Let's share yur kind words here... (" _ ")

Thursday, September 22, 2011

Pelajar saya menang lagi.



Pertandingan Kaunselor Muda (talk-show) 
Peringkat Daerah Hulu Selangor
Slide show dan video : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bahagia yang singgah di hati saya apabila pelajar saya sekali lagi telah menjadi JOHAN dalam pertandingan yang saya sebutkan di atas. Sebenarnya saya sangat risau kerana saya bertanggungjawab ke atas slide, pemilihan isi, pemilihan gambar dan penyediaan video dalam proses menyiapkan slide. Saya tidak putus-putus berdoa supaya semuanya berjalan dengan lancar.

Allah izin, pelajar saya memberitahu video ini tersangkut -sangkut semasa presentation berikutan masalah teknikal pada pc yang digunakan ketika bertanding. Saat itu saya hanya berserah sahaja pada Allah. Namun, dengan kelebihan yang dimiliki oleh pelajar saya, maka dengan izin Allah beliau dapat membentangkan slide saya dengan baik. Kepetahan dan ketrampilan yang dimilikinya berjaya memikat hati juri. Alhamdulillah.

Lantas saya kongsikan sedikit selingan video yang memperkatakan tentang definisi remaja menurut pandangan remaja di sekolah saya.

Sekalung Penghargaan dan Terima Kasih kepada pelajar-pelajar saya iaitu :-

Muhammad Dinnie Asyraf

sebagai Johan Pertandingan 'Kaunselor Muda'

Muhammad Afiq Ikhwan 
Syafiq Zakwan
Muhammad Sabri

yang bertindak sebagai camera-man dan membantu daripada aspek teknikal...

Farah Nabilla
Nur Erlisa
Eliya Natasha
Hakimi
Syafiq Jamuri
Syahir Naqwan
Fairuz Auni
Nuraliffa Zairen
Amelia

yang telah sudi ditemu ramah dan memberikan kerjasama yang baik semasa video dirakamkan. Jom kita saksikan sedikit sebanyak wajah-wajah mereka.



Moga kita boleh kerjasama lagi pada masa akan datang....

Wallahualam

Sunday, September 11, 2011

Terkejut


Assalamualaikum wrht.

Pagi tadi saya menerima panggilan daripada adik saya mengatakan berlaku kemalangan di Perlis yang melibatkan insan yang saya kenal, para pelajar Matri (sekolah tempat saya membesar dan juga pernah berkhidmat sebagai guru di situ) juga insan yang sangat dekat di hati guru yang saya kasihi. 

Tiada lafaz yang mampu saya suarakan melainkan keyakinan bahawa Allah kasih kepada mereka semua. Kematian dan pemergian ini haruslah kita ambil sebagai pengajaran buat diri kita yang masih hidup. Saya mendoakan agar guru yang sangat saya kasihi, Cg Asmah Omar dan juga anaknya Adila juga Amir (pelajar saya) tabah menerima ujian Allah ini. Allah tahu kalian mampu menghadapinya. Saya hanya mampu berdoa daripada jauh.



Keadaan van tersebut

Ya Allah....

Saya petik berita ini daripada laman sesawang Matri.
Kematian adalah suatu kepastian bagi setiap yang bernyawa.
Bagi yang masih hidup, pengakhiran seorang insan hanya terbahagi kepada dua, iaitu husnul khatimah ataupun su'ul khatimah. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi tadi, MATRI telah kehilangan tiga butir permata yang amat berharga didalam perjalanan hidup mereka demi memartabatkan ilmu ke tahap yang Allah kehendaki. Kejadian yang berlaku pada pagi ini melibatkan lapan orang pelajar MATRI dan seorang bapa angkat pelajar semestinya termasuk dalam ilmu dan hikmah Allah Taala.
Kumpulan pelajar yang mengikuti program Bapa Angkat yang dianjurkan oleh pihak MATRI sedang dalam perjalanan pulang dari melawat Ladang Tebu dan Kilang Gula di Chuping, Perlis untuk kajian tugasan tempatan. Bapa Angkat tersebut iaitu Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang juga merupakan suami kepada guru MATRI, Cikgu Nor Asmah binti Omar, merupakan salah seorang bekas kakitangan Kilang Gula. Hujan lebat yang berterusan semenjak semalam telah melembutkan tanah, menyebabkan sebatang pohon besar yang rendang ditepi jalan telah terbalik dan menghempap kenderaan mereka yang sedang bergerak perlahan disebabkan hujan lebat. Allahyarham Ahmad Izzat bin Ismail dan Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang berada di bahagian hadapan bersama dengan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan yang duduk dibelakang pemandu telah dihimpit teruk oleh bumbung kenderaan tersebut dan meninggal ditempat kejadian.
Muhamad Ahnaf bin Anissofian yang cedera telah dimasukkan ke Unit Kecemasan manakala 5 pelajar lain yang cedera ringan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. Menjelang petang tadi, kesemua 6 pelajar tersebut telah dibenarkan pulang. Kesemua jenazah akan disolatkan di Dewan Musolla MATRI selepas Maghrib atau Isya', bergantung kepada perlepasan oleh pihak hospital. Jenazah Allahyarham Hj Shahidan bin Ali  akan disemadikan di Beseri, Perlis, manakala Allahyarham Ahmad Izzat b Ismail dan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan akan disemadikan di Pulau Pinang dan Kulim.
Saya menanti berita dan cerita daripada adik saya kerana dia turut berada di hospital sejurus kejadian berlaku.
Ya Allah, kau ampunilah dosaku dan juga dosa mereka...

My first ever Carbonara Bowties

Spagetti Carbonara ala UA
Oleh : Nawalkmn

Assalamualaikum wrht.

Sedikit perkongsian hari ini berkenaan dengan makanan. Heee....
Buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya telah berjaya memasak Makaroni (Bowties) Carbonara.

Saya mencuba  hidangan ini kepada para pelajar yang datang berkunjung ke rumah. Alhamdulillah. Licin sudah semuanya.

 Rupanya tak cantik sangat,kan?

Inilah dia my first ever Bowties Carbonara

Saya juga sempat memasak Spagetti ala UA saya tulah sebab yang carbonara tu sekadar percubaan sahaja.

Fettucini

Kuahnya cair sket kali ni.. tp budak2 kata ok...

"Tinggalkan utk zah sket..." kata saya..

Alhamdulillah. Hari ini saya berjaya memasak resepi baru sebab saya ni jenis suka hentam je bila masak, saya suka bila pelajar datang sebab ada tukang habiskan. Sedap ke tak sedap ke diorang makan je... Kadang-kadang siap tapau balik rumah lagi... (sape makan cili tu terasa laa pedasnya) ye tak?

So, sape2 ada resepi best atau lain sket utk spagetti or makaroni or apa2 lah, bleh laa share2 ye..
Sharing is caring,..kan?

Wallahualam

Friday, September 9, 2011

Resepi buat kamu yang jauh

Marinara kah? 
Assalamualaikum wrht.

Genap 7 hari mereka melangkah meninggalkan tanah air. Hari ini saya menerima permintaan daripada mereka. Permintaan yang tidak pernah terlintas di fikiran. Saya cuba tunaikan di sebalik rasa 'segan' yang menerpa. Lalu, saya kongsikan di sini untuk tatapan mereka dan juga anda yang membaca. 

Spagetti UA ala lidah melayu.

Bahan-bahan:-

Spagetti / Makaroni 
Bawang besar
Bawang putih
Cili padi (orang perlis kata cili api)
Tomato ( separuh dikisar, separuh dipotong dadu)
Daging/Ayam cincang
Udang 
Tomato puree
Sos Prego
Cendawan Butang
Carrot
Sos Tiram
Kicap
Sos Cili
Oregano 
Garam
Minyak untuk menumis

Cara-caranya :-

Persediaan.
- Rebus spagetti / makaroni (letak sket minyak dan garam semasa rebus)
- Hiris sedikit bawang besar untuk tumis.
- Dadukan tomato untuk tumis juga.
- Kisar  / Tumbuk / hancurkan bawang besar,bawang putih,cili padi dan tomato.
- Hiris cendawan butang dan carrot ikut citarasa.

Jom masak ( main campak-campak je nih...)

- Panaskan minyak masak.
- Tumis bawang dan tomato (yg dihiris dan didadu tadi)
- Masukkan udang dan daging/ayam cincang.
- Masukkan sos tiram . Kacau sehingga naik bau.
- Masukkan bahan yang dikisar tadi.
- Masukkan tomato puree, sos prego, kicap dan sos cili.
- Masukkan carrot. (masak sehingga carrot sedikit lembut)
- Masukkan cendawan dan oregano.
- Letak garam secukup rasa.
- Sekarang boleh rasa dan adjust ikut citarasa lidah anda.

Maka, siaplah sudah kuah spagetti anda. Senang je kan? Semua orang boleh buat...

Cita rasa kita semua berlainan,ada yang suka masam,kurang kan lah cili tu,..sapa suka pedas, tambahkan lagi,..walaupun makanan ni ala-ala western or italian,,..tetapi tak salah untuk kita adjust ikut selera kita kan? Maka, selamat mencuba ya...

Kepada orang yang jauh di bumi Anbiya' sana, semoga berjaya memasak spagetti ala UA nih,.., bila dah siap jangan lupa snap gambar dan sila upload untuk tatapan kami semua ya...

Wallahualam.

Monday, September 5, 2011

Kemuncup Eid Fitr

Kisah Kemuncup
Oleh : Nawal_Kadir


Hari Raya Eid Fitri yang kedua. Kami sekeluarga menziarahi keluarga Mak Long di Taman Intan Sg.Petani Kedah. Lewat petang hari tersebut aku membawa adik bongsuku ke taman permainan yang terletak di padang berhadapan dengan rumah Mak Long.  Menurut hajat adikku yang tidak kenal erti diam, aku melangkah merentas padang bersamanya sambil menghirup angin petang yang bertiup damai.

Taman Permainan itu kecil cuma. Tiada yang menarik padaku namun itulah yang mengamit-gamit hati si kecil untuk mendekatinya. Dipaut tanganku ketika melangkah longkang. Indahnya saat itu. 

 " Adik berani langkah longkang sendiri,...cepat laa kak" katanya bersahaja.

 Inilah dia si kecil buah hati pengarang jantungku. Namanya Abdullah Yaasir bin Abd Kadir. Si kecil ini sudah melihat dunia selama 5 tahun. Alhamdulillah dia dikurniakan kesihatan badan dan kecerdasan akal yang sangat baik. Syukur padaMu Ya Allah. ( teringat segala kerisauanku pada tahun 2005 yg lalu). Kanak-kanak ini memang sangat aktif dan tidak berhenti menjana idea dalam setiap tindakanya. Ada sahaja yang menarik minat dan perhatianya. Mudah-mudahan dia membesar menjadi seorang pemuda mukmin yang soleh dan musleh.


Ya. Tidak lama kemudian lagi seorang adik lelakiku datang menyusul. Dia ialah Muhammad Mu'az b. Abd Kadir yang merupakan adik lelakiku yang pertama. Pernah kuceritakan perihal dirinya di sini. Klik utk baca.


" Banyak betoi temucut kat sini " omelnya.
" A'ah, habis seluar adik kena...." sambut si kecil.
" Alah, sat g kita cabut la...adik main laa dulu" ujarku.
" Tak mau. Temucup ni tajam. Sakit kaki adik kena cucuk" bantahnya.

Pokok Kemuncup. Nama saintifiknya Chrysopogon Aciculatus atau nama tempatanya Kemuncup Cacak, sangat sinonim dengan kehidupan kita di Malaysia ini. Pokok ini tumbuhnya di mana-mana sahaja, di padang rumput, tepi longkang, tepi jalan, dan mana-mana kawasan bertanah. Sesekali apabila pakaian kita disapa kemuncup ini, pasti terasa rimas dan rungutan pasti singgah di bibir kita. Entah mengapa pokok kemuncup ini kukenal dengan nama 'temucut' seperti mana yang disebut oleh adik-adikku ini. 

Lantas aku dan dia bersama-sama mencabut temucut yang memenuhi ruang seluar di kakinya. 

" Awat temucup ni melekat kat kita ha?" soalnya.

" Haa dah Allah jadikan sifat dia macam tu..." jawapan orang tak berilmu. Aku lah yang jawap tu.

" Adik, Mu'az, cuba fikir temucut ni boleh diibaratkan macam apa?" soalku sambil membuang kemuncup yang melekat di seluar si kecil. 

" Ntah,..apa dia?" Mu'az seperti biasa menyoalku kembali.

" Cuba bayangkan temucut ni macam jahiliyah. Dia ada di mana-mana di sekeliling kita. Sedikit sebanyak tentu jahiliah itu melekat pada diri kita kan? Sakit kan adik kalau kena cucuk dengan temucut ni?" .

" Sakitlaaa...." jawab si kecil yang leka mencabut temucut.

" Macam tulaa diri kita kalau dihinggapi jahiliah. Fizikal, hati kita akan sakit kerana jahiliah telah merosakkan sistem yang Allah nak kita buat dalam hidup kita".

Muaz dan Yaasir diam. Aku meneruskan kata. 

" Kalau temucut kena kita, kita mesti akan cabut kan? Betul dak?" 

" Betul,betul betul..." jawab mereka.

" Macam tu laa juga kalau kita rasa kita dah terkena virus jahiliah, kita kena usaha untuk cabut jahiliah tu daripada diri kita. Kalau setakat basuh guna mesin basuh, temucut yang degil ni takkan tertanggal,... serupa juga dengan jahiliah, kita kena buang dan cabut dengan hati-hati supaya tiada lagi sisa-sisanya yang tertinggal." Panjang aku berceloteh.

Sebenarnya aku berpesan lebih kepada diri sendiri. Aku juga mahu Mu'az dan Yaasir turut faham apa yang aku ingin sampaikan kerana masyarakat hari ini dilimpahi dengan jejarum jahiliah yang sangat pekat. Maka, dari hari ke hari kita harus berusaha untuk membersihkan diri kita daripada karat-karat jahiliah. 

Bukanlah maksudku pokok kemuncup itu jahat. Kemuncup juga makhluk Allah yang dicipta untuk manusia mengambil pelajaran daripadanya. Terdapat pelbagai analogi dan tafsiran  yang dibuat dengan pokok ini namun itulah apa yang terlintas di benakku petang Eid Fitr itu.

Mengambil ibrah daripada Pokok Kemuncup @ Temucut. 
Dua putera yang kukasihi....
Marilah sama-sama kita mengislah diri kita sambil mengajak orang lain kerana kejayaan terbesar dalam hidup kita ialah menyelamatkan diri kita dan keluarga serta insan-insan kesayangan kita daripada menerima azab api neraka Allah. Na'uzubillahi min zalik....


Akhir kata, Salam Eid Fitr daripadaku buat kamu yang sedang membaca.
Semoga Allah menerima amalan kamu dan amalan kami.