lailatul Qadar yang mana ibadah yang dilakukan pada waktu itu menyamai ibadah selama seribu bulan. Subhanallah. Tinggi kasih Allah pada hamba-hambaNya. Marilah kita sama-sama memperkuatkan diri di 10 akhir Ramadhan ini untuk mencari malam MULIA ini.

Ramadhan, sungguh kita akan merinduinya apabila ia berlalu. Justeru manfaatkanlah Ramadhan sementara ia masih bersama kita kerana kita tidak tahu apakah umur kita akan panjang sehingga muncul Ramadhan yang akan datang.

Ampunkan aku Ya Allah andai ada salah dalam perkataanku..Kuatkanlah dan cekalkanlah hati kami Ya Allah dalam menunaikan perintahMu.

" Ya Allah, janganlah kau pesongkan hati kami setelah kau beri petunjuk kepada kami, berilah kepada kami rahmat, sesungguhnya Maha Pemberi Kurnia".

Sedikit bahan yang dicoret ini diperolehi semasa Halaqah Guru Matri di bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Murabbi yg dikasihi Cg Norizan Mat.Semoga Allah redha kita.

Wallahualam.

Saturday, August 21, 2010

4 tahun berakhir di hari Konvokesyen...

Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti Kebangsaan Malaysia.
Fakulti Pendidikan
9 Ogos 2010

Alhamdulillah. Dengan izin dan kasih-sayang Allah, hari yang sangat ditunggu-tunggu oleh sahabat-sahabat saya telah tiba dan sekali lagi kami dipertemukan di dalam sebuah dewan bersejarah iaitu Dewan Canselor Tun Abdul Razak atau lebih terkenal dengan singkatannya DECTAR. Dengan izinNya juga, segalanya berjalan dengan lancar dan cepat seperti yang saya hajati bermula daripada awal sehingga akhir. Segala Puji bagi Allah. Ini adalah sedikit perkongsian gambar yang telah dirakamkan....


Di depan masjid UKM-hari ambil jubah
Oren adalah kaler Fakulti Pendidikan...jgn pelik ye..hehe

Bawa adik-adik berjalan di Pesta Konvokesyen
08.08.2010

Sebelum masuk ke dewan, rezeki jumpa Dr.Izham,pensyarah kesayangan
kami...sempat bergambar kat tepi jalan...

Berjaya jugak beratur sederet ahli rumah sewa 'Baiti Jannati' dan
ahli study group 'Ukhuwwah-study'..tp Ikin n Mus
terlepas ke kerusi belakang...


Selesai konvo..sempat bergambar dalam dewan..

Dengan Ummi,Abah dan adik2

Ummi dan Abahku...

Girls..hehe..si baju biru jadi driver of the day hari ni..hehe

bersama kakak kembarku yang datang dari jauh
Universiti Malaya..Aishah Asri
Gandingan graduan Fakulti Pendidikan 2 Universiti...