Let's share yur kind words here... (" _ ")

Sunday, September 11, 2011

Terkejut


Assalamualaikum wrht.

Pagi tadi saya menerima panggilan daripada adik saya mengatakan berlaku kemalangan di Perlis yang melibatkan insan yang saya kenal, para pelajar Matri (sekolah tempat saya membesar dan juga pernah berkhidmat sebagai guru di situ) juga insan yang sangat dekat di hati guru yang saya kasihi. 

Tiada lafaz yang mampu saya suarakan melainkan keyakinan bahawa Allah kasih kepada mereka semua. Kematian dan pemergian ini haruslah kita ambil sebagai pengajaran buat diri kita yang masih hidup. Saya mendoakan agar guru yang sangat saya kasihi, Cg Asmah Omar dan juga anaknya Adila juga Amir (pelajar saya) tabah menerima ujian Allah ini. Allah tahu kalian mampu menghadapinya. Saya hanya mampu berdoa daripada jauh.



Keadaan van tersebut

Ya Allah....

Saya petik berita ini daripada laman sesawang Matri.
Kematian adalah suatu kepastian bagi setiap yang bernyawa.
Bagi yang masih hidup, pengakhiran seorang insan hanya terbahagi kepada dua, iaitu husnul khatimah ataupun su'ul khatimah. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi tadi, MATRI telah kehilangan tiga butir permata yang amat berharga didalam perjalanan hidup mereka demi memartabatkan ilmu ke tahap yang Allah kehendaki. Kejadian yang berlaku pada pagi ini melibatkan lapan orang pelajar MATRI dan seorang bapa angkat pelajar semestinya termasuk dalam ilmu dan hikmah Allah Taala.
Kumpulan pelajar yang mengikuti program Bapa Angkat yang dianjurkan oleh pihak MATRI sedang dalam perjalanan pulang dari melawat Ladang Tebu dan Kilang Gula di Chuping, Perlis untuk kajian tugasan tempatan. Bapa Angkat tersebut iaitu Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang juga merupakan suami kepada guru MATRI, Cikgu Nor Asmah binti Omar, merupakan salah seorang bekas kakitangan Kilang Gula. Hujan lebat yang berterusan semenjak semalam telah melembutkan tanah, menyebabkan sebatang pohon besar yang rendang ditepi jalan telah terbalik dan menghempap kenderaan mereka yang sedang bergerak perlahan disebabkan hujan lebat. Allahyarham Ahmad Izzat bin Ismail dan Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang berada di bahagian hadapan bersama dengan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan yang duduk dibelakang pemandu telah dihimpit teruk oleh bumbung kenderaan tersebut dan meninggal ditempat kejadian.
Muhamad Ahnaf bin Anissofian yang cedera telah dimasukkan ke Unit Kecemasan manakala 5 pelajar lain yang cedera ringan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. Menjelang petang tadi, kesemua 6 pelajar tersebut telah dibenarkan pulang. Kesemua jenazah akan disolatkan di Dewan Musolla MATRI selepas Maghrib atau Isya', bergantung kepada perlepasan oleh pihak hospital. Jenazah Allahyarham Hj Shahidan bin Ali  akan disemadikan di Beseri, Perlis, manakala Allahyarham Ahmad Izzat b Ismail dan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan akan disemadikan di Pulau Pinang dan Kulim.
Saya menanti berita dan cerita daripada adik saya kerana dia turut berada di hospital sejurus kejadian berlaku.
Ya Allah, kau ampunilah dosaku dan juga dosa mereka...

No comments: