Let's share yur kind words here... (" _ ")

Monday, April 2, 2012

Teks Syarahan MTQ 2012 (1) Dinnie Asyraf

Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Penghayatan Hari Pembalasan Menjana Insan Kamil
Oleh : Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim (SMK Bandar Sungai Buaya)


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“PENGHAYATAN HARI PEMBALASAN MENJANA INSAN KAMIL”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya.   Penghayatan membawa erti sebagai memahami dan meyakini sedalam-dalamnya akan sesuatu perkara. Hari pembalasan pula ialah hari kebangkitan dimana amalan manusia akan dihisab dan hari penentuan pengakhiran hidup seorang manusia  Menjana pula ialah menghasilkan dan  Insan kamil pula ialah individu yang memiliki keseimbangan dalam empat fakulti insan iaitu emosi, rohani, aqli dan jasmani yang sempurna serta lengkap.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Fokus mauduk  saya yang pertama di bawah wacana fikrah , “Penghayatan Hari Pembalasan Melahirkan Akidah Yang Teguh”  Perkara pertama dan utama yang wajib bagi setiap insan ialah meyakini bahawa Allah itu Esa dan berkuasa. Namun, isu ajaran sesat seperti munculnya ajaran ‘Kerajaan langit Ayah Pin’ serta ‘Rasul Melayu Kahar Ahmad’ merupakan antara 102 ajaran sesat yang bertapak dalam negara kita menurut laporan Bernama. Seorang individu muslim yang sentiasa mengingati hari pembalasan akan sentiasa mengelakkan dirinya daripada terjebak ke dalam kancah syirik seperti ajaran sesat yang bertapak di Malaysia bertepatan dengan nasihat Luqmanul Hakim yang pertama kepada anaknya telah Allah abadikan di dalam surah Luqman Ayat 13 ,

Maksudnya : “ Janganlah kamu mempersekutukan Allah kerana mempersekutukan Allah merupakan suatu kezaliman yang besar.” 
Maka, jelaslah bahawa Penghayatan hari Pembalasan melahirkan akidah yang teguh.

Hadirin sidang dewan sekalian,
Wacana fikrah saya yang kedua “ Penghayatan Hari Pembalasan, menjana istiqamah dalam ibadah “. Ibadah sahihah merupakan ciri yang kedua yang perlu ada dalam diri individu muslim menurut Imam Hassan al-Banna. Amalan  ini haruslah dilazimi dengan sepenuh hati kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-2,
Maksud : “ Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya “
Khalifah Umar Abdul Aziz telah membuktikan bahawa sesuatu ibadah yang dilaksanakan secara konsisten mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera apabila tiada seorang pun rakyat pada zaman pemerintahanya layak menerima bantuan zakat. Hal ini demikian kerana ibadah zakat telah disempurnakan oleh setiap daripada umatnya.
            Oleh itu, terbuktilah di sini bahawa “ Penghayatan Hari Pembalasan, menjana istiqamah dalam ibadah”.

Hadirin sidang dewan yang beriman sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga “ Penghayatan Hari Pembalasan, Memupuk Sifat  Malu Dalam Diri Manusia “ . Manusia yang memiliki rasa malu akan takut untuk berbuat dosa dek rasa malu kepada Allah. Membudayakan sifat malu berupaya menjadi benteng seseorang daripada terjebak dengan maksiat seperti hubungan terlarang, homoseks dan sebagainya. Masihkah kita ingat akan peristiwa yang menggemparkan lagi memalukan apabila seorang pelajar Malaysia di bawah tajaan Petronas yang sedang menuntut di luar negara telah berkahwin dengan lelaki berbangsa Inggeris di Ireland. Astaghfirullahal azim…
Marilah kita menjaga diri kita daripada mencontohi peristiwa yang berlaku kepada umat Nabi Luth a.s dengan meningkatkan keimanan kepada Allah serta mendidik sifat malu sepertimana dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud,
“ rasa malu dan iman sebenarnya berpadu menjadi satu, maka apabila hilang salah satunya , maka hilanglah yang lain.”
Tuntasnya, terbukti bahawa  Penghayatan Hari Pembalasan, memupuk sifat malu dalam diri manusia’

Hadirin penjana transformasi Negara,
Wacana fikrah saya  yang keempat berbunyi “ Penghayatan Hari Pembalasan Membentuk Akhlak Mulia “ Saidina Ali r.a menyifatkan akhlak mulia dengan beberapa perkara seperti memiliki akal yang sempurna, bersabar, bersyukur, suka berbuat kebaikan dan sebagainya. Maka, insan yang sentiasa mengingati mati dan hari akhirat akan berusaha gigih memenuhi setiap harinya dengan melakukan amal kebajikan. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 ,
“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang kelima berbunyi “ Penghayatan Hari Pembalasan, Memartabatkan Budaya Ilmu“ Frasa ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

“ Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan”
Harus kita ingat bahawa, ilmu pengetahuan yang berlandaskan syariat mampu membawa manusia menerokai dan membugarkan budaya keintelektualan  tanpa tersimpang daripada matlamat mendapatkan redha Allah. Keimanan kepada hari akhirat telah menjadikan Ibn Sina sebagai seorang yang berjaya menghuraikan ilmu-ilmu berkaitan perubatan dan falsafah.  Selain itu, Nik Nur Madihah,seorang pelajar cemerlang SPM tahun 2008 telah membuktikan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikanya seorang yang memiliki wawasan untuk mengubah nasib keluarganya. Maka, berdasarkan contoh yang diberi, jelaslah bahawa Penghayatan Hari Pembalasan,Memartabatkan Budaya Ilmu”

Hadirin  yang setia mendengar sekalian,
Wacana fikrah saya yang terakhir merupakan “ Penghayatan Hari Pembalasan Mencetuskan Budaya Kerja Cemerlang” Seorang manusia yang berfikir tentang masa depan akhiratnya,pasti akan berusaha meningkatkan produktiviti amal dan memperbaiki kesilapannya. Budaya rasuah, sifat tidak adil, lemah dan tidak proaktif pasti akan dijauhi andai keimanan terhadap hari pembalasan menguasai jiwanya. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 36 ,
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah memerintahkan setiap kamu menunaikan amanah kepada ahlinya”.
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan suatu budaya kerja yang cemerlang dan perlu dilaksanakan oleh setiap kakitangan kerajaan. Indeks Prestasi Utama dalam Enam Teras Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membuktikan kesungguhan pemimpin Negara dalam membentuk budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan masyarakat.
Maka, perasaan ingin memberikan yang terbaik ketika berkhidmat ini mengukuhkan fakta bahawa Penghayatan Hari Pembalasan Melahirkan Budaya Kerja Cemerlang”.

Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa menginsafi masa depan akhirat kita melahirkan seorang manusia berjiwa hamba yang sentiasa berusaha mematuhi syariatNya.
Kita juga memahami bahawa ,  “Penghayatan Hari Pembalasan,
1. Melahirkan Akidah Yang Teguh
2. Menjana Istiqamah Dalam Ibadah
3. Memupuk Sifat  Malu Dalam Diri Manusia
4. Membentuk Akhlak Mulia
5. Memartabatkan Budaya Ilmu
6.  Mencetuskan Budaya Kerja Cemerlang

Konklusinya, penghayatan terhadap hari akhirat amat penting dalam membentuk insan kamil. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan. 

Sekian. 

1 comment:

~ Pelaut Rabbani ~ said...

Wah! Mantaplah ustazah nawal.
Tolong ajar buat syarahan boleh?
Smart kot!