Let's share yur kind words here... (" _ ")

Monday, August 30, 2010

Bisikku Pada Ramadhan

Bisikku pada Ramadhan

Oleh : Uzair_manap

“ Dengan ini diumumkan bahawa seluruh umat Islam akan mula berpuasa pada esok hari…” kedengaran pengumuman berpuasa berkumandang daripada televisyen di ruang tamu. Aku termangu sendirian. Ramadhan tiba lagi dan aku masih begini.Tidak pernah cuba menilik diri dan melihat masa lalu untuk dijadikan pengajaran dan tidak pernah menyusun strategi untuk melakukan perubahan pada diri. Manusia apakah aku ini?. Hambakah aku andai perintah Tuhan seringkali aku abaikan. Tidak ada rasa malukah aku pada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu? Terasa sesuatu menyentap di hati. Terasa berat dan menyakitkan. Aku perlu berubah.

Terngiang-ngiang suara seorang sahabat, “ Ramadhan ibarat musim bunga di hati umat Islam kerana Allah telah datangkan kepada seluruh alam ini suatu bulan yang penuh dengan barakah dimana kita diwajibkan berpuasa dan ketika kita berbuka puasa pintu-pintu syurga telah dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup bersama dengan syaitan yang telah dibelengu. Barangsiapa yang tidak berhasil beroleh kebaikan Ramadhan, sungguh tiada peluang untukknya mendapatkan nikmat itu buat selama-lamanya.” Masha Allah. Aku harus berubah. Gementar rasa hati mengingatkan kata-kata itu. Aku tidak mahu sesat selamanya. Oleh sebab itu aku harus mencari jalan pulang. Terasa malu dengan Tuhan, diri terasa hina dan tercela namun bukankah pintu taubat sentiasa terbuka? Aku harus cepat bertindak dan aku membuat suatu keputusan penting dalam hidupku di ambang Ramadhan ini. Ya.Aku harus berubah menjadi manusia yang lebih baik.

Aku berwudhuk dan tunduk menyerah diri kepada Rabbul Jalil saat Ramadhan menjelmakan diri. Seusai merintih dan memohon ampun kepada Yang Maha Mengampunkan,hati terasa sedikit ringan namun fikiran tidak lepas daripada memikirkan jalan yang bagaimana harus kutempuhi sepanjang bulan yang mulia ini. Aku membuat perancangan dalam mindaku dan pada masa yang sama aku harus teguh melawan hawa nafsu yang telah dididik oleh syaitan selama 11 bulan yang lalu. Kekuatan fizikal tidak akan mencukupi tanpa kerjasama daripada minda dan hati. Ketiga-tiga fakulti insan itu harus bergabungjalin untuk memastikan seorang ‘aku’ tidak tersungkur dipintu taubat. Hatiku berbisik pada Ramadhan. “ Ya Ramadhan, sungguh engkau aku abaikan sekian tahun namun kini aku hargai kedatanganmu dan aku percaya kelebihan yang ada padamu. Janganlah kau tidak pedulikan aku wahai Ramadhan. Aku insan kerdil yang mahu meniti hari-harimu dengan kebaikan”.

Wahai Shahrus Siyam, ku tahu kau bulan yang mengajar umat manusia untuk mengendalikan diri dan hati daripada hal-hal yang dilarang. Aku akan cuba kuatkan seluruh sistem badanku untuk mengawal pancainderaku, hatiku, tingkah dan perlakuanku agar tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan kita. Aku memperkemaskan dudukku daripada bersimpuh ke kedudukan bersila.Aku menekur sendirian di dalam gelap malam mencuba sedaya upaya berkomunikasi dengan Ramadhan.

Wahai Shahrul Qur’an, bulan yang dimuliakan Allah kerana kau telah terpilih untuk diturunkan al-Quran di dalammu. Aku berazam untuk menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak yang mungkin sehingga mencapai 30 juzuk. Tidak juga aku lupa untuk bertatih menghafaz ayat suci al-Quran itu supaya ayat-ayat indah itu sentiasa bergema dalam jiwaku.Kau adalah Shahrut Tilawah iaitu bulan membaca, menekuni dan mentadabbur al-Quran. Justeru aku akan sentiasa mendampingi al-Quran bersama-sama perjalananku meniti hari-harimu. Ya Sharul ‘Ala, bulan penuh kenikmatan, izinkanlah aku untuk menikmati kehadiranmu dengan sebenar-benar tunduk dan patuh kepada Allah swt.

Ya Shahrul Mubarak iaitu bulan yang penuh keberkatan. Berilah peluang kepadaku untuk merasai nikmat berkat itu. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rezeki dan melancarkan perjalananku menelusuri engkau. Aku menanam tekad untuk melakukan amal kebajikan dan melakukan kebaikan tanpa mengira pangkat dan darjat kerana aku diberitahu bahawa padamu terdapat suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah iaitu setiap amal kebajikan akan dinilai dengan berlipat ganda. Subhanallah. Betapa lapangnya dada dapat berbicara denganmu wahai Shahrus Sabri iaitu bulan kesabaran. Aku kini benar-benar merasai bahawa sabar adalah kunci utama bagi setiap manusia yang ingin berubah. Aku akan cuba mendidik hatiku agar sentiasa membawa sabar dalam diri.

Kini, aku berada di pertengahan musim bunga yang paling nikmat pernah aku lalui. Bulan ini adalah bulan rahmat yang penuh dengan kasih sayang. Kasih sayang daripada Allah yang paling mahal harganya yang dapat memacu perasaan kasih mengasihi sesama manusia. Limpahan kasih sayang Allah sebenarnya menjadi punca kekuatan yang kuperoleh untuk melakukan amal soleh didalammu wahai Shahrur Rahmah. Aku menitimu wahai Shahrul Muwasah dengan mendidik hati agar tidak kedekut kepada mereka yang memerlukan kerana kau adalah bulan untuk melatih sifat dermawan dalam diri. Kutingkatkan hubungan sosialku sesama kaum muslimin di kampung dan masjid, kuhabiskan masa bersama anak-anak yatim piatu dan fakir miskin. Bergaul dengan golongan ini menyedarkan aku untuk lebih bersyukur dengan kurnia Allah s.w.t kepadaku.

Wahai Shahrul Jud, bulan untuk bermurah tangan dan memberi bantuan kepada fakir miskin. Di dalam engkau aku mempelajari bahawa tangan yang menghulur adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Hatta sedikit yang dihulurkan namun tetap memberi makna yang mendalam pada diri ini. Sungguh. Kau adalah Shahrun Najah iaitu bulan keselamatan daripada azab neraka. Manakan tidak, setelah melakukan kebaikan, membaca al-Quran, berdamping dengan orang-orang soleh, bersedeqah dan sebagainya, tentulah manusia impikan pengakhiran yang baik iaitu dijauhkan daripada azab api neraka. Aku terasa kerdil mahu meminta lebih daripada Allah kerana aku baru sahaja kembali ke jalan Nur ini. Di sebalik rasa rendah itu aku percaya bahawa Allah menerima taubat hambaNya dan sentiasa mendengar rintihan dan permintaan hambaNya. Sesungguhnya pintu langit masih terbuka.

Terima Kasih wahai Ramadhan kerana dengan kehadiranmu pada tahun ini menjadi titik tolak kepada perubahan insan kerdil bernama ‘aku’ ini. Aku kini lebih daripada percaya bahawa selama sinaran mentari dan bulan berkongsi cahaya menemani alam dunia dan sebelum cahaya syurga malap dan terpadam, sebelum hidup ini bertemu dengan pengakhiranya, dan sementara pintu taubat masih terbuka luas, kita harus bertaubat dan kembali kepada Allah sebelum terlambat,iaitu sebelum semua pintu taubat ditutup. Aku tambah mengerti bahawa haluan ke syurga itu penuh dengan penderitaan seperti seorang insan melalui laluan yang dipenuhi dengan onak dan duri, susur jalanya bengkang-bengkok, disaluti sejuta pederitaan.kesedihan, dan kesakitan. Sebaliknya, jalan ke neraka itu penuh dengan nikmat dan kebahagiaan umpama seorang manusia melalui suatu jalan yang di atasnya terdapat hamparan permaidani merah yang empuk dan disertakan dengan segala kesenangan dan kemewahan duniawi.

Sungguh. Aku tidak sabar untuk berkongsi dengan mereka yang kukasihi bahawa Ramadhan ibarat sebuah kilang pemprosesan. Sebuah binaan kilang untuk mendidik dan memproses manusia-manusia di dalamnya agar keluar daripada bulan ini disaluti dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Justeru marilah sama-sama anda yang membaca bisikanku pada Ramadhan ini agar menjadikan bulan kesabaran dan bulan pelbagai nikmat ini sebagai medan untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan. Aku berada di penghujung Ramadhan dan hati terasa sedih kerana musim bunga ini bakal berlalu. Aku memohon agar umurku dipanjangkan oleh Allah agar aku sempat bertemu denganmu lagi dan kau akan melihat aku yang lebih baik melangkah memasukimu. Insya Allah. “ Aku akan benar-benar merinduimu wahai bulan yang istimewa.” Bisikku perlahan pada Ramadhan.

No comments: