Bila waffle diambil beruk dan monyet...
Oleh : Nawal bt Abd Kadir
Selesai menjamah juadah tengahari yang berlapikkan polistrin dan air ais kosong yang memberi kelegaan kepada tekak yang kering. Cuaca panas. Maka, keletihan cepat menguasai diri. Lalu air menjadi penawar kepada dahaga yang menguasai. Mata sekilas memandang jam di tangah. Sudah lama waktu Zohor berlalu, aku gegas melipat meja jepun untuk mengosongkan ruang untuk menunaikan solat.
Terdapat beberapa plastik makanan yang tinggal berbaki di atas meja. Tangan cekap mencapai plastik keropok ikan yang tinggal sedikit, plastik waffle aku dan Yus serta botol air dan meletakkannya di atas meja dan disandarkan berhampiran tingkap. Terus dilaksanakan tanggungjawab padaNya.
3.30pm. Aku turun dari blok ke tempat parking mengambil kertas kaji selidik. Masha Allah, kawasan lapang kolej dipenuhi dengan 'cik ruk' dan 'cik nyet'.. Kelihatan tong sampah yang terletak di luar pintu bilik bersepah dek haiwan yang tinggal di kejiranan kolej-kolej dalam Universiti Kebangsaan Malaysia ini.
Kaki meneruskan langkah dengan hati-hati bimbang diterjah oleh cik nyet dan cik ruk. Lagi menakutkan kalau mereka mengendong anak. Sejak akhir-akhir ini perasaan takut menguasai diri andai ternampak monyet dan beruk kerana mereka berani bertindak ganas dengan menarik plastik di tangan, mengepung dan membahayakan diri. Sampai di blok. Lega!. Langkah diatur menuju bilik. Pintu ditolak.
" Eh..mai dah? " terus ditegur Aida yang bersila di atas katilku. Aida tersenyum. Yus sedang solat. Maka suasana sedikit diam. Aku berborak dengan Aida perlahan mengupdate cerita setelah seminggu tidak bertemu. Dalam pada itu, mata terpandang meja yang kelihatan kosong tanpa plastik-plastik Waffle dan keropok. 'Mungkin yus alihkan kot' desisku dalam hati. Al-maklumlah tadi sebelum aku melangkah keluar daripada bilik 'cik nyet' telah menjenguk tingkap bilik aku yang separuh terbuka. Aku dengan cepat mengetuk meja dengan kuat supaya cik nyet itu lari.
' Cik nyet atau cik ruk datang lagi kot. Yus letak bawah kot plastik tu' hatiku bergumam lagi. Lantas dilupakan hal itu sebentar. Perbualan dengan Aida diteruskan. Ryusda pula datang menyinggah di bilik untuk mengambil tempahan coklat kerana dia akan ke Langkawi. Maka bertambah rancak perbualan dari satu topik ke satu topik. Mengupdate cerita memang mengambil masa yang lama kerana masing-masing sibuk berkongsi perkara-perkara yang terjadi dalam seminggu.
6 petang. Solat Asar selesai ditunaikan. Teringat akan waffle tadi. Mata sekali lagi meliar mencari plastik yang berisi waffle.
" Aida, nampak tak waffle atas meja ni tadi?" soalku.
" Tak dak, tadi masa datang memang tak dak apa kat situ"
" Aik? mana p pulak. Tadi elok ja nawal letak kat situ.." balasku perlahan.
" Ha..tadi tingkap tu nak terkeluar..monyet tarik. Bila Yus ketuk jaring besi tu baru dia lari " Aida mengeluarkan cerita.
" Hah? Monyet tarik? Dia amik makanan ka? " responku terkejut.
Tidak pernah dalam sejarah aku menghuni bilik kecil ini, Cik nyet atau Cik ruk dan kaum kerabatnya berani-berani mengambil makanan dalam bilik aku. Belum sempat apa-apa aku akan mengeluarkan suara garang dan mengetuk-ngetuk meja dan berbuat bising. Pantas akalku cuba menterjemahkan bagaimana mereka boleh menarik makanan yang saiznya lebih besar daripada kotak-kotak jaring itu dengan mudah.
" Tak dak rezeki laa tuh" Yus menyampuk.
" Memang laa..." Aku tak kisah sangat tak dapat makan , tetapi yang dikisahkan itu tentang hal bagaimana Cik nyet ini berjaya mencuri makanan aku. Kalau ada perasaan pun, hanya rasa terkilan kerana waffle itu aku, Yus dan Farah dapat hasil belanja seorang taukeh kedai membuat Waffle di Hentian Kajang semasa kami bertiga membuat kajian lapangan berkenaan dengan kawasan larangan merokok. Abang Bos yang baik itu belanja kami waffle seorang sekeping. Segan dan menolak kami pada mulanya tapi dia sendiri yang pergi menyuruh pekerjanya melayan kami. Promosi lah kepada sesiapa yang pernah pergi ke Hentian Kajang, belilah waffle yang ada di tingkat atas tu. Hehe..
Dalam diam, aku perasan ada rasa sedikit kecewa dan sedih kerana waffle itu menjadi rezeki Cik Nyet dan Cik ruk.. Kecewa juga kerana makhluk Allah itu akhirnya berjaya mengambil makanan daripada bilikku melalui jaring yang kecil itu yang selama ini aku pertahankan dengan jayanya. Tetapi aku sedar ini adalah susunan Allah.
Waffle itu bukan rezeki ku tapi rezeki makhluk yang tinggal di kejiranan kami. Aku harus belajar menilai keadaan kerana ia adalah tarbiyyah alamiyah yang sangat mendidik hati dan perasaan. Cuma aku sebagai manusia biasa digelumangi dengan dosa dan kesalahan, memungkinkan aku memiliki pelbagai rasa sebagai manusia sebelum akalku menepis rasa hatiku dengan hujjah yang logik dan berasas. Ini adalah sebahagian daripada cabaran dalaman yang perlu ditangani dengan bijak.
Bersama kita menangani cabaran-cabaran ringkas dalam kehidupan dengan mengambil jalan penyelesaian Islam. Jangan terikut dengan perasaan seperti kisahku di atas. Harus yakin dengan penyusunan Allah. Sama-sama kita berusaha. Gambatte!!
1 comment:
salam.. dah biasa dah cik nyet2 ni.. teringat bilik kena geledah cik nyet.. yang kena kejar apa lagi..mmg rezekinya.
Post a Comment