Let's share yur kind words here... (" _ ")

Monday, August 30, 2010

Bila Ramadhan Berbicara...

Bila Ramadhan berbicara..

Oleh : Muaz_Kadir

Aku menjengah ke langit dunia. Aku melihat anak-anak kecil sedang bergembira,remajanya ramai yang sedang menikmati musim belajar di sekolah, ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan tidak kurang ada insan-insan yang sedang beribadah, tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mataku tertarik untuk melihat suatu situasi di dalam kelas di sebuah kawasan sekolah yang dipagari pohon-pohon getah yang merimbun. Seorang guru sedang berbicara dengan pelajarnya tentang aku. Terasa bahagia menjamah hati. Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar kata-kata seorang pelajar, “ Saya tidak tahu apa erti Ramadhan pada saya,cikgu. Saya tidak merasa apa-apa pun”. Rakan sekelasnya menunjukkan reaksi wajah kehairanan dan pelik,namun si gadis itu membalas,“ Kenapa? Salahkah?”. Guru itu menggelengkan kepalanya dan mula menerangkan kebaikanku kepada semua anak muridnya di dalam kelas itu.

Dalam pada itu aku terasa sayu. Aku sangat pasti setelah ribuan tahun Rasulullah wafat, aku semakin dilupakan.Setelah zaman para sahabat, tabien dan salafussoleh berlalu, aku semakin tidak dihargai manusia. Zaman kini sangat berbeza dengan zaman di mana Rasulullah dan para sahabat gembira dengan kehadiranku. Aku masih ingat ketika aku hadir, mereka melaung-laungkan kalimah Ahlan Ya Ramadhan. Para sahabat bersama Rasulullah berlumba-lumba melakukan kebaikan di dalamku. Mereka percaya akan kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku. Malaikat telah meluaskan sayap seluas-luasnya padaku. Allah telah membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka di dalamku.

Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah diwajibkan berpuasa di dalamku bermula daripada cahaya terbesar yang terbit di negara Jepun sehingga cahaya matahari itu terbenam di arah kiblat umat Islam dan kamu harus corakkan ibadahmu dengan keimanan dan ketaqwaan agar diterima oleh Allah s.w.t. Puasa di dalamku hukumnya wajib. Tidakkah kamu rasakan itu suatu suruhan yang besar untukmu wahai penghuni muka bumi? Justeru mengapa terdapat dalam kalangan kamu yang tidak mengendahkan suruhan agung itu?. Allah telah mengurniakan aku keistimewaan untuk kamu rebutkan. Rahmat Allah melimpah ruah padaku dan aku adalah bulan di mana alunan al-Quran akan mengetuk setiap gegendang telinga para pembaca dan pendengarnya.

Teringat aku pada Saidina Ali yang tidak jemu berdoa setiap tanggal 1 Ramadhan dengan doa yang berbunyi, “ Ya Allah, masukkanlah bulan yang mulia ini kepada kami dengan aman daripada gangguan penyakit, longgar daripada pelbagai kesibukan dan berikanlah kepada kami kerelaan dan kepuasan untuk tidak banyak tidur di dalamnya…”. Sejuk hatiku saat doa itu berkumandang. Kini, saat dunia semakin canggih dan moden, semakin pudar doa-doa itu dipendengaranku. Mengapa? Aku tidak merasakan punca fenomena ini datang dariku. Aku adalah hamba Allah yang dijadikan sebagai tempat untuk kamu semua beroleh nikmat, rahmat dan puncak kasih Allah kepada kalian.

Tahukah kalian di awalku adalah rahmat, dipertengahanku adalah maghfirat dan dipenghujungku adalah dijauhkan daripada azab neraka? Sesudah mengetahuinya, apakah tindakan kalian hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga yang kemudianya kalian habiskan dengan bergembira ketika berbuka tanpa sedikit pun amal ibadat di dalamnya? Mengapa kalian mensia-siakan aku, manusia? Bagaimana biasa kalian tidak merasai keistimewaanku dan aku adalah peluang untuk kalian memperbaiki diri,manusia?. Aku sangat tidak faham kerenahmu wahai manusia zaman moden ini.

Wahai makhluk Allah yang telah dikurniakan akal, sedarlah bahawa di dalamku doa kamu akan dimakbulkan oleh Allah.Di dalamku juga terdapat suatu malam di mana padanya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Mengapa kamu semua tidak berlumba-lumba mendapatkanya? Aku pasti kalian tahu bahawa setiap amalan sunat yang dilakukan adalah bersamaan pahalanya dengan amalan fardu manakala jika kamu melakukan amalan fardhu, pahalanya melonjak sehingga 70 kali ganda. Hebat tawaran Allah kepada manusia. Tetapi kamu adalah benar-benar golongan yang tidak tahu bersyukur andai kamu tidak mempedulikan bonus yang Allah berikan ini.

Zaman berlalu, aku semakin merasa sedih dan sayu saat aku menyedari bahawa manusia semakin melupakan kebaikan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadaku. Bagaimana bisa manusia tidak menghargai aku? Aku merintih saban malam agar manusia bangun dan beribadah, membaca al-Quran, menuturkan zikrullah, Qiyamullail dan berniat mencari malam Lailatul Qadar,namun hanya sebahagian sahaja daripada umat manusia yang melawan hawa nafsu menyahut rintihanku, bersusah payah bangun daripada pembaringan yang enak menuju ke tikar sembahnyang lantas sujud menyembah Tuhan yang Maha Satu.

Pada tahun 1431 hijrah ini, aku menjelma lagi dalam hidup umat Islam seantero dunia. Keadaan semakin menyedihkan dan memilukan. Aku mengharapkan agar manusia memanfaatkan aku agar mendapat perlindungan daripada Allah. Namun, hasrat hati memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai. Begitulah perumpamaan hasratku yang menggunung tinggi dengan sikap manusia yang tidak pernah mahu mengutip segala kebaikan yang ada padaku. Ya Allah, walau apa pun sikap dan perilaku manusia di muka bumimu dalam menyambutku sebagai makhlukmu bernama Ramadhan, aku sesekali tidak akan berputus asa dalam menjalankan amanahmu saban tahu, setiap kali Syaaban berlalu sehinggalah Syawal mengucapkan salam. Aku juga berharap suatu hari nanti manusia akan disedarkan dengan syafaat yang ada padaku dan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

*** kedua-dua tulisan (bisikku pada Ramadhan dan Bila Ramadhan Berbicara) ini dibimbing oleh empunya blog ini.wallahualam

No comments: