Let's share yur kind words here... (" _ ")

Sunday, April 8, 2012

Teks Syarahan MTQ 2012 (2) Dinnie Asyraf

Teks Syarahan MTQ 2012

Tajuk : Rezeki yang Halal Menjamin Keberkatan Hidup
Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir
Penyampai : Muhammad Dinnie Asyraf b. Salim


Assalamualaikum….
Bissmillah….
Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir  dan  mendengar  fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati  para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami  yang berjudul.

“REZEKI YANG HALAL MENJAMIN KEBERKATAN HIDUP”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Rezeki yang halal merujuk kepada segala bentuk nikmat  dan kurniaan Allah yang diperolehi dengan cara yang dibenarkan  oleh syarak . Menjamin menurut Kamus Dewan pula bermaksud berjanji menanggung kewajipan atau keselamatan orang lain manakala Keberkatan Hidup pula merujuk kepada rasa cukup dan tenang dengan segala ketentuan Allah.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang pertama berbunyi “ Mencari Rezeki Yang Halal Suatu Kefardhuan “
Islam sangat menitikberatkan soal mencari dan memakan rezeki yang halal. Rasulullah bersabda dalam hadis riwayat Ibn. Mas’ud :
طَلَبُ الحَلاَلُ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسلِمٍ
Maksudnya : Mencari yang halal itu wajib bagi setiap orang Muslim

Mengimbau rentetan peristiwa hijrah, kegigihan Abdul Rahman b. Auf memulakan perniagaan sendiri wajar dicontohi umat Islam. Akhbar Sisipan Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari  telah mengisahkan kejayaan yang telah dicapai oleh agensi FELDA dalam pelbagai sektor yang mencerminkan kesungguhan mereka mencari rezeki yang halal. Jelaslah di sini bahawa “Mencari Rezeki Yang Halal Suatu Kefardhuan”

Hadirin pencetus minda bijaksana,
Wacana fikrah saya yang kedua, “ Rezeki Yang Halal Melahirkan Insan Soleh”
Usaha Rasulullah dalam melahirkan generasi Rabbani bertitik tolak daripada sumber rezeki yang berkat dan halal.  Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam melahirkan rakyat yang mempu mencari rezeki yang halal menerusi pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia. Menyingkap kisah Saidina Abu Bakar as-Sidiq  yang telah menafkahkan seluruh jiwa dan hartanya untuk perjuangan Islam. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad,
نعمَ الماَلُ الصَالِحُ للرَّجُلِ الصَّالِحِ
Sebaik-baik harta itu untuk manusia yang baik
Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa “ Rezeki Yang Halal Menjana Insan Soleh”.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketiga ialah “Rezeki Yang Halal Menjana Istiqamah dalam Ibadat”
“. Ibadah sahihah merupakan ciri yang kedua yang perlu ada dalam diri individu muslim menurut Imam Hassan al-Banna. Amalan  ini haruslah dilazimi dengan sepenuh hati kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-2,
Maksud : “ Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya “
Khalifah Umar Abdul Aziz telah membuktikan bahawa mencari rezeki yang halal itu adalah ibadah dan mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera apabila tiada seorang pun rakyat pada zaman pemerintahanya layak menerima bantuan zakat. Hal ini demikian kerana ibadah zakat telah disempurnakan oleh setiap daripada umatnya.
            Oleh itu, terbuktilah di sini bahawa “ Rezeki yang halal, menjana istiqamah dalam ibadah”.

Hadirin warga dewan sekalian,
Wacana fikrah keempat berbunyi ““ Rezeki Yang Halal Mencetus Insan Berdikari”
Rasulullah merupakan insan paling berdikari apabila membesar sebagai seorang anak yatim. Allah berfirman dalam surah al-Jumu’ah ayat 10,

Maksudnya : “ Maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah kamu daripada limpah kurnia Allah”.
Rasulullah telah memuliakan para sahabatnya yang mencari rezeki yang halal berbanding dengan yang hidup dengan hanya meminta-minta. Jutawan Internet,Irfan Khairi telah meletakkan sepenuh usaha berbekalkan ilmu yang ada dalam menjana pendapatan yang halal. Maka, terbukti di sini bahawa “Rezeki Yang Halal mencetus Insan Berdikari”

Hadirin pencerna idea praktis,
Wacana fikrah saya yang kelima merupakan “ Rezeki yang Halal  menjana  Ekonomi Umat Islam”
Islam telah menggariskan tatacara dalam mendapatkan rezeki. Perniagaan adalah salah suatu cara untuk meningkatkan ekonomi umat Islam. Rasulullah bersadbda,

تسعة أعشار لرزق في التجارة
Maksudnya : Berniagalah kamu, 9/10 daripada rezeki itu adalah menerusi perniagaan.
Malaysia sangat terkenal dengan produk hub halal yang telah berjaya menjana ekonomi umat Islam sehingga berjaya menembusi pasaran dunia. Kini sudah terdapat enam hub halal di Malaysia yang sedang beroperasi manakala tiga lagi masih di dalam perancangan.
Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa Rezeki yang Halal menjana Ekonomi umat Islam.

Hadirin penjana transformasi Negara,
Wacana fikrah saya  yang keenam berbunyi “ Rezeki Yang Halal  Membentuk Akhlak Mulia “ Saidina Ali r.a menyifatkan akhlak mulia dengan beberapa perkara seperti memiliki akal yang sempurna, bersabar, bersyukur, suka berbuat kebaikan dan sebagainya. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan budaya Islam. Sifat pemurah ini merupakan sifat Rasulullah, tokoh yang wajar dicontohi akhlak dan peribadinya sepertimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21,

Maksudnya : “ Pada diri Rasulullah itu ada suri taudalan yang baik

Hadirin sekalian,
Wacana fikrah saya yang ketujuh, “ Rezeki yang Halal Menjamin Kesihatan Mapan” Umat Islam perlu memastikan makanan yang diambil datang daripada sumber yang halal demi kesihatan yang berpanjangan. Program 1 Murid 1 Sukan adalah antara agenda negara dalam melahirkan warganegara yang sihat dan cerdas. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim,
Mu’min yang kuat lebih dicintai Allah dari mu’min yang lemah
Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa Rezeki yang Halal Menjamin Kesihatan Mapan.
Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa Rezeki yang Halal

1.      Adalah suatu Kefardhuan
2.      Melahirkan Insan Soleh
3.      Menjana Istiqamah dalam Ibadah
4.      Mencetus Insan Berdikari
5.      Menjana Ekonomi Umat Islam
6.      Membentuk Akhlak Mulia
7.      Menjamin Kesihatan Mapan

Konklusinya, setiap daripada rezeki yang jelas status halalnya akan dapat melahirkan masyarakat mutakhir yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk negara khususnya dan negara amnya.


1 comment: