Let's share yur kind words here... (" _ ")

Monday, December 31, 2012

Dunia baru 2012 : CRTV SMKBSB




Assalamualaikum wrht.

2012 bakal melabuhkan tirainya. Beberapa jam lagi.
Saya menoleh ke belakang,.. menyorot kembali segala yang telah berlaku dalam tahun ini.

Apa yang dipelajari bukan sedikit.
Apa yang ditempuh tidak sedikit yang sakit.
Apa yang dilakukan jarang sekali tidak melibatkan duit.
Ermm.....

Perubahan besar yang berlaku dalam kehidupan saya di sekolah pada tahun ini tentulah dengan tertubuhnya CRTV SMKBSB. Apakah ?

Ya. CRTV adalah singkatan kepada Crocs River Radio Televisyen. Sebuah unit di bawah Jawatankuasa Multimedia dan Penerbitan yang membawa saya ke dunia yang sangat sibuk dan agak kejam. Masa saya untuk diri sendiri diragut pergi bersama pelbagai tugasan dan tanggungjawab yang memang sukar untuk saya senaraikan perinciannya. Biarlah saya dan team saya sahaja yang tahu.

Pembikinan iklan, segmen berita, lintas langsung ketika majlis besar,  menguruskan radio sekolah,membuat video untuk tayangan, membuat video untuk pertandingan luar,  mencari pelapis, meneroka dunia baru yang bukan kepakaran saya, merakam setiap acara dan program di sekolah - menjadi rencah dalam rutin saya di sekolah bermula Januari sebelum Pelancaran CRTV dilakukan ketika Mesyuarat Agung PIBG pada 18 Februari 2012. 

Sesuatu yang baru. Inovasi dalam dunia sekolah saya. Bukan semua yang suka dan menyokong. Ada yang kurang senang dan sentiasa mencari salah. Saya yang setahun jagung, muda rebung, dengan pengalaman yang sangat sedikit mengharungi setiap detik bersama anak-anak media saya dengan doa dan pergantungan hanyasanya kepada Allah sahaja. Hanya DIA yang menguatkan. Hanya DIA yang memberikan natijah. Tugas kami hanyalah menjalankan kerja sebaiknya. 

"Biar orang cari salah kita.. biar orang 'buat' pada kita... Jangan kita cari salah orang.. jangan kita 'buat' orang..." inilah pesanan yang seringkali diulang-ulang kepada anak-anak krew CRTV saya. 



Yang perit dan masam tu saya pekasamkan dengan harapan dapat di'makan' pada masa akan datang. Yang bahagia dan gembira itulah sewajarnya dikenang kerana disitulah letaknya motivasi untuk terus bekerja dengan lebih baik dan sentiasa bersemangat memperbaiki diri. 


                                         

Apa yang bahagia ? Pengalaman bekerja bersama pelajar adalah kenangan dan saat yang paling tidak dapat saya lupakan. Pelajar tidak berkira ketika kita meminjam masa , tenaga dan idea mereka. Asalkan minat dan  kehendak mereka dipenuhi, komitmen 100% dapat diberi tanpa berkira. Dalam tempoh itu saya dapat belajar begitu banyak perkara baharu daripada kaca mata remaja. Pelbagai nasihat dan pengajaran dapat dikongsi sepanjang masa ketika bekerja bersama-sama ataupun tidak.
 
Di medan inilah saya membina jambatan hati bersama pelajar-pelajar yang menjadi krew CRTV. Harapan saya agar mereka menghabiskan masa dengan melakukan sesuatu yang berguna, tidak melepak menghabiskan masa begitu sahaja. Selain itu mereka dapat belajar bagaimana untuk bekerjasama dalam suatu organisasi, merasai kesusahan mencari dana untuk menggerakkan suatu program, berlumba menggali ilmu baharu, bersaing untuk belajar dan terus belajar, bersama menguruskan masa dan merancang waktu dan pelbagai perkara dipelajari secara praktikal. Bukan sekadar teori !.

CRTV bermula dengan hanya 5 orang pelajar sahaja yang menjadi tunggaknya dan kemudian berkembang menjadi lebih ramai. Insya Allah CRTV 2013 akan digerakkan oleh lebih 20 orang krew yang dipilih setelah berjaya dalam uji bakat dan proses saringan komitmen dan kesungguhan. Semoga mereka dapat istiqamah dan komited dalam menjalankan tugas.

Di samping para pelajar di sisi saya, ada dua nama yang sangat saya kasihi bersama-sama saya mengharungi hari-hari awal penubuhan CRTV. Merekalah kakak saya di sekolah ini. Nasihat, didikan, teguran, idea dan sokongan mereka menjadikan saya terus positif melakar sejarah dalam dunia media ini. Nama itu ialah Kak Fazney dan Kak Samsuria. Dua insan yang setia di sisi saya saat suka dan duka. Seorang 'otai' , sangat senior dan cekap dalam segala hal serta mahir dalam bidang muzik . Seorang lagi sangat lembut dan memahami, sentiasa positif terhadap apa yang saya lakukan dan sangat teror dalam bidang IT. Saya mengaku bahawa mereka antara insan yang mula-mula saya simpan kemas dalam hati saya di bumi Sungai Buaya ini.



Semoga keterikatan hati ini berpanjangan selamanya hingga ke syurga. "Akak, saya sayang akak kerana Allah".

Tahun 2013 ini merupakan tahun saya bersama CRTV tanpa anak-anak yang menjadi konkrit team ini selama 2012 ini. Mereka yang kukasihi ; Muhammad Sabri, Muhammad Afiq Ikhwan, Amalina Natasha, Muhammad Dinnie Asyraf, Aqilah Azmi, Muhammad Nasharuddin telah pun mengakhiri zaman persekolahan mereka. Justeru saya telah merangka beberapa objektif untuk dicapai oleh team pelapis CRTV pada tahun 2013 ini. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusan, menguji sekadar yang mampu dilalui dan memberikan yang terbaik buat semua.

Kalau nak coretkan tentang CRTV memang banyak,.. tapi saya berhenti di sini kerana insya Allah saya akan menulis lagi dalam entri lain.

Kepada yang membaca sehingga habis, sudilah kalian menghembus doa buat saya dan dunia dakwah saya dalam team CRTV ini. Semoga pelajar-pelajar ini membesar menjadi manusia yang up to date dalam media dan up to date dalam iman dan taqwa juga.

Mood : Terasa bergetar hati mahu melangkah ke tahun baru.

Wallahualam.